Pendahuluan
Distraksi osteogenis merupakan satu teknik pembedahan di mana tulang rahang dipanjangkan secara berperingkat. Ia dapat memanjangkan tulang sehingga 30 mm tanpa memerlukan pengambilan graf tulang, dan seterusnya mengelakkan risiko pembedahan yang kedua1. Empat kes distraksi osteogenesis telah ulung kalinya dilakukan pada manusia, oleh McCarthy pada 1992 dengan menggunakan Hoffman Mini Lengthener di mana tulang rahang bawah dipanjangkan sebanyak 24 mm
Terdapat 2 jenis peralatan distraksi iaitu, peralatan distraksi dalam mulut dan peralatan distraksi luar mulut.
Contoh peralatan distraksi dalam mulut
Craniomaxillofacial Distraction System (DePuy Synthes)
|
Wood Zurich Intraoral distractor (KLS Martin)
|
Mandibular distractor (Walter Lorenz)
|
Contoh Peralatan Distraksi Luar Mulut
Craniomaxillofacial Distraction System (DePuy Synthes)
|
Multi-Guide II external distraction device
(Stryker Leibinger, Portage Michigan) |
Indikasi
Hipoplasia mandibel yang teruk
Hipoplasia maksila yang teruk
Ketidakseimbangan rahang bawah yang teruk
Klef bibir dan lelangit
Pertumbuhan rahang atas dan rahang bawah yang terbantut selepas trauma
Gangguan sendi rahang
Defek rahang bawah selepas pembedahan
Pembedahan orthognathic semula
Sindrom kraniofasial : Hemifacial microsomia, Treacher Collins syndrome, Pierre Robin Sequence, Nager Syndrome
Apakah Pembedahan Distraksi Osteogenesis?
Semasa pembedahan, pakar bedah mulut akan memotong tulang rahang dan meletakkan peralatan distraksi pada tulang rahang. Peralatan distraksi ini akan diaktifkan selepas 5 hari. (1) Peralatan distraksi akan memisahkan tulang rahang sebanyak 1 mm setiap hari. Fungsi peralatan distraksi adalah untuk merengangkan tulang yang sedang sembuh dan memegangnya pada kedudukan baru. Proses ini diulangi sehingga kepanjangan tulang yang diingini tercapai. Apabila kepanjangan tulang tercapai, proses pengaktifan akan dihentikan dan peralatan ini dibiarkan selama 2 hingga 5 bulan untuk penyembuhan tulang rahang yang menyeluruh. (1) Pesakit perlu menjalani pembedahan sekali lagi selepas 5-6 bulan, untuk mengeluarkan peralatan distraksi apabila radiograf menunjukkan tulang baru yang terbentuk telah matang.
Penjagaan Selepas Pembedahan
Selepas pembedahan, pesakit dinasihatkan untuk makan diet lembut selama 6 – 8 minggu. (1) Pesakit akan diajar teknik untuk mengaktifkan peralatan distraksi selepas 3 hingga 5 hari selepas pembedahan. Biasanya pesakit akan dibenarkan untuk keluar wad selepas seminggu sekiranya pembedahan berjalan lancar. Pesakit akan diberi ubat antibiotik dan ubat tahan sakit. Kejayaan pembedahan ini bergantung kepada pematuhan pesakit dan higin mulut yang bersih.
Masalah yang Mungkin Timbul
Komplikasi peralatan distraksi
Komplikasi peralatan distraksi merangkumi kelonggaran peralatan, kerosakan peralatan, dan peralatan yang patah yang mungkin memerlukan pembedahan kedua untuk mengeluarkan peralatan distraksi.
Jangkitan kuman
Keadaan higin mulut yang kurang memuaskan akan menyebabkan jangkitan kuman pada sekeliling rod pengaktifan.
Lain-lain
- Luka pada tempat pembedahan
- Pendarahan
- Lebam
- Kos yang tinggi
Kesimpulan
Distraksi osteogenesis merupakan satu teknik pembedahan rahang yang baru. Teknik ini mampu memanjangkan tulang (10 mm atau lebih) tetapi bergantung kepada kemahiran pembedahan dan pengalaman seseorang pakar bedah mulut. Perancangan pembedahan yang rapi, teknik pembedahan yang betul dan pesakit yang patuh pada nasihat, akan menentukan kejayaan distraksi osteogenesis.
Rujukan
- Landon J, Patel M, Ord R, Brennan P (2011). Operative Oral and Maxillofacial Surgery. (2nd edition) London : Hodder Arnold.659-674.
- Mc CarthyJG et al. Lengthening the human mandibule by gradual distraction.Plast Reconstr Surg 1992;89:1-8
Semakan Akhir | : | 14 Mei 2015 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Ling Xiao Feng |
Akreditor | : | Dr. Abdul Latif bin Abdul Hamid |