A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Fisiologi Kitaran Haid

Fisiologi Kitaran Haid

Pengenalan

Organ reproduktif wanita tidak seperti lelaki mengalami perubahan berkala setiap bulan, bagi persediaan kepada proses persenyawaan dan kehamilan. Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid adalah merujuk kepada perubahan berkala berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Bila haid berlaku secara berkala setiap bulan, ia dipanggil kitaran haid. Jangkamasa kitaran ini dikira dari hari pertama perdarahan haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangkamasa kitaran haid wanita berbeza antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain diantara 25 – 35 hari, dimana puratanya adalah 28 hari. Biasanya tempoh perdarahan ini berlaku selama lebih kurang 2-8 hari. Kitaran haid ini dikawal oleh perubahan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di otak dan juga ovari.

Bagaimana Haid Berlaku

Selepas perdarahan haid berhenti, hormon estrogen menjadi semakin banyak dirembeskan oleh ovari yang dipengaruhi oleh homon FSH (Follicle Stimulating Hormone) dari kelenjar pituitari di otak dan merangsang pembentukan dinding dalaman rahim (endometrium) yang baru. Dinding dalaman rahim menebal kesan dari hormon estrogen. Peringkat ini dipanggil fasa ‘proliferative’. Pada separuh kedua kitaran haid, hormon progesterone dirembes oleh korpus luteum akan merangsang penebalan dinding dalaman rahim seterusnya. Korpus luteum terjadi setelah folikel pecah dan mengeluarkan telur atau ovum. Pada peringkat ini salur darah dan kelenjar meningkat di bahagian dinding dalaman rahim seterusnya pengeluaran mucus meningkat bagi persediaan untuk implantasi ovum yang telah tersenyawa. Peringkat ini di panggil fasa ‘secretory’. Jika wanita tidak hamil, korpus luteum tersebut aktif selama 14 hari, dan selepas itu ia akan mengecut atau mengalami atresia. Keadaan ini menyebabkan paras hormon progesterone dan estrogen mengalami penurunan yang mendadak. Kekurangan hormon ini menyebabkan salur darah di lapisan dalam rahim menjadi kejang (spasma) yang akan mengakibatkan kekurangan darah yang mengandungi oksigen dan bekalan makanan ke lapisan dalam rahim (endometrium). Sel-sel di lapisan dalam rahim akan mati dan seterusnya menjadi sebahagian daripada darah haid. Perdarahan haid dikaitkan dengan “tangisan” dari kekecewaan rahim.

Fasa Kitaran Haid

Kitaran haid boleh dijelaskan melalui kitaran ovari dan kitaran rahim. Kitaran ovari adalah perubahan yang berlaku di dalam folikel di ovari, manakala kitaran rahim adalah perubahan yang berlaku di lapisan dalam rahim (endometrium) seperti yang dijelaskan diatas. Kitaran ovari terdiri dari fasa folikular, fasa pengovulan dan fasa luteum.

Fasa Folikular

Dalam fasa folikular, folikel yang kecil dalam ovari akan membesar untuk menghasilkan ovum. Pada peringkat ini pembesaran folikel dirangsang oleh hormon FSH (Follicle Stimulating Hormone). Pada permulaan kitaran haid, folikel adalah bersaiz kecil, tetapi bila sampai waktu pengovulan, saiznya mencapai 18-26 mm. Apabila folikel membesar ovum juga terjadi peningkatan saiz dan menjadi matang dalam lingkungan 36 jam sebelum dibebaskan dari ovari. Proses kematangan ini berlaku apabila peningkatan hormon peluteinan (LH) secara mendadak. Di bawah pengaruh beberapa hormon hanya satu folikel dalam ovari yang membesar atau menjadi dominan dan seterusnya menjadi matang. Folikel yang mencapai kematangan di panggil tertiary atau folikel grafian yang mengandungi ovum.

Fasa Pengovulan

Peningkatan hormon peluteinan yang mendadak berlaku pada hari ke-14 bagi kitar haid yang berlangsung selama 28 hari. Peningkatan hormon ini menyebabkan folikel pecah dan membebaskan ovum. Proses ini juga dikenali sebagai pengovulan. Ovum ini akan diambil oleh jejari fimbria pada hujung salur fallopio. Pengovulan berlaku secara random dari ovari sebelah kanan atau kiri. Sesetengah wanita akan mengalami sedikit kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian abdomen atau perut semasa ovum ini dilepaskan daripada ovari. Gejala ini juga dikenali sebagai mittelschmerz. Perubahan hormon secara tiba-tiba pada masa pengovulan, adakalanya menyebabkan sedikit perdarahan pada pertengahan kitaran haid.

Fasa Luteum

Fasa ini ditentukan oleh selama mana korpus luteum aktif berfungsi. Selepas folikel pecah dan mengeluarkan ovum, ia akan tertutup dan membentuk korpus luteum. Korpus luteum ini akan merembeskan lebih banyak hormon progesterone yang akan menguatkan lapisan dinding rahim jika kehamilan berlaku. Jika wanita tidak hamil, korpus luteum tersebut aktif secara purata selama 14 hari, boleh berlaku dalam jangkamasa 11 – 17 hari. Hormon yang dihasilkan oleh korpus luteum menyebabkan kesan negatif kepada pituitari, menyebabkan rembesan hormon FSH dan LH dari pituitari berkurangan. Seterusnya korpus luteum mengecut. Apabila hormon progesteron berkurangan, ini menyebabkan haid bermula.

 

Semakan Akhir : 1 September 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Mohd. Nasir Tak b. Abdullah
Akreditor : Dr. Wan Abu Bakar b. Yusof

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,675

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia