Pengenalan
Kecederaan akibat terbakar dan melecur merupakan suatu kecederaan yang agak kerap berlaku, terutama di rumah.
Kecederaan terbakar adalah kerosakan pada tisu badan akibat daripada haba kering seperti tenaga elektrik, geseran, kesan radiasi dan bahan api. Kecederaan melecur pula adalah kerosakan pada tisu kulit akibat daripada haba basah seperti cecair panas, bahan kimia atau wap panas.
Kecederaan akibat terbakar dan melecur boleh mengakibatkan komplikasi yang ringan hinggalah ke komplikasi yang boleh meragut nyawa. Maka itu, rawatan awal adalah amat penting jika seseorang mengalami kecederaan akibat terbakar atau melecur.
Klasifikasi Luka Akibat Kecederaan Terbakar / Melecur :
- Tahap Satu (superficial / epidermal) – Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja (lapisan epidermis). Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit yang lain.
- Tahap Dua (superficial partial thickness) – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan luar kulit dan melibatkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan (lapisan epidermis dan upper dermis terlibat)
- Tahap Dua (deep partial thickness) – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan luar kulit dan melibatkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan (lapisan epidermis dan lower dermis terlibat)
- Tahap Tiga (full thickeness) – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan luar kulit dan melibatkan keseluruan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan (lapisan epidermis dan keseluruhan lapisan dermis)
- Tahap Empat (full thickness) – Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit dan sehingga melibatkan lapisan lemak, selaput fasia, otot dan tulang.
Rajah 1 : Tahap-tahap untuk Luka Terbakar dan Melecur
Tanda/Gejala
Tahap Satu (superficial / epidermal):
- Permukaan kulit menjadi merah dan kering
- Tiada pembentukan lepuh (blister)
- Menggelupas lapisan luar kulit (epidermis)
- Mangsa akan berasa sakit di bahagian yang terlibat
Tahap Dua (superficial partial thickness):
- Bahagian terlibat menjadi warna merah jambu dan merah
- Bahagian yang terlibat akan membengkak dan lembap
- Pembentukan lepuh (blister)
- Mangsa akan berasa amat sakit
Tahap Dua (deep partial thickness):
- Bahagian terlibat menjadi warna putih dan merah
- Bahagian yang terlibat akan menjadi kering
- Pembentukan lepuh (blister)
- Luka akan mengalami kurang rasa apabila disentuh
Tahap Tiga (full thickness):
- Bahagian yang terlibat akan menjadi putih dan perang
- Luka akan menjadi kering dan tisu kelihatan mati
- Mangsa tidak akan merasa sakit
Tahap Empat (full thickness):
- Bahagian yang terlibat akan menjadi warna kelabu dan hitam
- Luka akan menjadi kering dan tisu kelihatan mati
- Mangsa tidak akan merasa sakit
Rawatan
Rawatan awal menggunakan konsep 3B & 3C
- “Burn stop”– hentikan pembakaran, jika pakaian terbakar buka baju, jika susah untuk dibuka, jangan memaksa untuk buka baju. Alihkan objek panas dari mangsa
- “Breathing maintain” – pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan atau objek menghalang pernafasan
- “Body examine” – periksa tahap kebakaran dan anggota terlibat
- “Cool”– sejukkan bahagian yang terbakar dengan mengalirkan air paip sekurang-kurangnya 10 minit
- “Cover” – tutup bahagian yang terbakar dengan kain atau plastik bersih
- “Carry” – bawa mangsa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut
Komplikasi
- Kesejukan melampau (Hipothermia) – Suhu badan menjadi kesejukan akibat dari kehilangan haba badan berikutan kecederaan luka terbuka / penembusan kulit.
- Hipovolemia – Kekurangan cairan dalam badan akibat dari kehilangan plasma badan dari luka terbakar
- Pembentukan parut luka yang besar, akibat dari kecederaan luka terbakar
- Jangkitan kuman daripada luka terbakar
Pencegahan
- Pengendali bahan kimia perlu memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan bahaya terhidu bahan kimia atau tersentuh atau percikan bahan kimia yang boleh menyebabkan kecederan melecur berlaku
- Pastikan tangan kering semasa menggunakan alatan elektrik
- Jauhkan kanak-kanak daripada alat-alat elektrik yang panas
- Memakai losyen pelindung matahari (sunblock lotion) apabila terdedah kepada cuaca panas terik
Rehabilitasi
- Lakukan cucian luka (wound dressing) di klinik atau hospital secara berterusan
- Melakukan fisioterapi bagi anggota badan yang terlibat
- Pembedahan plastik (jika perlu)
Rujukan
- Ratini, M. (2015, April 1). Treating pains caused by burns. http://www.webmd.com/pain-management/guide/pain-caused-by-burns
- Edlich, R. (2015, September 1). Thermal burns. Retrieved from http://emedicine.medscape.com/article/1278244
- https://en.wikipedia.org/wiki/Burn
Semakan Akhir | : | 10 Mei 2024 |
Penulis | : | Nik Abdul Afiq bin Abd Aziz |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah |