Apa itu kembung perut (Colic)?
Istilah kembung perut biasanya dikaitkan dengan bayi yang menangis berterusan disebabkan oleh sakit perut. Diagnosia ditentukan berdasarkan ciri-ciri berikut:
- Bayi menangis berterusan atau kerap menangis buat masa yang lama tanpa sebab-sebab yang jelas.
- Masalah ini berlarutan selama 2 hingga 4 jam sehari untuk sekurang-kurangnya 5 hari seminggu dan selalunya bermula pada umur bayi 2 hingga 3 minggu dan beransur kurang/pulih apabila bayi mencapai umur 3 hingga 4 bulan.
Mengapakah sesetengah bayi mengalami kembung perut?
Sebab tidak diketahui. Beberapa teori termasuk :
- Usus:
- Alah kepada protein susu lembu.
- Alah kepada laktosa.
- Usus belum matang. Pencernaan karbohidrat yang tidak sempurna akan menyebabkan kembung dengan “angin” yang berlebihan.
- Ketidak selesaan disebabkan “angin”.
- Sembelit
- Biologi:
- Cara menyusu : kurang atau lebih menyusu dan kurang sendawakan bayi.
- Terdedah kepada asap rokok. Ibu yang merokok sewaktu mengandung atau di dalam pantang akan menyebabkan bayi berisiko tinggi untuk kembung perut.
- Psikososial:
- Ibu bapa yang tertekan.
- Lain-lain:
- Sistem saraf bayi yang belum matang menyebabkan ia lebih sensitif kepada faktor persekitaran.
Adakah ramai bayi yang mengalami masalah ini?
Dianggarkan 1 hingga 5 dalam 10 bayi mengalami kembung perut. Apakah tanda-tanda bayi anda mengalami kembung perut? Bayi akan selalunya :
- Menangis sekuat hati dalam jangka masa yang lama.
- Diikuti kekejangan tangan dan kaki.
- Tiada muntah, demam atau tanda-tanda penyakit lain
Adakah kembung perut akan menyebabkan masalah serius yang lain?
- Kebiasaannya bayi akan sihat dan boleh membesar dengan baik.
- Bagaimanapun, masalah ini mungkin boleh menyebabkan tekanan perasaan dan kebimbangan di kalangan ahli keluarga.
- Ibu bapa merasa kecewa dan risau melihat keadaan bayinya.
Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
- Tiada rawatan yang khusus. Keadaan ini akan pulih dengan sendiri apabila bayi berumur 3 hingga 4 bulan.
- Jika anak anda kembung perut :
- Elakkan terlalu kerap mengangkat bayi ketika ia merengek.
- Selimutkan bayi sehingga selesa dan dodoikan dengan lemah lembut
- Kurangkan persekitaran yang bising
- Bawa bayi anda bersiar-siar
- JANGAN SEKALI-KALI MENGGONCANG BAYI ANDA
- Jika ibu bapa merasa tertekan atau penat, cuba dapatkan bantuan orang lain untuk menjaga bayi dan ambil rehat yang secukupnya.
Dapatkan nasihat doktor jika :
- Tangisan bayi anda seperti di dalam kesakitan.
- Ada masalah lain seperti muntah, perut buncit, cirit-birit atau sembelit.
- Bayi anda demam
- Ibu bapa terlalu bimbang atau penat dan tidak boleh menangani masalah ini sendiri.
Apakah ubat yang boleh membantu?
- Tiada ubat yang berkesan untuk meredakan kembung perut.
- Anda boleh mencuba ubat untuk “angin” atau “colic” dan sejenis ubat bernama “dimethicone” untuk mengurangkan rasa kembung.
Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
Jika bayi anda menghisap susu botol:
- Amalkan teknik penyusuan yang betul, pastikan saiz puting yang sesuai dan sendawakan bayi anda di antara penyusuan.
Jika bayi menyusu badan :
- Teruskan penyusuan susu ibu, tetapi ibu perlu mengelakkan makanan tertentu seperti kobis, brokoli, bunga kobis, dan kafein.
Peringatan
- Kembung perut (colic) adalah masalah yang mencabar tetapi ia tidak menimbulkan kesan bahaya kepada bayi pada masa akan datang. Diagnosis yang tepat adalah penting.
- Dapatkan nasihat doktor jika:
- Diagnosis tidak dapat dipastikan
- Adanya tanda-tanda penyakit serius yang lain.
Semakan akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Irene Cheah Guat Sim |
: | Dr. Lim Sern Chin | |
Penyemak | : | Dr. Zainab bt. Kusiar |