Pengenalan
Laksatif atau julap berfungsi meningkatkan kekerapan dan memudahkan pesakit untuk membuang air besar. Laksatif boleh didapati dalam bentuk:
- Tablet atau kapsul
- Paket serbuk
- Supositori
- Cecair
Terdapat beberapa jenis laksatif dan setiap jenis mempunyai kesan yang berlainan terhadap sistem pencernaan tubuh manusia. Kebanyakan jenis laksatif yang diperoleh tanpa preskripsi bukan racun boleh digunakan bagi melegakan sembelit ringan. Walau bagaimanapun, sekiranya sembelit menjadi bertambah serius dan tidak bertindak balas kepada ubat berkenaan pesakit perlu merujuk kepada doktor dengan segera.
Jenis-jenis laksatif
Umumnya, laksatif boleh dikelaskan kepada 4 jenis:
- Laksatif pukal
- Laksatif perangsang
- Laksatif osmotik
- Pelembut najis
Bagaimana laksatif bertindak
- Laksatif pukal
Laksatif pukal melegakan sembelit dengan membentuk najis yang lembut dan pukal. Selain itu, ia juga menggalakkan pengecutan otot usus bagi memudahkan pergerakan keluar najis. Umumnya, ia dianggap laksatif yang paling selamat dan sesuai bagi pesakit yang mempunyai najis yang keras dan kecil. Walau bagaimanapun, ia memerlukan masa selama beberapa hari untuk bertindak dan pesakit perlu minum air dengan banyak. Contoh laksatif pukal termasuk dedak, ispaghula, methylcellulose, psilium dan sterkulia.
- Laksatif perangsang
Laksatif perangsang mempercepatkan pergerakan usus dengan merangsang pengecutan otot usus. Ia bertindak lebih cepat (kira-kira 6-12 jam) berbanding laksatif pukal, dan biasanya diberi pada sebelah malam untuk membantu pesakit membuang air besar pada pagi berikutnya. Contoh laksatif perangsang adalah bisacodyl, senna dan natrium picosulfate.
- Laksatif osmotik
Laksatif osmotik bertindak melembutkan najis dengan meningkatkan kuantiti air dalam usus melalui proses yang dikenali sebagai osmosis. Proses ini menyebabkan usus mengembang dan seterusnya menggalakkan pengecutan otot usus. Keadaan ini memudahkan proses membuang air besar. Contoh adalah seperti macrogol dan laksatif saline seperti magnesium hidroksida, dan gula yang sukar diserap seperti laktulos atau sorbitol.Walau bagaimanapun pesakit disarankan meminum air dengan banyak.
- Pelembut najis
Ubat ini membantu melembabkan najis untuk melembut dan memudahkan proses penyingkirannya. Ubat ini juga sesuai digunakan oleh pesakit yang mengalami buasir, mempunyai fisur pada punggung serta mempunyai risiko sekiranya meneran seperti orang tua mahupun pesakit kardiovaskular. Salah satu contoh ubat ini ialah docusate.
Kesan sampingan
Laksatif pukal
|
Laksatif perangsang
|
Laksatif osmotik
|
Pelembut najis
|
---|---|---|---|
|
|
|
|
Penyimpanan
Laksatif hendaklah disimpan di tempat yang sejuk dan kering. Ubat ini tidak boleh disimpan dalam peti sejuk melainkan diarahkan pada label. Selain itu, ia perlu disimpan dengan baik di tempat yang tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak untuk mengelakkan pengambilan secara tidak sengaja.
Tips sebelum menggunakan laksatif
Dalam kebanyakan kes sembelit, perubahan kecil terhadap pemakanan dan gaya hidup pesakit dapat membantu dalam mengurangkan gejala dan menangani masalah sembelit, contohnya:
- Makan makanan yang kaya dengan serat seperti bijirin penuh, buah-buahan, dan sayur-sayuran.
- Kekal terhidrat – minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas air sehari.
- Amalkan bersenam secara rutin
- Amalkan rutin positif melalui tabiat membuang air besar yang tetap dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit dalam tandas bagi memastikan anda telah menyingkirkan najis sebanyak yang mungkin.
Walau bagaimanapun, sekiranya sembelit masih berterusan pesakit disarankan mendapat rawatan lanjut daripada doktor. Ini bagi membolehkan doktor menukar kepada ubat yang kurang menyebabkan sembelit atau merawat keadaan perubatan yang menyebabkan sembelit berlaku.
Penyalahgunaan laksatif
Kebelakangan ini, ramai orang menggunakan laksatif untuk mengurangkan berat badan untuk tampil cantik. Mereka memilih laksatif sebagai jalan singkat dan bukannya memilih pelan penurunan berat badan yang sihat iaitu dengan bersenam dan makan secara sihat. Walau bagaimanapun, ramai tidak sedar bahawa penyalahgunaan laksatif boleh menyumbang kepada masalah perubatan yang serius dan ada kalanya menyebabkan kematian.
Ramai menganggap bahawa tubuh mereka bersih daripada toksin akibat membuang air besar dengan kerap. Sebenarnya, kehilangan berat badan akibat penggunaan laksatif adalah terhasil daripada penyingkiran air secara berlebihan daripada tubuh badan. Kebanyakan orang mendapati bahawa berat badan yang hilang akan kembali dengan segera setelah penggunaan laksatif dihentikan.
Oleh itu, penggunaan laksatif adalah tidak ideal untuk menurunkan berat badan secara kekal. Malah ia merupakan amalan tidak sihat serta menyebabkan banyak kesan sampingan yang tidak diingini terhadap individu yang menggunakannya. Tanpa disedari, mereka telah menyingkirkan nutrien penting yang secara tidak langsung memberi kesan kepada penyerapan lemak semulajadi. Ini juga turut menganggu keseimbangan elektrolit dalam tubuh mereka.
Rujukan
- NHS Choices. (2012) Laxatives. Available from http://www.nhs.uk/ conditions/ laxatives/Pages/Introduction.aspx
- Chuncha P.J. (2011) Laxatives for constipation. Available from http://www. medicinenet.com/laxatives_for_constipation/article.htm
Semakan Akhir | : | 20 Mac 2015 |
Penulis | : | Nurhazwani bt. Mohd Noor |
Akreditor | : | Munira bt. Muhammad |