Masalah retrokoklea merupakan salah satu masalah yang berlaku di bahagian neural atau saraf yang menyumbang kepada masalah pendengaran. Di antara penyebab masalah retrokoklea termasuklah jangkitan, ketumbuhan, trauma, inflamasi, masalah vaskular dan masalah neurologi. Pengesanan masalah retrokoklea lazimnya melibatkan identifikasi kehadiran ketumbuhan seperti akustik neuroma dan sebagainya.
Masalah pendengaran sensorineural adalah masalah yang biasa dialami oleh pesakit yang mengalami kurang pendengaran. Dalam kebanyakan kes, ianya terjadi disebabkan oleh kerosakan pada bahagian telinga dalam yang dipanggil koklea.
Manakala masalah retrokoklea pula amat jarang berlaku dan ianya tidak dapat dibezakan dengan cara mengetahui simptom-simptom klinikal sahaja. Simptom yang berkaitan dengan masalah vestibular dan neurotologi yang lain perlu dikesan dengan melakukan ujian-ujian diagnostik yang bersesuaian.
Akustik neuroma adalah antara penyebab utama dan ianya perlu melibatkan pembedahan yang amat teliti agar dapat mengekalkan fungsi pendengaran yang sedia ada dan juga fungsi pada bahagian saraf muka.
Definasi dan lokasi
Retrokoklea bermaksud bahagian belakang koklea. Oleh itu, masalah retrokoklea adalah masalah yang berlaku di bahagian belakang koklea iaitu samada pada bahagian saraf auditori dan juga sudut serebelopontin.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa masalah retrokoklea berlaku samada pada bahagian saraf auditori, kawasan otak yang memproses pertuturan atau pun pada kawasan lain di bahagian sistem auditori pusat.
Istilah-istilah lain yang mempunyai maksud yang serupa:
- Penyakit retrokoklea
- Masalah pendengaran retrokoklea
- Penyakit vestibulokoklea
Simptom
- Masalah hilang pendengaran pada sebelah telinga .
- Telinga berdesing di sebelah telinga
- Gangguan kualiti bunyi di sebelah telinga
- Perbezaan kualiti bunyi di antara dua belah telinga
- Bilik rasa seperti berputar atau badan tidak seimbang
- Telinga rasa macam tersumbat
- Sukar memahami pertuturan terutama di tempat bising
- Sukar memahami pertuturan walaupun suara sudah cukup kuat
Ujian diagnosis yang dijalankan
Salah satu ujian yang amat penting untuk mengesan masalah retrokoklea adalah ‘magnetic resonance imaging’ (MRI). MRI menggunakan medan magnet yang kuat dan gelombang radio untuk mendapatkan gambar otak dengan lebih terperinci dan juga struktur dalaman otak. Ujian ini tidak menyakitkan dan tidak melibatkan sebarang pembedahan. Dengan ujian MRI, doktor pakar dapat menentukan samada terdapatnya masalah retrokoklea atau tidak. Jika ada, doktor dapat mengenalpasti adakah masalah tersebut disebabkan oleh ketumbuhan, inflamasi, masalah vaskular atau masalah neurologi.
Selain daripada ujian MRI, ujian pendengaran juga memainkan peranan yang penting jika seseorang itu disyaki mengalami masalah retrokoklea. Ini adalah kerana salah satu daripada simptom utama masalah retrokoklea adalah kurang pendengaran. Sebagai contoh, sekiranya terdapat ketumbuhan yang telah dikenalpasti melalui ujian MRI, tahap pendengaran di kedua-dua belah telinga perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rawatan.
Ujian-ujian lain yang dijalankan adalah seperti berikut :
-
Ujian tindakbalas batang otak
- Ujian pancaran otoakustik
- Ujian refleks akustik
- Reflex decay
Rawatan dan pemulihan
Rawatan untuk masalah retrokoklea bergantung kepada penyebab masalah retrokoklea tersebut.
Sekiranya disebabkan oleh ketumbuhan, rawatannya adalah seperti berikut :
- Pemerhatian – Lihat dan tunggu sekiranya saiz ketumbuhan adalah kecil iaitu kurang dari 1.5 cm, usia sudah lanjut dan simptomnya sangat sedikit.
- Radioterapi – sekiranya saiz ketumbuhan adalah kecil atau sederhana. Tujuannya untuk memusnahkan sel ketumbuhan atau mengecilkan saiznya.
- Pembedahan – sekiranya saiz ketumbuhan adalah besar iaitu lebih daripada 2.5 cm dan pesakit sihat untuk menjalani pembedahan. Tujuannya adalah untuk membuang ketumbuhan dengan cuba untuk mengekalkan pendengaran dan fungsi saraf muka.
Sekiranya disebabkan oleh jangkitan, rawatannya adalah dengan cara ubat-ubatan seperti antibiotik dan lain-lain. Untuk multiple sclerosis dan lesi vaskular pada arteri vertebral atau cabangnya pula memerlukan pendekatan pelbagai disiplin kepakaran.
Bagi proses pemulihan pula, untuk kanak-kanak, pemulihan dilakukan dengan pemakaian alat bantu pendengaran atau implan pendengaran dan terapi pertuturan. Manakala bagi orang dewasa, pemakaian alat bantu pendengaran atau implan juga turut disarankan.
Kesan kepada individu yang mengalami masalah ini
- Sukar mendengar di sebelah telinga akibat kerosakan pada saraf auditori.
- Rasa berdesing di dalam telinga.
- Kelumpuhan saraf muka akibat daripada kerosakan pada saraf muka.
- Rasa kebas di bahagian muka.
- Masalah ketidakseimbangan badan
Dapatkan khidmat nasihat
Untuk sebarang pertanyaan atau khidmat nasihat, sila hubungi atau hadir sendiri ke Klinik Pakar Telinga, Hidung dan Tekak di hospital kerajaan yang berhampiran.
Semakan akhir | : | 29 Januari 2014 |
Penulis | : | Amirudin b. Mohamed |
Akreditor | : | Nur Azyani bt. Amri |