Pengenalan
Kes-kes sporadik terdapat di seluruh dunia. Kebanyakan kes berlaku pada musim sejuk di kawasan bersuhu sederhana. Wabak setempat berlaku di kawasan sesak yang tertutup (contoh: asrama, berek tentera atau kawasan penginapan jemaah haji).
Di Sub-Sahara Afrika, wabak berlaku semasa musim kering (November hingga Jun) di seluruh benua dari Senegal ke Ethiopia (African ‘meningitis belt’).
Agen penyebab: Bakteria meningitides, 12 serogroup yang dikenalpasti. Kebanyakan kes penyakit meningokokus disebabkan oleh serogroup A, B, dan C. Jangkitan disebabkan oleh serogrup Y dan W-135 jarang berlaku. Epidemik di Afrika biasanya disebabkan oleh N. meningitides jenis A.
Cara jangkitan: Hubungan secara langsung dari orang kepada orang lain iaitu melalui rembesan yang keluar dari mulut dan hidung pesakit atau pembawa asimptomatik (tidak bergejala). Tiada reservoir di kalangan haiwan atau serangga sebagai vektor.
Tempoh pengeraman: Di antara 2 hingga10 hari. Selalunya antara 3 hingga 4 hari
Tanda dan Gejala
Kebanyakan jangkitan tidak menunjukkan tanda klinikal. Kebanyakan orang yang dijangkiti (5-10%) adalah pembawa bakteria asimptomatik (tidak bergejala) dan bertindak sebagai reservoir dan sebagai punca jangkitan kepada orang lain.
Meningococcal meningitis menunjukkan onset tanda dan gejala dengan tiba-tiba. Tanda awal termasuklah:
- sakit kepala
- demam
- loya
- muntah
- fotofobia (takut atau tidak suka pada tempat yang terang/bercahaya)
- leher menjadi tegang
- pelbagai tanda neurologi lain
Penyakit ini boleh menyebabkan kematian pada kadar 5 hingga 10% walaupun segera dirawat dengan antibiotik.
Komplikasi
20% pesakit yang hidup mempunyai masalah neurologi yang berkekalan.
Septisemia Meningokokus jarang berlaku dan mempunyai tanda dan gejala seperti kegagalan peredaran darah, tanda perdarahan seperti tanda ruam kulit dan kadar kematian yang tinggi.
Rawatan
Rawatan khusus: Antibiotik Penisilin disuntik kepada penghidap meningitis meninggokokus. Ubat lain seperti Ampicillin dan Chloramphenicol juga berkesan.
Pesakit dengan penyakit meningokokus atau Hib perlu diberikan Rifampicin sebelum discaj dari wad untuk memastikan organisma telah dimusnahkan.
Pencegahan
Saranan
Satu dos vaksin tetravalen yang mengandungi polisakarida kapsul untuk serogroup A, C, Y, dan W135. Tempoh imuniti tidak diketahui, tetapi dos ulangan adalah disyorkan setiap dua tahun. Keberkesanan perlindungan dianggarkan sebanyak 90%.
Vaksin sebagai profilaksis
Jenis vaksin: Bakteria polisakarida kapsul dikultur (purified bacterial capsular polysaccharide)
Bilangan dos: Satu (1)
Dos tambahan: Setiap 3 tahun, perlindungan bertahan sekurang-kurangnya 2 tahun.
Kontraindikasi: Kesan buruk yang serius terhadap dos sebelumnya.
Sebelum berlepas: Dapatkan vaksin 2 minggu sebelum berlepas
Disyorkan untuk:
- Individu yang melakukan perjalanan ke kawasan sub-Sahara Afrika semasa musim kering, antara Disember dan Jun, terutamanya jika mempunyai kontak rapat dengan penduduk tempatan.
- Individu yang melaksanakan Umrah/Haji.
- Individu yang melakukan perjalanan ke negara-negara lain yang dikenalpasti mengalami wabak penyakit meningokokus.
- Warga tua atau pesakit yang menghadapi splenektomi atau masalah limpa tidak berfungsi.
Langkah berjaga-jaga khas untuk vaksin: Kanak-kanak di bawah umur 2 tahun tidak dapat dilindungi oleh vaksin ini.
Langkah berjaga-jaga: Elakkan berada di tempat sesak yang tertutup. Sekiranya mempunyai kontak rapat dengan orang yang menghidap penyakit meningokokus, segara berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan chemoprofilaksis.
Semakan Akhir | : | 14 November 2014 |
Penulis | : | Dr. Norhayati bt. Rusli |
Penterjemah | : | Noorhayati bt. Kassim |
Akreditor | : | Dr. Norhayati bt. Rusli |