Sesampai balik ke rumah selepas melancong, anda mungkin mengalami dua jenis perasaan yang berkonflik; anda mungkin berasa gembira selamat sampai ke rumah, pada masa yang sama, anda mungkin juga berasa tidak sampai hati untuk mengakhiri masa yang gembira semasa melancong. Walau apapun perasaan anda, terdapat petua yang anda perlu perhatikan selepas balik daripada melancong.
Pertukaran dari segi masa dan tempat
Warga emas yang mempunyai masalah kognitif tahap ringan dan sederhana masih boleh melancong. Walau bagaimanapun, perhatian perlu diberikan terhadap kekeliruan yang boleh berlaku semasa tiba ke destinasi melancong atau semasa tiba semula ke rumah.
- Amalkan orientasi nyata dengan kerap iaitu dengan memberitahu warga emas mengenai masa dan tempat setiap hari atau sekiranya terdapat pertukaran tempat.
- Bawa bersama sesuatu yang biasa dikenali oleh warga emas yang berkaitan (seperti bantal, selimut atau benda perhiasan ringkas untuk meja atau bilik tidur).
- Kadang-kadang, kekeliruan ringan mungkin berlaku sebaik sahaja warga emas berkaitan sampai ke rumah. Biasanya, kekeliruan ini akan bertambah baik dengan masa. Sekiranya kekeliruan ini mendatangkan kebimbangan, sila berjumpa dengan doktor.
- Sekiranya warga emas tersebut mengalami kekeliruan bila sampai ke rumah dan beliau tidak pernah didiagnosa sebagai mengalami masalah kognitif, sila bawa berjumpa doktor. Beliau mungkin mempunyai masalah kognitif yang awal. Pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat penting.
Kesakitan selepas melancong
Anda mungkin terlibat dalam aktiviti fizikal yang lebih lasak samasa melancong berbanding dengan masa berada di rumah. Anda mungkin mengalami gejala-gejala berikut semasa atau selepas melancong:
- Sakit lutut (daripada osteoarthritis lutut)
- Kesakitan dan kelesuan otot
- Kaki bengkak (daripada berdiri untuk masa yang lama semasa melancong)
Sekiranya anda bercadang membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor untuk merawat gejala-gejala diatas, sila ambil perhatian dengan perkara-perkara berikut:
- Ubat-ubatan tahan sakit kumpulan Non-steroidal Anti-inflamatory Drugs (NSAIDS) mungkin menyebabkan retensi garam dan air badan. Ia mungkin boleh mengakibatkan masalah jantung menjadi semakin teruk.
- Ubat-ubatan yang mengurangkan bengkak kaki seperti frusemide mungkin menyebabkan serangan gout. Frusemide mungkin juga akan berinteraksi dengan ubat-ubatan lain (contoh: ACE inhibitors seperti perindopril) yang boleh mengakibatan gangguan fungsi ginjal.
Sekiranya anda menpunyai masalah perubatan lain, sila dapatkan nasihat doktor sebelum membeli ubat-ubatan tanpa perskripsi.
Kadang-kadang, gejala kesakitan mungkin boleh dikurangkan tanpa ubat-ubatan;
- Dapatkan rehat yang secukupnya selepas melancong.
- Meninggikan kaki dapat mengurangkan bengkak kaki yang disebabkan berdiri untuk masa yang lama.
Masalah pernafasan
Anda mungkin mengalami masalah pernafasan sejurus selepas sampai ke rumah. Dapatkan nasihat doktor kerana terdapat pelbagai punca yang boleh mengakibatkan masalah ini:
- Darah beku daripada saluran darah vena kaki yang mengalir berpindah ke paru-paru (embolisma paru-paru)
- Lemah jantung yang menjadi lebih teruk disebabkan oleh ubat tahan sakit yang mungkin anda ambil semasa atau selepas melancong.
- Serangan jantung koronari yang disebabkan oleh tekanan darah yang tidak tetap semasa atau selepas melancong.
- Serangan penyakit asma atau penyakit saluran pernafasan kronik (COAD) yang disebabkan oleh pendedahan kepada bahan alergi atau pertukaran cuaca semasa atau selepas melancong.
Kekurangan tidur
Warga emas lebih mudah mengalami gangguan tidur berbanding dengan golongan muda. Anda mungkin mengalami masalah tidur selepas melancong disebabkan oleh keletihan, pertukaran dari segi rutin harian atau pertukaran zon masa. Berikut adalah petua yang mungkin dapat membantu:
- Sebelum tidur, elak daripada mengambil kopi atau bahan stimulasi, minuman beralkohol, elak mengambil minum semasa hampir kepada waktu tidur.
- Amalkan semula rutin harian selepas balik daripada melancong.
- Muzik atau rawatan releksasi mungkin dapat membantu.
- Elak daripada ubat tidur. Dapatkan nasihat doktor.
Demam dan cirit-birit
Adalah disyorkan bahawa anda menerima vaksin tertentu sebelum melancong. Walau bagaimanapun, anda masih berisiko untuk menghidap penyakit berjangkit tertentu semasa melancong. Ambil perhatian bahawa terdapat satu tempoh daripada masa anda mula menghidap sesuatu penyakit berjangkit sehingga masa gejala penyakit itu menjadi ketara (masa inkubasi). Jangkamasa ini boleh mengambil masa dalam beberapa hari ke beberapa minggu.
- Dapatkan rawatan perubatan sekiranya anda jatuh sakit selepas balik daripada melancong.
- Sejarah melancong yang teliti dapat bantu doktor anda untuk membuat diagnosa yang tepat dengan lebih awal.
- Sejarah penerimaan vaksin.
- Sejarah pengambilan ubat antibiotik dalam masa 3 bulan terdahulu adalah juga penting.
Rujukan
-
Better Health Channel. 2012. http://www.betterhealth.vic.gov.au/bhcv2/bhcarticles.nsf/pages/Travel_tips_for_seniors (accessed 25 April 2013)
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Cheah Wee Kooi |
Penyemak | : | Dr. Ho Bee Kiau |