A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mulut Kering

Sebab utama bagi kebanyakan kes mulut kering adalah pengambilan air yang tidak mencukupi yang menyebabkan dehidrasi.

Pengenalan

Air liur adalah suatu cecair dinamik yang mengekalkan rongga mulut (kedua-dua tisu keras dan lembut) dalam keadaan yang sihat. Oleh itu, aliran air liur yang berkurangan boleh mengakibatkan kesan yang buruk kepada kesihatan mulut. Mulut kering juga dikenali sebagai xerostomia adalah suatu perasaan kekeringan dalam mulut yang disebabkan oleh pengurangan dalam kadar aliran air liur ataupun perubahan dalam kualiti air liur. Air liur dihasilkan oleh tiga pasang kelenjar air liur utama dan juga kelenjar-kelenjar air liur kecil. Kelenjar air liur utama terdiri daripada:

  • Kelenjar Parotid
  • Kelenjar Submandibel
  • Kelenjar Sublingual

Air liur mempunyai banyak peranan penting dalam rongga mulut. Ia membantu dengan proses pemakanan, pertuturan, penelanan dan juga untuk mengekalkan mulut dalam keadaan yang sihat. Oleh itu mulut yang kering boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang. Keadaan ini lebih biasa dilihat di kalangan warga emas, bagaimanapun, disfungsi kelenjar air liur tidaklah seratus peratus berkaitan dengan proses penuaan. Sebab mengapa keadaan mulut kering lebih kerap dilihat di kalangan penduduk yang lebih berumur mungkin boleh dikaitkan dengan hakikat bahawa mulut kering boleh disebabkan oleh banyak jenis ubat-ubatan yang biasanya di ambil oleh mereka yang berumur 40 tahun keatas. Ia juga merupakan satu manifestasi pelbagai penyakit sistemik.

Apa yang menyebabkan mulut kering?

Sebab utama bagi kebanyakan kes mulut kering adalah pengambilan air yang tidak mencukupi yang menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi juga boleh disebabkan oleh pengambilan bahan-bahan diuretik, aktiviti fizikal yang berlebihan dan pendedahan kepada haba. Diuretik adalah bahan yang menyebabkan peningkatan pengeluaran air kencing. Agen diuretik yang biasa diminum adalah kafein. Kesan dehidrasi terhadap kelenjar air liur yang lebih berpanjangan dilihat di golongan yang lebih tua berbanding dengan individu yang lebih muda.

Status emosi dan mental seseorang individu juga boleh mempengaruhi kadar aliran air liur. Perasaan bimbang, takut dan tekanan stres boleh menyebabkan penurunan pengeluaran air liur yang seterusnya boleh menyebabkan mulut kering (biasanya bersifat sementara).

Satu sebab yang penting untuk mulut yang kering adalah pengunaan ubat. Lebih daripada 100 jenis ubat-ubatan yang digunakan secara berleluasa boleh menyebabkan mulut kering. Berikut adalah kumpulan ubat yang biasanya menyebabkan mulut kering:

  • ubat antihistamin
  • ubat anti-kemurungan
  • ubat anticholinergics
  • ubat tekanan darah tinggi
  • ubat antipsikotik
  • ubat anti-Parkinson
  • ubat diuretik dan
  • ubat  sedatif

Harus diingat bahawa kebanyakan ubat-ubatan ini adalah untuk kegunaan jangka panjang dan tidak boleh dihentikan tanpa berunding dengan doktor yang merawat anda.

Beberapa masalah perubatan juga dikaitkan dengan pengurangan dalam kadar aliran air liur seperti:

  • Kencing manis; kekeringan mulut adalah lebih teruk jika penyakit tidak terkawal
  • Sindrom Sjogren
  • Radioterapi melibatkan kelenjar air liur
  • Kemoterapi
  • Sarcoidosis
  • Amyloidosis
  • Penyakit kelenjar air liur HIV-
  • Artritis reumatoid
  • Sistemik Lupus Eritematosus dan lain-lain

Dalam keadaan-keadaan tersebut, tahap mulut kering biasanya bergantung kepada tahap dan kawalan penyakit perubatan yang menjadi penyebab mulut kering. Kadang-kala, ubat yang digunakan untuk pengurusan keadaan tersebut juga boleh menjadikan mulut kering. Mulut kering yang berkaitan dengan terapi kanser bagi kawasan kepala & leher biasanya disebabkan oleh perubahan yang disebabkan oleh radiasi keatas kelenjar air liur yang mungkin berdekatan dengan ketumbuhan utama. Perubahan kepada kelenjar ini bergantung kepada dos radiasi dan biasanya akan kekal seumur hidup.

Apakah tanda-tanda yang berkaitan dengan mulut yang kering?

Pesakit dengan mulut yang kering biasanya akan menghadapi masalah dalam melakukan fungsi-fungsi mulut yang biasa seperti makan, bercakap dan menelan. Lebih-lebih lagi dengan makanan yang kering dan rapuh seperti roti bakar atau keropok. Terdapat juga pesakit yang berasa tidak selesa dengan makanan yang pedas dan berempah. Ringkasnya, tanpa air liur yang mencukupi, hampir semua makanan mungkin sukar untuk dikunyah dan ditelan. Ini seterusnya boleh menyebabkan kehilangan selera makan dan penyusutan berat badan. Berikut adalah senarai gejala-gejala lain / masalah yang mungkin dialami oleh pesakit dengan mulut yang kering:

  • Gangguan deria rasa.
  • Bibir merekah.
  • Nafas berbau.
  • Air liur pekat/berbuih
  • Mulut terasa pedih
  • Lidah kering / kasar.
  • Kesukaran / kesakitan apabila menggunakan gigi palsu.
  • Jangkitan dalam mulut
  • Batu kelenjar liur
  • Jangkitan kelenjar liur
  • Kerosakan gigi
  • Penyakit gusi
  • Ulser

Kekeringan mulut juga biasanya lebih teruk pada waktu malam kerana, aliran air liur semua orang biasanya akan berkurangan secara ketara sewaktu tidur.

Komplikasi

Seperti yang dinyatakan di atas, mulut kering meningkatkan risiko jangkitan mulut, penyakit gusi dan kerosakan gigi disebabkan oleh kehilangan kesan perlindungan air liur. Kadang-kala, mulut yang kering boleh menjadi tanda/gejala awal penyakit sistemik yang lain seperti kencing manis, sindrom Sjogren, scleroderma dan lain-lain penyakit.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada punca mulut kering. Untuk menentukan penyebab mulut kering anda, doktor anda perlu mendapatkan sejarah perubatan yang komprehensif dan melakukan pemeriksaan klinikal yang menyeluruh. Sesekali, beberapa ujian lain seperti ujian darah, analisis air kencing, ujian kadar aliran air liur, x-ray atau skan dan juga biopsi mungkin diperlukan untuk menentukan penyebab mulut kering. Pesakit dengan mulut kering yang kronik dan bukan disebabkan oleh dehidrasi mungkin memerlukan pendekatan pelbagai disiplin yang melibatkan pakar-pakar dari kepakaran berlainan.

Rawatan mulut kering biasanya disasarkan kepada meningkatkan kelembapan rongga mulut dan untuk meningkatkan kadar aliran air liur. Untuk menjadikan rongga mulut lebih selesa, ejen-ejen pelembap dan pelincir seperti air liur tiruan mungkin akan diberi kepada anda. Ia biasanya dalam bentuk gel, cecair atau semburan yang boleh digunakan sepanjang hari. Menggunakan chewing gum/candy/sweets (tanpa gula) boleh merangsang penghasilan air liur ataupun meningkatkan kadar aliran air liur. Sebagai langkah pencegahan terhadap pereputan gigi, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan penggunaan fluorida neutral topikal sama ada dalam bentuk gel ataupun ubat kumur. Mengekalkan kebersihan mulut yang baik dan berjumpa doktor gigi anda secara berkala boleh mengurangkan komplikasi yang timbul dari mulut yang kering.

Dalam kes-kes yang teruk, pakar yang merawat anda mungkin memberi ubat yang boleh meningkatkan pengeluaran air liur, namun begitu, ubatan tersebut mungkin mempunyai beberapa kesan sampingan lain yang akan diterangkan secara terperinci oleh pakar yang merawat anda.

Langkah-langkah penjagaan diri :

Perkara yang boleh dilakukan:

  • Hirup/Minum air atau minuman tanpa gula sepanjang hari.
  • Gunakan botol semburan (Gambarajah 1) berisi air bersih untuk melembapkan tisu di dalam mulut. Semburkan air ke dalam mulut sejam sekali /  bila perlu
    Gambarajah 1: Contoh botol semburan
  • Pastikan ada bekas air di sisi katil anda untuk digunakan waktu malam
  • Hirup sedikit air dengan setiap suapan makanan. Ini akan memudahkan anda mengunyah dan menelan makanan.
  • Makan makanan yang lembut dan berkrim (sup, kaserol) atau makanan dengan kandungan tinggi cecair (tembikai, anggur).
  • Lembapkan makanan dengan kuah / sos / minyak zaitun dan lain-lain (jika sesuai)
  • Gunakan bahan air liur gantian yang disyorkan oleh pakar anda (Gambarajah 2)
  • Melindungi bibir dengan penggunaan salap bibir.
  • Hisap gula-gula tanpa gula atau kunyah gula-gula getah tanpa gula untuk merangsang penghasilan air liur
  • Berjumpa dengan doktor gigi anda secara berkala
  • Berus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida dan flos (ikut arahan yang diberikan oleh doktor gigi / pakar anda).
  • Jaga kebersihan gigi palsu dengan baik dan keluarkan gigi palsu sebelum tidur.
  • Pertimbangkan menggunakan humidifier untuk bilik tidur

Perkara yang perlu dielakkan:

  • Produk Tembakau.
  • Minuman beralkohol
  • Makanan pedas, berasid, bergula, keras dan kering
  • Minuman berkafein.
  • Ubat kumur yang mengandungi alkohol.

Jika anda mempunyai mulut kering, sila berunding dengan doktor gigi / doktor anda.

Rujukan

  1. Porter SR, Scully C, Hegarty A: An update on the etiology and management of xerostomia. Oral Surg Oral Med Oral Pathol Oral Radiol Endod (2004) 97: 28 -46
  2. Scully C. (2008). Oral and maxillofacial medicine- The basis of diagnosis and treatment. (2nd ed.) Elsevier.

 

Semakan Akhir : 3 Jun 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam
Akreditor : Dr. Lau Shin Hin

 

Artikel Berkaitan

Bengkak Muka

Apa itu bengkak muka? Bengkak muka adalah pembesaran atau pengembangan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,643

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia