Pengenalan
Maloklusi didefinisikan sebagai keadaan di mana kedudukan gigi, rahang atau kombinasi kedua-duanya berada pada posisi atau susunan yang tidak betul. Biasanya, orang yang mempunyai gigi yang tidak cantik atau tidak teratur akan berasa malu untuk senyum. Maka, rawatan ortodontik dapat membolehkan mereka senyum dengan rasa yakin.Kebiasaannya, orang dewasa mendapatkan rawatan ortodontik disebabkan timbulnya kesedaran tentang kepentingan untuk mendapatkan gigi yang sihat dan juga senyuman yang menarik.
Apakah perbezaan di antara rawatan ortodontik terhadap kanak-kanak dan orang dewasa?
Bagi kanak-kanak yang mana tumbesaran rahangnya masih aktif, pergerakan gigi juga lebih cepat dan sejenis aplians / alat yang khas untuk memperbetul posisi rahang yang tidak betul, dapat digunakan. Akan tetapi, bagi orang dewasa, tumbesaran rahangnya telah berhenti, maka pergerakan gigi juga agak lambat. Dalam sesetengah kes, masalah posisi rahang yang teruk tidak dapat diperbetul dengan rawatan ortodontik sahaja, tetapi perlu diperbetul dengan menjalani pembedahan rahang, bagi mendapatkan posisi rahang yang memuaskan. Selain itu, orang dewasa juga lebih cenderung mengalami masalah penyakit gusi / periodontal. Kebanyakan orang dewasa memerlukan perancangan rawatan pelbagai disiplin, bagi memulihkan fungsi dan estetik seseorang.
Apakah alasan seseorang dewasa untuk mendapatkan rawatan ortodontik?
- Berasa malu apabila tersenyum dengan gigi yang tidak tersusun dan tidak cantik. Ini boleh memberi kesan ke atas keyakinan diri seseorang.
- Bagi menutup ruang di antara gigi.
- Menyukarkan pesakit untuk membersihkan gigi disebabkan susunan gigi yang teruk.
- Bagi membolehkan prosedur rawatan gigi yang lain dapat dijalankan seperti dentur (gigi palsu), korona gigi (crown), jambatan gigi (bridge) dan implan gigi.
- Dijalankan pada pesakit yang mempunyai penyakit periodontal yang terkawal, bagi memudahkan pesakit membersihkan gigi.
- Bagi pesakit yang mempunyai masalah rahang dan gigitan yang salah. Ini menyebabkan mereka mempunyai masalah dalam pertuturan, gigitan dan pengunyahan makanan.
- Bagi pesakit yang tidak sukakan penampilan muka dengan kedudukan rahang yang salah. Ini memerlukan rawatan ortodontik bersama pembedahan tulang rahang. Rawatan khas ini dinamakan pembedahan ortognatik.
Apakah langkah pertama yang perlu saya buat jika saya berminat untuk menjalani rawatan ortodontik?
Pertama sekali, hendaklah berjumpa dengan doktor gigi yang akan merujuk kes anda kepada pakar ortodontik. Kemudian, pakar ortodontik, akan memeriksa gigi dan gusi anda bagi memastikan kesihatan mulut anda adalah baik sebelum memulakan rawatan ortodontik. Kebersihan mulut yang teruk, karies yang tidak dirawat dan penyakit gusi (periodontal) akan menyukarkan rawatan ortodontik anda.
Berapakah jangka masa rawatan ortodontik?
Rawatan ortodontik mengambil masa selama 2 – 3 tahun, bergantung kepada tahap keterukan maloklusi.
Apakah yang saya perlu lakukan semasa menjalani rawatan ortodontik?
Semasa menjalani rawatan ortodontik, anda perlu mempunyai tahap kebersihan mulut yang sangat baik. Selain daripada menepati temu janji rawatan ortodontik berkala, anda perlu membuat pemeriksaan gigi yang rutin dengan doktor gigi setiap 6 bulan. Orang dewasa juga lebih cenderung untuk mengalami penyakit gusi apabila umur meningkat. Anda juga perlu mengurangkan pengambilan makanan / minuman manis, air berkarbonat, makanan yang keras dan elakkan merokok.
Apakah jenis pendakap gigi yang terdapat di pasaran?
Secara umumnya, terdapat 2 jenis pendakap gigi :
- Alat jenis boleh tanggal (removable braces)
Pendakap jenis ini adalah sejenis alat yang boleh ditanggalkan untuk dibersihkan. Ia diperbuat daripada sejenis plastik yang khas dalam warna yang berbeza. Ia digunakan bagi kes yang mudah di mana hanya pergerakan gigi yang sedikit diperlukan. - Alat jenis tetap (fixed braces)
Pendakap jenis ini adalah sejenis alat yang lekat pada gigi dan tidak boleh ditanggalkan sehingga rawatan selesai. Jenis (pendakap) ortodontik yang biasa digunakan adalah yang diperbuat daripada besi tahan karat (stainless steel). Jenis pendakap lain yang kurang menyerlah adalah pendakap jenis seramik dan pendakap di lingual gigi (lingual orthodontic).
Adakah saya perlu memakai alat pemegang (retainers)?
Anda perlu memakai alat pemegang apabila rawatan ortodontik selesai.
Terdapat beberapa jenis alat pemegang, yang akan disyorkan oleh pakar ortodontik kepada anda. Ia boleh terdiri daripada pemegang jenis boleh tanggal (eg: jenis Hawley dan jenis Essix) atau jenis tetap di mana ia dilekatkan di permukaan belakang gigi hadapan (bonded lingual retainer).
Berapa lamakah saya perlu memakai alat pemegang?
Oleh kerana pergerakan gigi tidak boleh dijangka dan ia akan terus bergerak sepanjang hayat, anda dinasihatkan untuk memakai alat pemegang dalam jangka masa yang panjang, bagi mengekalkan susunan gigi.
Jenis-jenis pendakap gigi
Jenis – jenis alat pemegang
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Farid Patrick b. Abdullah |
Akreditor | Dr. Khoo Chooi See | |
Penyemak | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanuddin |