Apakah Itu Pemakaian Elastik?
Elastik adalah gegelang kecil kenyal yang diperbuat daripada getah asli / tiruan yang akan diberikan oleh pakar ortodontik anda untuk anda pakai pada pendakap gigi dalam konfigurasi tertentu. Tujuan pemakaian elastik adalah untuk membolehkan pesakit membantu pakar ortodontik menggerakkan gigi. Penggunaan pendakap gigi sahaja kadangkala tidak dapat menggerakkan gigi ke kedudukan yang dikehendaki oleh pakar ortodontik, tetapi ia dapat dibantu dengan pemakaian elastik.
Elastik diperbuat daripada getah gred perubatan yang dijamin selamat digunakan di dalam mulut. Untuk mereka yang mempunyai alahan/allergi terhadap barangan lateks getah asli bolehlah guna elastik bukan getah.
Apakah Fungsi Elastik?
Pendakap gigi yang terdiri daripada braket, dawai arkus dan pengikat / ligatur menggerakkan gigi di sepanjang garisan gusi dan pada sudut bertentangan dengan gusi. Elastik pula menarik gigi ke hadapan atau ke belakang, supaya barisan gigi atas dan gigi bawah tersusun rapi dan seterusnya menambahbaik senyuman anda serta membolehkan anda menggigit dengan sempurna dan selesa. Elastik kerapkali digunakan untuk menolong merapatkan ruang antara gigi, atau memastikan ruang antara gigi merapat dalam arah yang betul dan membetulkan garisan tengah gigi. Elastik juga boleh digunakan untuk membantu proses pergerakan atau pembetulan sebatang gigi tertentu atau beberapa gigi sekaligus.
Bagaimanakah Elastik Dipakai?
Braket yang bercangkuk dipasang pada satu gigi atau beberapa gigi di setiap gigi sisi kiri dan kanan, juga pada gigi atas dan bawah. Elastik disangkut pada satu cangkuk braket ke cangkuk braket yang lain. Arah/cara pemakaian elastik adalah berdasarkan jumlah tekanan yang harus diberikan untuk membetulkan overjet (gigi jongang) atau gigitan terbalik (gigi bawah hadapan yang terkehadapan). Elastik dikelaskan mengikut masalah kegigian yang hendak dibetulkan. Ilustrasi cara pemakaian elastik yang berbeza-beza adalah seperti yang ditunjukkan di bawah.
Konfigurasi Elastik
Elastik Kelas I (untuk menutup ruang antara gigi / merapatkan gigi)
Elastik ini disangkut dari cangkuk pada gigi geraham besar (molar) pertama atas atau molar kedua, ke cangkuk gigi taring (kanin) atas sebelah yang sama. Ini akan merapatkan ruang antara gigi-gigi tersebut. Pemakaian elastik begini juga boleh digunakan untuk gigi di rahang bawah.
Elastik Kelas II (untuk membetulkan overjet)
Elastik ini disangkut pada cangkuk gigi taring atas ke cangkuk gigi geraham besar bawah pertama atau kedua. Cara ini menolong menggerakkan gigi atas anda ke belakang dan gigi bawah anda ke hadapan.
Sama keadaannya dengan elastik Kelas II, elastik ini bermula dari cangkuk gigi taring atas. Ia seterusnya disangkutkan ke bawah cangkuk gigi geraham kecil (pramolar) bawah terus ke cangkuk gigi geraham pertama atau kedua bawah membentuk segitiga. Ini membantu menggerakkan gigi atas ke belakang dan gigi bawah ke hadapan dan juga gigi belakang atas dan bawah dapat dirapatkan dan saling bersentuhan dengan sempurna.
Elastik Kelas III (untuk membetulkan gigitan terbalik atau gigi bawah yang terkehadapan)
Elastik ini bermula dari cangkuk gigi taring bawah ke cangkuk gigi geraham besar atas yang pertama atau kedua. Ini menolong menggerakkan gigi atas ke hadapan dan gigi bawah ke belakang.
Elastik Segitiga Hadapan (untuk merapatkan gigitan)
Elastik ini disangkut pada cangkuk gigi taring atas ke cangkuk gigi geraham kecil bawah yang membentuk satu segitiga. Elastik ini membantu memperbaiki gigitan yang terbuka di antara gigi-gigi hadapan atas anda yang tidak bersentuhan dengan gigi-gigi hadapan bawah.
Elastik V (untuk merapatkan gigi)
Elastik ini disangkut pada 3 gigi yang membentuk huruf V. Ia menolong merapatkan gigitan agar gigi atas dan gigi bawah bersentuhan. Corak ini boleh digunakan untuk gigi hadapan atau gigi belakang.
Elastik Silang Hadapan (untuk membetulkan garisan tengah)
Elastik garisan tengah- Elastik ini dipakai dari cangkuk gigi taring atas ke cangkuk gigi taring bawah sebelah bertentangan, dan boleh juga disangkut ke mana-mana gigi hadapan. Elastik ini membantu membetulkan garis tengah gigi atas dan bawah.
Elastik Kotak Hadapan (untuk merapatkan gigitan).
Elastik ini disangkut pada 4 gigi; 2 gigi atas dan 2 gigi bawah membentuk corak kotak. Ini menolong merapatkan gigi hadapan atas dan gigi hadapan bawah agar saling bersentuhan.
Elastik ini disangkut pada 4 gigi; 2 gigi atas dan 2 gigi bawah yang membentuk corak kotak. Ini menolong menarik gigi belakang atas dan bawah bersentuhan antara satu sama lain.
Elastik Gigitan Silang (untuk membetulkan gigitan silang)
Elastik ini disangkut pada cangkuk di sebelah dalam gigi geraham besar bawah ke cangkuk di sebelah luar gigi geraham besar atas yang menolong membetulkan gigitan silang (situasi di mana keseluruhan korona gigi bawah berada di sebelah dalam gigi atas).
Rantai Elastomerik (untuk menutup ruang antara gigi)
“Rantai” ini digunakan untuk menolong memegang dawai arkus pada braket dan juga menarik gigi-gigi rapat sesama sendiri untuk menutup ruang-ruang di celahan gigi. (Rantai ini dipakaikan oleh pakar ortodontik dan tidak boleh ditanggalkan oleh pesakit sehinggalah pesakit hadir untuk temujanji seterusnya).
Siapakah Yang Perlu Memakai Elastik?
Biasanya pesakit yang memerlukan pemakaian elastik adalah mereka yang mempunyai overjet yang berlebihan (jongang). Apabila overjet melebihi tahap normal (2-4mm), pakar ortodontik akan memutuskan supaya elastik dipakai.
Bagaimana Dan Bila Elastik Harus Dipakai?
Anda haruslah mengikut arahan pemakaian elastik dengan teliti semasa rawatan ortodontik anda. Pemakaian elastik menyebabkan peningkatan rasa sakit, tidak selesa dan menyusahkan jika dibandingkan dengan rutin mengetatkan dawai arkus dengan ligatur pada pendakap gigi/braket. Walau bagaimanapun, pemakaian elastik akan memastikan rawatan berjalan mengikut jadual, menghasilkan kedudukan gigi yang optimal dan dapat menghindarkan tempoh rawatan ortodontik yang berlarutan.
Secara umumnya, pemakaian elastik disarankan sebagai pemakaian sepenuh masa atau pemakaian pada waktu malam sahaja. Pemakaian sepenuh masa adalah untuk menggerakkan gigi dan membetulkan kedudukan gigitan sekaligus. Manakala, pemakaian pada waktu malam sahaja adalah untuk mengekalkan kedudukan gigi yang telah dicapai. Perbezaan pemakaian elastik sepenuh masa dan separuh masa (malam sahaja) adalah ketara kerana gigi dan gigitan hanya akan berubah apabila ada daya tarikan yang tetap dan berterusan. Oleh itu, gigi tidak akan bergerak dengan sempurna jika pesakit tidak mengikut arahan pemakaian elastik dengan betul atau memakai kurang dari masa yang ditetapkan. Ini akan melambatkan kelancaran rawatan dan mengkompromi susunan gigi akhir.
Anda tidak boleh sekali-kali menggandakan bilangan elastik yang dipakai. Telahan anda mungkin mengatakan yang lebihan elastik lebih berkesan, tetapi kenyataannya langkah ini tidak menjimatkan masa. Tempoh masa daya/tekanan itu dikenakan adalah lebih penting daripada jumlah (kekuatan) daya yang dikenakan. Hakikatnya, menggandakan pemakaian elastik menyebabkan tekanan yang terlalu tinggi yang sebaliknya melambatkan pergerakan gigi dan merosakkan akar gigi.
Elastik yang telah dipakai hendaklah digantikan dengan elastik yang baru. Anda mungkin dikehendaki menukar elastik setiap hari bergantung kepada kekuatan/ketebalan elastik dan juga pergerakan rahang mulut sehari-hari. Oleh itu anda perlulah membawa bersama paket elastik yang dibekalkan tersebut sepanjang masa. Adalah disarankan juga untuk anda mengganti elastik sekali sehari. Ini adalah perlu walaupun elastik anda tidak putus kerana elastik akan kurang kekenyalan dan susut kekuatannya dengan peredaran masa. Arahan pemakaian elastik adalah berbeza dari seorang pesakit dengan pesakit yang lain.
Panduan terbaik untuk pergerakan gigi yang berkesan adalah untuk mengikut apa yang disarankan oleh pakar ortodontik anda.
Daftar kata
- Dawai arkus – dawai yang diikat pada gigi
- Braket – bahagian pendakap gigi yang dilekatkan pada gigi.
- Gigitan silang – kedudukan susunan gigi di mana gigi bawah terkehadapan daripada gigi atas.
- Elastik – gegelang kenyal diperbuat daripada getah atau bahan sintetik yang digunakan untuk menghasilkan daya penggerakan gigi.
- Garisan tengah – kedudukan tengah di antara kegigian di sisi kanan dan kiri.
- Overjet – kedudukan gigi hadapan atas yang terkehadapan / jongang
- Gigitan terbalik – keadaan gigitan apabila gigi-gigi hadapan bawah dalam kedudukan yang terkehadapan daripada gigi-gigi hadapan atas.
Rujukan
- Baty DL. Synthetic elastomeric chains: A literature review. American Journal of Orthodontics and Dentofacial Orthopedics 1994; 105(6):536-42
- Singh VP et al. Elastics in orthodontics; A review. Health Renaissance, 2012 ; Vol 10 ( no.1);49-56
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Lillybia Emily Ebin |
Penterjemah | : | Dr. Asmak bt. Shaari |
Akreditor | : | Dr. Arjunan a/l Muthusamy |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |