A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Pemakanan Pesakit Strok Di...

Pemakanan Pesakit Strok Di Rumah

Kejadian strok meningkat dengan faktor umur dan sejumlah 75% daripada pesakit yang mengalami strok adalah mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun.

Pengenalan

Kejadian strok meningkat dengan faktor umur dan sejumlah 75% daripada pesakit yang mengalami strok adalah mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun (J Neurosci Nurs 1994).

Adalah dilaporkan bahawa pesakit strok mempunyai peningkatan kadar malnutrisi dari 16% semasa kemasukan ke wad kepada 22 – 35% setelah 2 minggu di wad (Acta Med Scand, 1988). Keadaan malnutrisi ini menjadi lebih teruk apabila pesakit pulang ke rumah disebabkan oleh penjagaan pemakanan yang tidak optimum mengikut keperluan individu.

Tanda-tanda dan Gejala

Dianggarkan sebanyak 29 – 64% pesakit strok akan mengalami disfagia. Disfagia ialah istilah perubatan bagi keadaan kesukaran untuk menelan makanan dan minuman.

Komplikasi

Disfagia boleh menyebabkan kekurangan pengambilan makanan yang membawa kepada penurunan berat badan dan mengakibatkan malnutrisi (kekurangan zat makanan). Ia juga turut dikaitkan dengan kekurangan air badan, aspirasi dan pneumonia (J Neurosci Nurs 1994).

Pengurusan Pemakanan

Terdapat dua cara penjagaan pemakanan yang biasa dilakukan, iaitu:

1. Pengambilan makanan melalui mulut

Ujian Penelanan (Swallowing Test) perlu dilakukan oleh Pegawai Pertuturan (Speech Therapist) untuk menentukan jenis minuman dan konsistensi makanan yang sesuai diambil melalui mulut. Pesakit strok yang mengalami disfagia memerlukan pengurusan pemakanan secara perseorangan bergantung kepada kebolehan untuk makan dan minum serta tekstur yang bersesuaian.

Tekstur dan kepekatan makanan boleh diubahsuai seperti :

  1. Makanan dicincang kasar / halus
  2. Makanan dikisar kasar
  3. Makanan dilecek halus (puri)
  4. Minuman / makanan dipekatkan menggunakan agen pemekat makanan seperti tepung jagung atau agen pemekat komersial.

Rajah 1: Makanan dicincang kasar

Rajah 2: Makanan dikisar kasar

Rajah 3: Makanan dilecek halus (puri) Contoh: Kentang putar

Rajah 4: Makanan/minuman dipekatkan mengguna agen pemekat makanan

2. CONTOH RESEPI BUBUR
Hidangan ini tidak perlu dikisar atau ditapis sekiranya pesakit boleh menelan makanan lembut.

BUBUR IKAN BILIS
(1 hidangan : 223kcal, 12g protein)

BAHAN

  1. ¼ cawan beras
  2. 3 sudu besar ikan bilis
  3. ¼ sudu kecil garam (pilihan)
  4. ¼ cawan lobak (dipotong kecil)
  5. 1 ulas bawang merah
  6. 1 ulas bawang putih
  7. 1 sudu besar minyak sayuran

CARA PENYEDIAAN

  1. Masak beras dengan secawan air sehingga menjadi bubur.
  2. Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
  3. Rebus lobak sehingga lembut.
  4. Masukkan semua bahan ke dalam bubur dan kemudian masukkan garam (jika perlu).
  5. Kisar bubur sehingga menjadi cecair dan ditapis (jika perlu).
  6. Tambah air ¼ cawan jika terlalu pekat.

BUBUR AYAM/IKAN
(1 hidangan : 205-211kcal, 7-10g protein)

BAHAN

  1. ¼ cawan beras
  2. ¼ cawan ayam/ ikan tenggiri (dicincang)
  3. ¼ sudu kecil garam
  4. ¼ cawan lobak (dipotong kecil)
  5. ¼ cawan kacang pis/ sayur bayam
  6. 1 sudu besar minyak masak

CARA PENYEDIAAN

  1. Masak beras dengan secawan air sehingga menjadi bubur
  2. Ayam/ ikan direbus dan dicincang.
  3. Rebus lobak dan kacang pis sehingga lembut.
  4. Tumis ayam/ ikan, lobak dan kacang pis dan masukkan ke dalam bubur.
  5. Masukkan garam dan gaul sebati.
  6. Kisar sehingga menjadi cecair dan ditapis (jika perlu).
  7. Tambah ¼ cawan air jika terlalu pekat.

BUBUR ROTI
(190kcal, 11g protein)

BAHAN

  1. 2 keping roti (dibuang kulit)
  2. 200 ml susu rendah lemak

CARA PENYEDIAAN

  1. Roti dikisar bersama susu rendah lemak sehingga menjadi cecair dan ditapis.
  2. Dapatkan sukatan 250ml.

3. Pemakanan melalui tiub (Enteral Nutrition)

Pesakit yang tidak boleh makan dan minum secara oral dengan mencukupi serta berisiko tinggi untuk aspirasi dan tersedak perlu menggunakan tiub pemakanan sehingga berkeupayaan untuk menelan secara normal.

Laluan dan kaedah pemakanan melalui tiub biasanya akan ditetapkan oleh pihak hospital atau klinik. Namun, ahli keluarga perlu memilih produk yang sesuai untuk digunakan semasa di rumah.

Formula enteral polimerik dengan kandungan nutrient yang seimbang adalah sesuai untuk pesakit strok dengan fungsi gastrousus yang baik,. Produk polimerik biasanya mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang perlu dihadam. Kini terdapat pelbagai formula polimerik di pasaran yang boleh dibeli di farmasi, kedai ubat dan pasar raya. Terdapat juga produk polimerik yang tinggi serat, tinggi protein dan tinggi tenaga yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit. Produk enteral yang dirumus khas untuk keadaan penyakit-penyakit tertentu juga boleh digunakan. Rumusan susu lain seperti susu rendah lemak, susu tanpa lemak atau susu penuh krim juga boleh digunakan bersama-sama dengan campuran bijirin halus.

Kebiasaannya, 1200 – 1800 ml produk enteral yang dibancuh mengikut sukatan boleh memenuhi keperluan tenaga kebanyakan pesakit. Pesakit atau ahli keluarga disarankan untuk mendapatkan nasihat pemakanan daripada Pegawai Dietetik di hospital atau klinik berhampiran sebelum menggunakan sebarang formula enteral atau rumusan lain. Pegawai Dietetik akan membantu untuk merancang diet yang paling sesuai dari segi jumlah dan cara penyediaan.

Ahli keluarga yang ingin menyediakan bubur kisar (blenderised diet) di rumah untuk diberi melalui tiub pemakanan perlu mendapat panduan daripada Pegawai Dietetik. Perlu diingat bahawa komposisi nutrisi bubur kisar adalah rendah dan tidak tepat. Kepekatan juga berbeza dan tidak dapat dipastikan dengan tepat. Ia terdedah kepada risiko kontaminasi yang tinggi. Selain itu, ia juga mudah menyumbatkan tiub pemakanan.

Rujukan

  1. Lugger KE. Dysphagia in the elderly stroke patient. J Neurosci Nurs1994
  2. Avelsson K, Asplund K, Norberg A, Alafuzoff I. Nutritional status in patients with acute stroke. Acta Med Scand 1988
  3. Mann G, Hankey GJ, Cameron D. Swallowing function after stroke: progress and prognostic factors at 6 months. Stroke 1999
  4. Hillel M. Rehabilitation medicine: 2. Diagnosis of dysphagia and its nutritional management for stroke patients. CMAJ 2003
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dzairudzee binti Rosli
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,650

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia