Vaksin dan Imunisasi
Imunisasi adalah satu proses pemberian vaksin kepada individu dengan tujuan untuk meningkatkan sistem imunisasi terhadap penyakit-penyakit berjangkit. Vaksin ialah antigen (virus atau bakteria) yang mati atau telah dilemahkan dan disuntik ke dalam badan atau diberikan melalui hidung atau mulut. Seterusnya, badan akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi dan sel-sel memori. Antibodi dan sel-sel memori ini akan mengingati dan menyerang antigen tersebut sekiranya jangkitan berlaku.
Program imunisasi adalah cara terbaik untuk melindungi individu khususnya mereka yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah seperti bayi dan kanak-kanak dari serangan penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin. Imunisasi terbukti dapat mengawal dan menghapuskan penyakit berjangkit yang mengancam nyawa dan dianggarkan antara 2-3 juta kematian setiap tahun dapat dielakkan melalui program imunisasi.
Program Imunisasi Kebangsaan
Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan telah diperkenalkan pada awal tahun 1950an dan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak untuk melindungi mereka daripada penyakit-penyakit utama bagi golongan tersebut. Program imunisasi tersebut menawarkan perlindungan terhadap penyakit-penyakit utama yang boleh dicegah dengan vaksin bagi kanak-kanak termasuklah seperti difteria, kancing gigi, batuk kokol, jangkitan Haemophilus influenza jenis b, hepatitis B, demam campak, beguk, rubella, batuk kering, polio dan beberapa penyakit yang disebabkan oleh papillomavirus manusia. Program ini ada disediakan di semua klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
Ibu bapa bertanggungjawab bagi memastikan anak mereka dilindungi daripada penyakit berjangkit berbahaya yang boleh dicegah dengan vaksin dengan mengikuti jadual imunisasi kebangsaan Malaysia (seperti di bawah) dan memastikan anak mereka menerima setiap vaksin pada tempoh masa yang ditetapkan.
Kesan Advers Selepas Imunisasi (AEFI)
Kesan advers selepas pelalian atau lebih sinonim dengan Adverse Events Following Immunization (AEFIs) adalah sebarang kesan advers yang dialami setelah pelalian dan tidak semestinya mempunyai kaitan dengan vaksin yang digunakan. Kesan advers yang berlaku berkemungkinan adalah sesuatu yang tidak dijasangka, penemuan bacaan makmal yang tidak normal, timbulnya gejala-gajala atau penyakit. Kesan advers yang dilaporkan berkemungkinan adalah disebabkan oleh vaksin atau proses imunisasi itu sendiri atau mungkin hanya secara kebetulan sahaja.
Pada tahun 2012 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengemaskini jenis atau klasifikasi AEFI kepada beberapa jenis iaitu reaksi berkaitan vaksin, reaksi berkaitan kualiti vaksin, reaksi berkaitan kesilapan immunisasi, reaksi berkaitan kegelisahan semasa immunisasi dan reaksi kebetulan.
Reaksi Terhadap Vaksin
Terdapat dua jenis reaksi atau tindakbalas terhadap vaksin iaitu tindakbalas yang biasa dan ringan atau tindakbalas yang jarang dan lebih serius. Kebanyakan reaksi vaksin adalah ringan dan sembuh dengan cepat seperti reaksi pada tempat suntikan dan demam. Reaksi yang lebih serius seperti anafilaksis adalah sangat jarang berlaku dan, secara amnya, tidak menyebabkan masalah jangka panjang.
Cara Menguruskan Kesan Advers Selepas Imunisasi
- Pemerhatian Selepas Menerima Vaksinasi
Penerima vaksin harus diletakkan di bawah pemerhatian anggoto kesihatan di fasiliti yang memberi suntikan bagi waktu yang singkat, sekurang-kurangnya 15 minit selepas suntikan untuk memastikan bahawa mereka tidak mengalami sebarang kesan advers yang berlaku secara tiba-tiba. Kejadian anafilaksis serius biasanya berlaku dengan cepat dalam tempoh 10 minit selepas menerima suntikan dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan serta-merta.
Kesan advers selepas imunisasi yang paling serius ialah anafilaksis. Walau bagaimanapun, di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih berusia, kesan advers yang sering berlaku dengan cepat adalah episod vasovagal (pengsan), sama ada ia berlaku serta-merta atau beberapa minit selepas suntikan. Oleh itu, sesiapa yang mengadu pening sebelum atau selepas vaksinasi harus dinasihatkan supaya berbaring sehingga bebas daripada gejala bagi mengelakkan sebarang kesan buruk akibat dari jatuh. Kesan advers pengsan selepas imunisasi biasanya berlaku dalam tempoh 5 minit dan kebanyakannya berlaku dalam tempoh 30 minit selepas suntikan.
- Mengendalikan Reaksi pada Tempat Suntikan
Kesan advers pada tempat suntikan seperti kemerahan, gatal-gatal, bengkak atau pedih adalah perkara biasa dan akan sembuh dalam 1 ke 2 hari selepas suntikan. Ubat penahan sakit seperti Paracetamol mungkin diperlukan untuk mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Kadang-kala, terdapat ketulan kecil dan keras yang berterusan untuk beberapa minggu atau bulan tetapi ianya tidak memerlukan rawatan.
- Mengendalikan Demam Selepas imunisasi
Paracetamol mungkin diperlukan jika bayi atau kanak-kanak mengalami demam yang tinggi berikutan vaksinasi. Dos paracetamol adalah 15 mg/kg, dan dos maksimum adalah sebanyak 75 mg/kg sehari. Teknik sponging boleh membantu dalam mengurangkan suhu badan yang tinggi dan memastikan pengambilan kuantiti air yang lebih daripada biasa kepada bayi atau kanak-kanak. Sekiranya suhu badan bayi tinggi, elakkan memakai pakaian yang berlebihan.
Sistem Pemantauan Keselamatan Vaksin
Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) berperanan untuk memantau keselamatan ubat dan vaksin yang didaftarkan di Malaysia. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan bertanggungjawab untuk mengumpul semua laporan kesan advers berkaitan produk farmaseutikal termasuk vaksin. Semua laporan kesan advers yang dilaporkan akan didokumentasikan manakala kes-kes serius selepas imunisasi akan disiasat dengan segera bagi mengenalpasti punca kejadian kesan advers berkaitan. BPFK seterusnya akan membuat siasatan lanjut dari aspek kualiti produk dan tindakan regulatori akan diambil berdasarkan keputusan siasatan. Jenis tindakan regulatori yang boleh diambil adalah penggantungan pendaftaran produk, panggil balik produk atau pembatalan pendaftaran produk.
Sistem pelaporan kesan advers ubat atau vaksin ini telah diperkenalkan di Malaysia bagi membolehkan anggota-anggota kesihatan untuk mengambil bahagian dalam pemonitoran keselamatan ubat-ubatan dan vaksin dengan cara melaporkan kesan advers yang ditemui. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat latihan kepada anggota-anggota kesihatan tentang kepentingan untuk melaporkan kejadian AEFI seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Farmakovigilans Vaksin KKM. Latihan berterusan masih dan akan diadakan dengan lebih giat lagi bagi mempertingkatkan kesedaran di kalangan anggota kesihatan dan ibubapa/penjaga atau pengguna untuk melaporkan kejadian kesan advers selepas imunisasi.
Pelaporan Kesan Advers Selepas Imunisasi di Malaysia
Orang awam, ibubapa atau penjaga kanak-kanak yang mengalami sebarang kesan advers selepas imunisasi perlu melaporkan dengan kadar segera. Borang bercetak (Lampiran A) boleh diperolehi dari hospital, klinik atau farmasi komuniti dan dihantar melalui mel biasa ke alamat:
Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan,
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan,
Peti Surat 319, Pejabat Pos Jalan Sultan,
46730 Petaling Jaya
atau
Faks ke nombor 03-79567151.
Orang awam/ibubapa/penjaga boleh mengembalikan borang berkenaan yang telah diisi kepada fasiliti kesihatan dimana suntikan diberikan dan borang tersebut akan memanjangkannya kepada BPFK. Selain itu, borang tersebut juga boleh didapati dan dicetak dari laman web BPFK atau boleh dihantar secara online di www.bpfk.gov.my
Kebaikan Pelaporan Kesan Advers Selepas Imunisasi
Sistem pelaporan yang diwujudkan di Malaysia dengan menggalakkan anggota-anggota kesihatan, orang awam, ibubapa atau sesiapa sahaja untuk melaporkan kejadian kesan advers adalah bertujuan untuk memastikan bahawa sebarang isyarat keselamatan dapat dikesan, dianalisa dan diambil tindakan dengan segera, sekiranya perlu.
BPFK sebagai Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan memantau secara berterusan semua kejadian kesan advers ubat termasuk kesan advers selepas imunisasi yang dilaporkan dan membuat analisa dan penilaian bagi memastikan semua ubat termasuk vaksin yang digunakan/dipasarkan di Malaysia adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Sekiranya terdapat keadaan dimana sesuatu ubat/vaksin itu didapati risiko penggunaanya melebihi munafaat kepada pesakit/pengguna, maka tindakan regulatori sewajarnya akan diambil bagi melindung keselamatan pesakit/pengguna di Malaysia.
Orang awam digalakkan untuk melaporkan kesan advers ubat atau kesan advers berikutan imunisasi kerana laporan-laporan tersebut sangat berguna dalam mengesan sebarang isyarat keselamatan berkaitan dengan penggunaan ubat-ubatan/vaksin.
Rujukan
- Guidelines for immunization programme managers on surveillance of adverse events following immunization, Second Edition
- http://www.immunise4life.my/
- http://www.who.int/topics/immunization/en/
- Immunization Safety Surveillance
Semakan Akhir | : | 24 Jun 2015 |
Penulis | : | Nurulhuda bt. Hamdan |
Akreditor | : | Rokiah bt. Ishak |