Apakah pergabungan rawatan ortodontik- restoratif?
Rawatan ortodontik adalah rawatan untuk membetulkan maloklusi (suatu keadaan di mana gigi-gigi dalam mulut tidak tersusun dengan baik) manakala rawatan restoratif adalah rawatan yang berkaitan dengan pengubahsuaian bentuk dan saiz gigi, dan juga penggantian gigi yang hilang.
Pergabungan rawatan diperlukan untuk kes-kes pergigian yang kompleks untuk mendapat hasil rawatan yang memuaskan dari segi estetik dan fungsi.
Apakah kes-kes yang memerlukan pergabungan rawatan ortodontik- restoratif?
Kes-kes memerlukan pergabungan rawatan ortodontik-restoratif adalah seperti berikut:
- Hypodontia
Hypodontia adalah istilah keadaan klinikal di mana satu atau lebih gigi kekurangan daripada normal secara semulajadi (bukan disebabkan oleh cabutan atau trauma).1 Oligondontia digunakan apabila lebih dari 6 batang gigi yang hilang. Prevalen hypodontia adalah 3.5%-6.5%1 Gigi yang paling biasa kurang ialah gigi geraham kecil kedua bawah, diikuti dengan gigi kacip lateral atas, gigi geraham kecil kedua atas dan gigi kacip bawah.
Rawatan ortodontik diperlukan untuk menyusun gigi pada kedudukan yang optima untuk penggantian gigi.2 (Rajah 1) Ia juga digunakan untuk menutup ruang di antara gigi akibat kehilangan gigi secara semulajadi.2
Rawatan restoratif disusli selepas rawatan ortodontik untuk penggantian gigi yang kurang atau pengubahsuaian bentuk atau saiz gigi.3,4
- Rawatan adjuntif
Rawatan adjuntif bermaksud rawatan ortodontik tambahan yang mempunyai objektif rawatan yang terhad. Ia bertujuan untuk memudahkan rawatan restoratif yang dirancang. Contohnya ialah menegakkan gigi yang condong dengan braces sebelum pembuatan gigi palsu boleh tanggal / jambatan, menyusun gigi dan mewujudkan ruang yang mencukupi untuk penggantian gigi. (Rajah 2) Jangkamasa rawatan Ortodontik dalam keadaan ini selalunya lebih pendek kerana objektif rawatan yang terhad dan spesifik.
Rajah 2 – Penyusunan gigi dengan braces untuk memudahkan penggantian gigi - Kes-kes sindromik seperti Cleidocranial dysplasia
- Sumbing bibir dan lelangit (cleft lip & palate) (Rajah 3)
Apakah jenis-jenis rawatan yang terlibat?
Rawatan pergabunngan ortodontik-restoratif akan melibatkan rawatan pendakap gigi (braces) untuk menyusun gigi dan kemudiannya rawatan restoratif4 yang melibatkan pengubahsuaian bentuk dan saiz gigi dengan tampalan biasa, venir atau korona dan juga penggantian gigi yang hilang dengan gigi palsu boleh tanggal, jambatan atau implan.
Apakah jangkamasa rawatan?
Jangkamasa rawatan bergantung kepada kerumitan kes.
Secara amnya, rawatan ortodontik akan mengambil masa 18 hingga 36 bulan dan kemudiannya diikuti dengan rawatan restoratif.
Apakah risiko rawatan?
Risiko rawatan ortodontik termasuk dekalsifikasi / karies pada permukaan gigi, penyusutan akar gigi, penyakit periodontium (gusi dan tulang gusi), ulser akibat trauma pada tisu lembut dan alahan setempat/ sistemik.
Apakah kos rawatan?
Kos rawatan bergantung kepada kerumitan sesuatu kes. Ia juga berbeza dari klinik ke klinik. Kos adalah untuk rawatan ortodontik dan gigi palsu, korona, venir, jambatan, implan dan lain-lain.
Rujukan
- Goodman JR, Jones SP, Hobkirk JA, King PA. Hypodontia: 1. Clinical Features and Management of mild to moderate hypodontia. Dental Update 1994; 381-384
- Carter NE, Gillgrass TJ, Hobson RS, Jepson N, Meechan JG, Nohl FS, Nunn JH. The Interdisplinary management of hypodontia: orthodontics. Br Dent J 2003 Apr 12; 194(7):361-6
- Jepson NJ, Nohl FS, Carter NE, Gillgrass TJ, Meehan JG, Hobson RS, Nunn JH. The interdisplinary management of hypodontia: restorative dentistry. Br Dent J 2003 Mar 22; 194(6): 299-304
- Lewis BR, Gahan MJ, Hodge TM, Moore D. The orthodontic-restorative interface: 2. Compensating for variations in tooth number and size. Dent Update 2010 Apr; 37(3): 138-40
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Ong Siang Ching |
Akreditor | : | Dr. Loke Shuet Toh |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |