Apa itu Ortodontik Interseptif?
Ortodontik interseptif ialah prosedur rawatan yang boleh menghapuskan pembentukan maloklusi atau mengurangkan keterukan maloklusi yang sedang membentuk. Diagnosis dan pencegahan awal sesetengah ciri maloklusi pada kanak-kanak yang sedang membesar dapat membantu mengurangkan keterukan maloklusi yang akan terbentuk. Pakar ortodontik dan doktor pergigian merawat kes interseptif dengan alat/aplians boleh tanggal atau aplians tetap ringkas (simple fixed appliance) 1,2,3.
Aplians boleh tanggal adalah sejenis alat yang boleh ditanggalkan oleh pesakit untuk tujuan pembersihan gigi atau semasa makan. Sebaliknya, aplians tetap dilekatkan/terlekat pada permukaan gigi dan tidak boleh ditanggalkan oleh pesakit.
Bilakah masa yang paling sesuai untuk melaksanakan Ortodontik Interseptif?
Ortodontik interseptif biasanya dilakukan di peringkat kegigian campuran (Lihat Jadual 1).
Peringkat kegigian
|
Pembentukan oklusi normal
|
---|---|
Kegigian desidus (3-6 tahun) ) |
Menjelang umur 3 tahun, seorang kanak-kanak akan mempunyai 20 batang gigi desidus/susu di dalam mulut. Gigi desidus yang sihat memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan dimensi tulang arkus semasa pertumbuhan gigi kekal Ortodontik interseptif jarang dilakukan di peringkat kegigian desidus.
|
Kegigian campuran (6-12 tahun) |
Fasa kegigian campuran bermula dengan pertumbuhan gigi geraham kekal pertama di rahang bawah iaitu dalam lingkungan umur 6 tahun. Gigi insisor/kacip kekal pula akan tumbuh semasa umur 7 hingga 8 tahun. Ini diikuti oleh gigi pramolar dan gigi kanin/taring kekal pada usia 9 hingga 11 tahun dan gigi geraham kekal kedua pada usia 12 tahun.
Ortodontik interseptif biasanya dimulakan di peringkat kegigian campuran. |
Kegigian kekal (> 12 tahun) |
Pada usia 12 hingga 13 tahun, gigi geraham kekal kedua telah tumbuh dan semua gigi desidus telah tanggal. Biasanya gigi geraham kekal ketiga/geraham bongsu akan tumbuh pada usia 18-21 tahun. Peringkat akhir kegigian campuran dan awal kegigian kekal merupakan waktu yang paling sesuai untuk merawat permasalahan hubungan rahang dengan kaedah rawatan ‘modifikasi tumbesaran’ menggunakan alat fungsi. Di peringkat ini seseorang pesakit akan melalui fasa akhil baligh dimana terdapat potensi tumbesaran yang pesat (11 hingga 14 tahun). |
Jadual 1
Apakah jenis rawatan Ortodontik Interseptif yang sering dilakukan ?
Ortodontik Interseptif sering dilakukan pada keadaan berikut:
- Rawatan untuk gigitan silang anterior
- Penggunaan penyelenggara ruang (space maintainer) untuk mengekalkan ruang berikutan kehilangan gigi terlalu awal
- Saringan untuk mengesan gigi kanin/taring kekal atas yang teranjak/ektopik ke arah palatal/lelangit
- Rawatan untuk masalah lokal:
- Gigi kekal gagal tumbuh
- Gigi supernumerari
- Gigi desidus lewat exfoliat/tanggal
- Tabiat buruk seperti menghisap jari atau puting susu
- Pengendalian hubungan Rangka Kelas II dengan Aplians Fungsi
-
- Rawatan Gigitan Silang Anterior
Gigitan silang anterior berlaku apabila satu atau dua batang gigi insisor kekal atas menggigit di belakang gigi insisor kekal bawah. Rawatan pintasan awal disyorkan (7 hingga 10 tahun) jika gigitan silang menyebabkan gigi insisor bawah menjadi longgar, atau jika terdapat resesi gusi/gusi menyusut yang disebabkan oleh gigitan traumatik6.
Rawatan biasanya dilakukan dengan menggunakan aplians boleh tanggal untuk menolak gigi insisor atas ke hadapan gigi bawah (Rajah 1a, b dan c). Gigitan silang anterior yang tidak berapa teruk biasanya mengambil masa 3-6 bulan untuk dibetulkan dengan aplians boleh tanggal.
Rajah1 : Kes gigitan silang anterior.
-
Pengurusan Ruang Dengan Alat Penyelenggara Ruang (Space Maintainer) Berikutan Kehilangan Awal Gigi
Alat penyelenggara ruang (Space maintainer) adalah aplians intra oral yang digunakan untuk menyelenggara ruang, biasanya selepas kehilangan awal gigi desidus molar bawah. Kehilangan awal gigi molar desidus kedua di rahang atas atau bawah menggalakkan gigi geraham kekal pertama bergerak ke depan menyebabkan kesesakan di bahagian pramolar. Alat penyelenggara ruang seperti Lingual arch (Rajah 2) atau Band and Loop boleh digunakan sebagai langkah pencegahan. Begitu juga, jika seseorang kanak-kanak kehilangan gigi insisor kekal atas disebabkan trauma atau cabutan, ruang biasanya akan menjadi lebih kecil kerana gigi bersebelahan akan memenuhi ruang tersebut. Dalam kes ini gigi palsu boleh bertindak sebagai penyelenggara ruang dan patut dilakukan secepat mungkin untuk mengekalkan ruang. Kehilangan ruang akan berlaku dengan cepat dalam masa 3 bulan pertama dan seterusnya berkurangan sehingga 9 bulan berikutnya7.
Rajah 2 : Lingual arch untuk mengekalkan ruang
- Saringan untuk Mengesan Gigi Kanin/Taring Kekal yang Teranjak/Ektopik ke Arah Palatal/Lelangit
Gigi kanin/taring atas adalah gigi kekal yang paling kerap terimpak selepas gigi geraham bongsu bawah. Kekerapan gigi kanin terganjak ke arah palatal/lelangit adalah dua kali ganda lebih kerap berbanding ke arah bukal/pipi. Diagnosis awal dan pengendalian yang berkesan adalah penting kerana kegagalan berbuat demikian boleh merumitkan rawatan di masa akan datang 8.
Saringan untuk mengesan kanin terganjak paling baik dilakukan di antara umur 10 hingga 11 tahun di mana gigi tersebut dapat dirasai di sulkus bukal dalam majoriti gigi kanin yang tumbuh normal. Dalam kes-kes terpilih, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa cabutan gigi desidus kanin sebagai langkah pintasan boleh membetulkan posisi gigi kanin kekal yang terimpak. Walau bagaimanapun, jika pemeriksaan radiografik menunjukkan tiada perubahan/pembetulan pada kedudukan gigi tersebut dalam tempoh 12 bulan selepas cabutan, rawatan alternatif harus dipertimbangkan8.
- Rawatan untuk Masalah Setempat (Lokal)
-
- Kegagalan Gigi Kekal Tumbuh / Lewat
Kanak-kanak mungkin hadir dengan gigi kekal yang lewat tumbuh atau tidak tumbuh sama sekali (semua gigi insisor sepatutnya tumbuh dalam lingkungan umur 9 tahun). Kelainan dalam masa dan urutan pertumbuhan gigi perlu disiasat selanjutnya. Pada kebiasaanya jika sebatang gigi kekal pada satu belah arkus telah tumbuh, pasangannya di arkus sebelah lagi akan tumbuh dalam tempoh 6 bulan.
Kelewatan gigi untuk tumbuh boleh disebabkan oleh kesesakan pada arkus tersebut atau kehadiran gigi supernumerari/ gigi berlebih (Rajah 3), yang menghalang pengerupan gigi tersebut. Pengerupan gigi yang tidak simetrik perlu dipantau dan penyiasatan yang menyeluruh adalah wajar. Sinaran X seperti Orthopantomogram (OPG) atau Anterior occlusal sesuai diambil untuk mengenalpasti penyebab masalah. Cabutan gigi supernumerari adalah disyorkan sebagai langkah pintasan.9
Rajah 3 : Gigi supernumerari pada kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun.
- Kegagalan Gigi Kekal Tumbuh / Lewat
- Gigi Desidus Lewat Exfoliat/Tanggal
Siasatan lanjut adalah perlu bagi gigi desidus yang gagal untuk tanggal lebih daripada 6 bulan selepas pertumbuhan gigi kekal kontra lateral. Dengan syarat gigi kekal yang bakal menggantinya hadir, gigi desidus yang gagal eksfoliat perlu dicabut jika mereka menyebabkan pemesongan gigi kekal10.
- Tabiat Menghisap Jari atau Puting Susu
Tabiat menghisap ibu jari atau puting susu boleh menyebabkan gigitan terbuka di bahagian hadapan (Rajah 4a). Jika dikenal pasti pada peringkat awal, pencegahan berbentuk pasif harus dijalankan untuk menghentikan tabiat tersebut. Jika ini gagal, alat hentikan tabiat (habit breaker, Rajah 4b) adalah disyorkan. Gigitan terbuka biasanya pulih dengan sendirinya jika dipintas awal sebelum pertumbuhan gigi insisor kekal.
-
- Rawatan Gigitan Silang Anterior
- Pengendalian Hubungan Rangka Kelas II Dengan Aplians Fungsi.
Masalah hubungan Rangka Kelas II berlaku apabila rahang bawah berkedudukan lebih jauh ke belakang (retrognatik mandibel) berbanding rahang atas. Ini akan menyebabkan gigi insisor atas protrud/jongang (overjet bertambah). Overjet normal ialah 2 hingga 4 mm, sementara overjet yang melebihi 9 mm dianggap teruk. Pesakit biasanya sukar atau tidak boleh menutup mulut dan gigi insisor atas yang jongang ini lebih cenderung kepada kecederaan traumatik 11, 12, 13. Mereka juga mungkin mempunyai masalah psikososial akibat diejek oleh rakan-rakan14.
Rawatan dengan alat fungsi semasa pertumbuhan aktif (akil baligh) adalah disyorkan untuk membetulkan overjet dan meningkatkan keyakinan diri15. Namun begitu, bagi kes-kes hubungan rangka yang teruk, aplians fungsi boleh mengurangkan keterukan masalah tetapi tidak mungkin dapat mengelak daripada pembedahan ortognatik/ pembedahan rahang di masa akan datang.
Aplians fungsi merupakan aplians boleh tanggal yang dipakai pada rahang atas dan bawah secara serentak. Aplians ini biasanya dipakai sepenuh masa bagi tempoh 9 hingga 12 bulan bergantung kepada keterukan kes. Seterusnya, dipakai pada waktu malam untuk sementara waktu atau disusuli oleh fasa kedua rawatan15 . Rajah 5 menunjukkan sejenis alat fungsi iaitu Twin Block untuk membetulkan masalah hubungan Rangka Kelas II.
Kesimpulan
Ortodontik pintasan sangat bermanfaat kerana dengan mengurangkan keterukan maloklusi yang sedang membentuk, ia akan mempermudah pengendalian kes-kes tersebut di masa hadapan serta mengurangkan kerumitan dan kos rawatan.
Rujukan
- Popovich, F. & Thompson, G.W. (1975). Evaluation of preventive and interceptive orthodontic treatment between 3 and 18 years of age. Transactions of Third International Congress of Orthodontics, 26-33.
- Dugoni, S.A. (1998). Comprehensive mixed dentition treatment. Am J Orthod Dentofacial Orthop, 113, 75-84.
- Al Nimri, K., Richardson, A. (2000) Interceptive Orthodontics in the real world of communitydentistry. International Journal of Pediatric Dentistry, 10, 99-108.
- O’Brien, K., Wright, J., Conboy, et al. (2003).Effectiveness of early orthodontic treatment with the Twinblock appliance: A multicenter, randomized, controlled trial. Part 1: Dental and Skeletal Effects. Am J Orthod Dentofacial Orthop. 124, 234-243.
- Richards, B. (2001). An approach to the diagnosis of different malocclusions. In Bishara SE, ed. Textbook of Orthodontics. Philadelphia Pa.: Saunders Co.
- Stellard, R.E. (1968). Occlusion, a factor in periodontal disease. International Dental Journal 18, 121-132.
- Foster, T.D. (1991). A Textbook of Orthodontics. Oxford: Blackwell Scientific Publications
- Husain, J., Burden, D., McSherry, P. (2010) Management of the Palatally Ectopic Maxillary Canines. Clinical Guidelines-The Royal College of Surgeons of England. Retrieved August 12, 2011, from www.rcseng.ac.uk/fds/clinical_guidelines
- Mosby’s Medical Dictionary, 8th edition. (2009). Elsevier.
- Mitchell, L. (2007). An Introduction to Orthodontics. Oxford: Oxford University Press
- Jarvinen, S. (1977). Incisal overjet and traumatic injuries to upper permanent incisors. Acta Odontol. Scan. 36, 359-362
- O’Mullane, D.M. (1973). Some factors predisposing to injuries of permanent incisors in school children. British Dental Journal 134, 328-332.
- Nguyen, O.V., Bezemer, P.D., Habets, L. & Prahl-Andersen, B. (1999).A systematic review of the relationship between overjet size and traumatic dental injuries. European Journal of Orthodontics 21, 503-515.
- O’Brien, K., Wright, J., Conboy, et al. (2003).Effectiveness of early orthodontic treatment with the Twinblock appliance: A multicenter, randomized, controlled trial. Part 2: Psychosocial effects. Am J Orthod Dentofacial Orthop. 124, 488-95.
- British Orthodontic Society (2011) Functional Appliance. Patient Information leaflet. Retrieved August 16, 2011, from www.bos.org.uk/index/patientinformationleaflet/functional.
- Al Nimri, K. & Richardson, A. (1997). The applicability of interceptive orthodontics in the community. British Journal of Orthodontics 24, 223-228.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Zainatul Akmar bt. Khalil |
Penterjemah | : | Dr. Noraliza bt. Amiruddin |
Akreditor | : | Dr. Hjh. Che Fatimah bt. Awang |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanuddin |