Apa itu Penyakit Meningokokal?
Ini adalah jangkitan kuman bakteria yang amat serius mengakibatkan sama ada jangkitan kuman dalam darah (berserta dengan perubahan kulit bercirikan ruam kebiruan yang timbul atau juga dikenali sebagai purpura) atau radang pada selaput otak.
Apakah yang menyebabkan Penyakit Meningokokal?
Bakteria yang menyebabkan penyakit ini dikenali sebagai Neisseria meningitidis yang terdapat dalam lapisan hidung dan tekak pembawa yang sihat dari negara-negara di mana penyakit ini biasa berlaku. Bakteria ini merebak kepada orang persekitaran terdekat secara langsung. Terdapat 5 jenis bakteria iaitu A, B, C, Y dan W135.
Apakah vaksin yang ada dan bagaimana ia diberikan?
Vaksin yang sepatutnya digunakan mempunyai 4 kapsul bakteria polisakarida (tetravalent A, C, Y, W). Satu dos suntikan vaksin diberi terus ke dalam otot kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas. Vaksin ini boleh diberi setiap 3 tahun.
Siapa yang patut menerima vaksin ini?
Mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang terdedah dengan rakyat dari negara-negara yang mempunyai wabak penyakit ini. Oleh itu, vaksin ini patut diberi kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang terdedah kepada pembawa penyakit ini.
Boleh tolong jelaskan kepada saya dengan lebih lanjut tentang radang selaput otak (meningitis) dan bagaimana ia boleh dicegah?
Ia adalah jangkitan kuman pada selaput otak yang dikenali sebagai meninges. Kanak-kanak yang dijangkiti akan mendapat demam, cepat penat, kurang selera makan, muntah, sakit kepala, ketegangan leher, tahap kesedaran yang menurun dan sawan. Ianya penyakit yang sangat bahaya dan boleh menyebabkan kematian atau kecederaan saraf otak yang kekal seperti hilang pendengaran, kerencatan mental, penyakit sawan (epilepsi) dan ‘cerebral palsy’.
Terdapat juga kuman jenis virus yang lain yang boleh menjangkiti selaput otak dan otak secara keseluruhan, mengakibatkan terjadinya satu keadaan dikenali sebagai meningo-encephalitis (radang selaput otak dan radang otak).
Tiga jenis kuman bakteria yang biasanya dikaitkan dengan radang selaput otak adalah Haemophilus influenza, pneumokokus dan meningokokus. Terdapat vaksin untuk ketiga-tiga jenis bakteria ini. Vaksin-vaksin ini tidak dapat memberikan perlindungan 100% tetapi ia boleh mengurangkan tahap keterukan jangkitan penyakit tersebut. Bagi vaksin meningokokus, ia tidak dapat melindungi jangkitan daripada kuman jenis B yang merupakan jenis kuman yang paling biasa menyerang selaput otak.
Semakan akhir | : | 25 April 2012 |
Penulis | : | Dato’ Dr. Jimmy Lee Kok Foo |
Penyemak | : | Dr. Ranjini S. Sivanesom |