A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Peranan Pegawai Kerja Sosial...

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Di Institut Kanser Negara (IKN)

Pengurusan pesakit kanser yang holistik melibatkan kerjasama bersepadu antara PKSP dengan pasukan perubatan lain bagi memastikan keperluan pesakit dapat dipenuhi dan memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.


Sumber: Bahagian Perhubungan Awam, Institut Kanser Negara

Pengenalan

Institut Kanser Negara (IKN) ialah sebuah institusi perubatan yang dibina khas untuk memberikan kemudahan khusus dalam rawatan dan perubatan bagi pesakit-pesakit kanser organ pepejal (solid organ cancers). Penubuhan IKN turut bertujuan untuk membantu menangani pelbagai keperluan termasuk kos rawatan yang semakin membebani pesakit kanser.

Pada tahun 2023, IKN mempunyai warga kerja seramai 1,162 orang dan menawarkan sebanyak 10 bidang kepakaran dan subkepakaran klinikal. Operasi IKN turut dibantu oleh 17 perkhidmatan sokongan klinikal dan 11 perkhidmatan pengurusan. Antara perkhidmatan sokongan klinikal yang disediakan ialah Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan.

Unit Kerja Sosial Perubatan (UKSP) di IKN mula beroperasi pada 23 Januari 2014 dan secara amnya, menyediakan perkhidmatan untuk membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi lebih produktif, berdikari dan kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan disampaikan melalui dua perkhidmatan utama iaitu seperti berikut:

BIL.

PERKHIDMATAN

SKOP

1.

Bantuan Praktik

  1. Bantuan Kewangan
  2. Bantuan Penempatan Institusi
  3. Bantuan Mengesan Waris

2.

Terapi Sokongan

  1. Khidmat Rundingan
  2. Sokongan Emosi
  3. Intervensi Krisis

 Jadual 1: Senarai Skop Perkhidmatan UKSP

Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP)

Pesakit kanser lazimnya menghadapi pelbagai cabaran fizikal, emosi, sosial, dan kewangan semasa mereka menjalani rawatan dan pemulihan. Peningkatan jumlah pesakit kanser setiap tahun serta kemajuan rawatan kanser yang dinamik dan kos rawatan yang tinggi telah menjadikan akses kepada rawatan terkini yang lebih efektif masih terhad. Ini menyebabkan rawatan tidak dapat diberikan kepada sesetengah pesakit pada masa yang diperlukan.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) dapat membantu melancarkan proses rawatan pesakit terutama dalam mendapatkan bantuan praktik dan terapi sokongan. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan melibatkan proses kerja seperti berikut:

  1. Menerima rujukan daripada Pegawai/Pakar Perubatan
    Pesakit yang dikenal pasti memerlukan bantuan akan dirujuk kepada PKSP IKN melalui sistem Fisicien.

  2. Penilaian Sosioekonomi
    Temu bual bersama-sama pesakit dan waris dijalankan bagi mendapatkan maklumat status sosioekonomi keluarga untuk menentukan keperluan serta kelayakan bantuan pesakit.

  3. Penyediaan dokumen permohonan
    PKSP membantu pesakit menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan bantuan termasuk laporan sosioekonomi, dokumen sokongan pesakit serta perakuan oleh Pegawai/Pakar Perubatan dan jika perlu, Laporan Lawatan ke Rumah.

  4. Permohonan kepada agensi sumber bantuan
    Permohonan lengkap diproses dan dihantar kepada agensi yang dikenal pasti dan bersesuaian dengan keperluan pesakit.

  5. Tindakan susulan dan pemantauan
    Setelah permohonan dihantar, PKSP memantau proses permohonan sehingga kelulusan diterima.

  6. Makluman dan pengurusan bantuan
    PKSP memberi maklum balas kepada pesakit/waris/perujuk dan menguruskan pengagihan sumber bantuan tersebut

  7. Rujukan kepada Program Kumpulan Sokongan
    Selain bantuan kewangan, PKSP juga boleh merujuk pesakit kepada program-program sokongan yang disediakan oleh hospital dan agensi yang bersesuaian.

  8. Program sukarelawan
    PKSP berperanan sebagai Pegawai Penyelaras program sukarelawan di IKN yang berfungsi dalam membantu dan memberi sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan, spiritual dan emosi pesakit semasa sedang menjalani rawatan dan pemulihan di hospital.


    Rajah 1: Carta Aliran Prosedur Rujukan Kes ke UKSP

Kerjasama Dengan Agensi Sumber Bantuan

Kerjasama yang kukuh antara PKSP dan agensi sumber bantuan membantu memudahkan proses mendapatkan bantuan kepada pesakit kanser. PKSP bertindak sebagai pegawai penghubung (liaison officer) yang berperanan sebagai perantara antara pesakit dan pasukan perubatan, serta penyelaras antara pelbagai agensi dan perkhidmatan yang terlibat dalam penyediaan bantuan kepada pesakit. Agensi sumber bantuan pesakit kanser termasuklah seperti berikut:

  1. Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM);
  2. Majlis Kanser Nasional (MAKNA);
  3. Baitulmal atau Pusat Zakat Negeri;
  4. Tabung Bantuan Perubatan Malaysia (TBP);
  5. Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation;
  6. Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40);
  7. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO);
  8. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
  9. Yayasan Kebajikan Negara (YKN); dan
  10. Kumpulan sokongan pesakit kanser dan program sukarelawan.

Pencapaian

Sehingga tahun 2022, UKSP IKN telah menyalurkan bantuan berjumlah RM10,418,646.11 kepada pesakit-pesakit kanser yang kurang berkemampuan dalam bentuk kewangan, peralatan perubatan, peralatan pembedahan dan nutrisi khas.

UKSP juga menguruskan pinjaman peralatan bagi kegunaan pesakit di rumah seperti mesin oxygen concentrator, oxygen tank, kerusi roda, mesin suction dan lain-lain yang merupakan hasil sumbangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam. Secara purata, UKSP telah menguruskan 100 kes pinjaman setahun dan melibatkan kos sebanyak RM60,000.00 bagi kos peralatan, pengurusan, penyelenggaraan, dan penyelarasan peralatan tersebut.  

UKSP juga sangat komited dalam menganjurkan program-program bantuan dan meraikan pesakit-pesakit kanser melalui kerjasama dengan pelbagai agensi. Sepanjang tahun 2022, sebanyak 23 program telah dianjurkan bersama pesakit dan program tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada bantuan perubatan malah merangkumi aspek kebajikan lain termasuk set makanan asas, kupon makanan percuma, rumah transit dan bantuan perayaan. UKSP juga melaksanakan program pendidikan kepada komuniti seperti program kesedaran, perkongsian mengenai perkhidmatan kerja sosial perubatan dan sumber-sumber bantuan dalam komuniti.

Cabaran dan Limitasi

Peningkatan jumlah rujukan kes di UKSP IKN pada tahun 2022 menunjukkan peranan PKSP amat signifikan dalam pengurusan rawatan pesakit di IKN. Namun, PKSP juga berdepan dengan cabaran kekurangan sumber bantuan dan kekangan tenaga kerja dalam menyokong jumlah pesakit yang besar. Kekurangan sumber ini boleh menyebabkan beban kerja yang tinggi dan mengehadkan kemampuan untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan menyeluruh.

Selain itu, PKSP perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kefahaman seiring dengan kemajuan dalam rawatan kanser supaya lebih bersedia memberikan perkhidmatan yang komprehensif dan berdaya saing kepada pesakit dan keluarga. Buat masa ini, majoriti masa diperuntukkan untuk pengurusan kes pesakit dan memberi kekangan kepada PKSP untuk memenuhi keperluan latihan dan penyelidikan.

Kesimpulan

Pengurusan pesakit kanser yang holistik melibatkan kerjasama bersepadu antara PKSP dengan pasukan perubatan lain seperti Pegawai/Pakar Perubatan, Jururawat, Pegawai Dietetik, Pegawai Psikologi dan lain-lain bagi memastikan keperluan pesakit dapat dipenuhi dan memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Kerjasama daripada pelbagai pihak adalah penting dalam usaha meningkatkan akses pesakit kepada lebih banyak sumber bantuan dan sekaligus membolehkan proses penyaluran bantuan dilaksanakan dengan lebih efisien. Diharapkan jumlah bantuan dan program kerjasama dapat terus ditingkatkan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.

Harapan PKSP juga ialah meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang awam mengenai peranan PKSP dalam memastikan perubahan positif dan memberikan sokongan yang bermakna kepada pesakit, keluarga pesakit dan komuniti yang memerlukan. Peningkatan pengetahuan dan kefahaman turut membantu meningkatkan penerimaan, pengiktirafan, dan kebolehpercayaan terhadap peranan dan nilai Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan di Malaysia.

 Rujukan

  1. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (2018). Pelan Pengurusan Operasi: Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan. Putrajaya: Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  2. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (2018). Prosedur Operasi Standard: Pengurusan Bantuan Praktik. Putrajaya: Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (2018). Prosedur Operasi Standard: Pengurusan Bantuan Terapi Sokongan. Putrajaya: Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  4. Alene Sze, J. Y., Mark Wing, L. C., Hamzah, E,, Siew, L. T. (2023). A qualitative study of lived experiences and needs of advanced cancer patients in Malaysia: Gaps and steps forward. Quality of Life Research, (2023) 32, 3291-2402.
  5. Subramaniam, S., Sidik, S. M., Rampal, L., Fadhilah, S. I., Periasamy, U. (2019). Quality of life among cancer patients undergoing chemotherapy in government hospitals in peninsular Malaysia. Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, 15 (1), 5-15.
  6. Portal MyHealth (2017). Kerjasama Jabatan Kerja Sosial Perubatan dengan agensi bantuan.

Semakan Akhir

:

Februari 2024

Penulis

:

Khairun Nisa bt. Jailani

Penyemak

:

Abd Halim Bin Jamil

Artikel Berkaitan

Alat Bantu Pendengaran : Teknologi RIE (Receiver-In-The-Ear)

RIE (receiver-in-the-ear) merupakan alat bantu pendengaran dengan kedudukan receiver atau speaker diletakkandi dalam salur telinga. Ini merupakan inovasi alat bantu pendengaran jenis belakang telinga yang memberi bunyi yang lebih baik dan mengecilkan saiz alat bantu pendengaran. Kebiasaannya alat ini dihubungkan dengan dome atau insert eartip. namun boleh juga menggunakan ear mould bergantung kepada tahap masalah pendengaran.

Perawatan Fisioterapi Bagi Terseliuh Buku Lali Kaki

Terseliuh buku lali merujuk kepada ligamen di sendi pergelangan kaki yang terkoyak/tercedera. Kecederaan am ini biasa berulang dengan kadar yang tinggi, akibat daripada mendarat di atas kaki plantarflexed dan terbalik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,649

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia