Apakah Perlindungan Radiasi?
Perlindungan radiasi atau sinaran, juga disebut perlindungan radiologikal adalah sains dan amalan bagi melindungi manusia dan alam sekitar daripada kesan bahaya radiasi mengion.
Radiasi mengion digunakan secara meluas dalam industri dan perubatan serta boleh membahayakan kesihatan. Pendedahan radiasi yang terlampau (dedahan tahap tinggi) boleh menyebabkan kerosakan mikroskopik pada tisu hidup yang menyebabkan lecur pada kulit dan penyakit sinaran (disebut “kesan tisu”). Manakala dedahan radiasi pada tahap rendah boleh meningkatkan risiko kanser (“kesan stokastik”). [1]
Asas kepada perlindungan radiasi adalah dengan mengurangkan dos dedahan yang dijangka dan mengukur dos radiasi yang diterima oleh tubuh manusia.
Prinsip Perlindungan Radiasi
- Perlindungan radiasi boleh dibahagikan kepada perlindungan radiasi pekerjaan bagi melindungi pekerja, perlindungan radiasi perubatan bagi melindungi pesakit, dan perlindungan radiasi awam bagi melindungi individu dan masyarakat. (http://en.wikipedia.org/wiki/Ionising_radiation_protection)
- Terdapat tiga (3) prinsip utama perlindungan radiasi:
– Tempoh: Tempoh dedahan yang singkat mengurangkan dos.
– Jarak: Jarak yang semakin menjauh mengurangkan dos.
– Perisai: Penggunaan alat perlindungan seperti gaun/ apron dan/ atau perisai radiasi akan mengurangkan jumlah radiasi yang tidak diperlukan dari sampai kepada pesakit dan seterusnya mengurangkan dos radiasi.
Bagaimana Pesakit Dilindungi Semasa Menjalani Pemeriksaan Radiografi?
Semasa pemeriksaan x-ray, dos radiasi kepada pesakit dipastikan berada di tahap yang sangat rendah dengan berpandukan perkara berikut:
- Penggunaan alat perlindungan radiasi
– Alat perlindungan radiasi terdapat di semua jabatan pengimejan. Contoh alat perlindungan yang terdapat di jabatan pengimejan adalah apron plumbum (Pb), perisai tiroid, perisai gonad dan skrin plumbum mudah alih (Rajah 1, Rajah 2, Rajah 3). [2]
– Setiap alat perlindungan radiasi akan disediakan semasa pemeriksaan. Penggunaan alat perlindungan radiasi bergantung kepada jenis pemeriksaan yang dilakukan.
- Faktor dedahan yang betul
– Juru X-ray akan memilih faktor dedahan yang sesuai untuk menghasilkan imej yang optima.
Rajah 1: Apron plumbum Rajah 2: Perisai tiroid Rajah 3: Perisai gonad
- Justifikasi
– Tiada pemeriksaan menggunakan radiasi melainkan kebaikan yang dihasilkan adalah melebihi keburukannya.
- Elak pemeriksaan ulangan
– Untuk mendapatkan imej yang baik dan mengelakkan pemeriksaan ulangan anda perlu mengikuti arahan yang diberikan sepanjang masa pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan ulangan akan menambahkan dos kepada pesakit. Juru x-ray akan menentukan jumlah pemeriksaan ulangan (jika perlu).
– Kerjasama anda amat diperlukan bagi mengelakkan pemeriksaan ulangan ini.
Rujukan
- Atomic Energy Licensing Act, 1984, Act 304.
- en.wikipedia.org/wiki/Ionising_radiation_protection
- www.zmedical.com
Semakan Akhir | : | 13 Mei 2016 |
Penterjemah | : | Noorhayati binti Kassim |
Akreditor | : | Daud bin Ismail |