A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Persediaan Mental Menghadapi Alam...

Persediaan Mental Menghadapi Alam Perkahwinan Dan Awal Perkahwinan

Manusia diciptakan dalam pelbagai keturunan, puak dan berbeza warna kulit. Wujud perbezaan semenjak penciptaan manusia pertama sehingga sekarang. Walau manusia diciptakan dalam kepelbagaian jantina, warna kulit, kepercayaan dan sebagainya; ianya merupakan fitrah penciptaan manusia yang berfungsi sebagai penyatuan kehidupan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengenal).

                                                                                                            (Surah Al -Hujurat: 49:13)

Setiap perkahwinan yang dilakarkan sudah tentunya disertai dengan dugaan dan onak duri bagi menilai sejauh mana kesungguhan kita dalam mempertahankan sebuah perkahwinan. Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil di mana di dalamnya terdapat satu sistem pengurusan yg menyeluruh.

Acapkali bila sahaja pada zaman berumur antara lingkungan 21-25 tahun ini, pasti setiap individu mula memikirkan soal berumah tangga dan mencari pasangan hidup. Ianya sudah menjadi fitrah setiap insan untuk memiliki pasangan hidup. Sedar tidak sedar, mereka sudah mula melalui fasa perubahan ke arah yang lebih besar tanggungjawabnya. Pasangan yang telah berkahwin akan mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yg dibina dapat dikendalikan dengan teratur dan sistematik. Setiap pasangan suami isteri sentiasa mengimpikan sebuah perkahwinan yang menepati harapan yang telah dibina oleh mereka.

Penyesuaian (adjustment) dalam perkahwinan mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kesungguhan setiap pasangaan untuk memahami, berusaha mencapai titik persefahaman, bertolak ansur dengaan perbezaan yang ada pada pasangan. Konflik antara pasangan dapat dikurangkan sekiranya kefahaman antara pasangan cepat terbina. Realiti dan fantasi adalah dua isu yang amat berbeza yang dapat dikaitkan dengan isu perkahwinan. Fantasi merujuk kepada persepsi minda yang belum dizahirkan manakala realiti adalah yang telah diserlahkan. Masalah timbul apabila realiti diri tidak selari dengan fantasi, justeru membawa kepada pelbagai isu yang membawa kepada sebuah pergolakan seterusnya perpisahan.

Pasangan yang baru melangkah ke alam perkahwinan , sudah tentunya perlu bersiap sedia bukan sahaja dari segi mental dan emosi malahan perlu bersedia menerima perubahan pola kewangan kerana mengelola kewangan ketika zaman bujang dana setelah berumahtangga adalah berbeza.

Kegagalan pengurusan kewangan yang kurang bijak dikenalpasti sebagai salah satu punca perceraian memandangkan wang merupakan perkara yang cukup emosional.

Pasangan juga perlu memahami bahawa penting untuk menguruskan emosi dan memahami psikologi diri masing-masing dengan baik. Persediaan memahami psikologi rumah tangga juga amat penting. Realitinya, pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga di Malaysia, wajib menghadiri mengikuti kursus pra perkahwinan, namun tiada sebarang kursus pasca perkahwinan diadakan. Persoalannya, apakah kursus pasca perkahwinan sebenarnya adalah lebih bermanfaat berbanding kursus pra-perkahwinan yang seringkali dibuat oleh majlis agama negeri? Mungkin juga pasangan yang masih baru di alam perkahwinan akan merasai keperluan ilmu yang lebih berguna kerana kursus pra-perkahwinan kebanyakan membahaskan soal hukum-hakam tetapi bagi kursus pasca perkahwinan, pasangan yang telah berkahwin dapat membicarakan soal menguruskan konflik rumah tangga dan memahami psikologi suami isteri yang boleh mempunyai impak berpanjangan. Nilai ilmu psikologi rumah tangga perlu digarapkan bersama ke dalam kursus pra-perkahwinan untuk memastikan para bakal suami isteri bersedia dengan ilmu yang lebih praktikal dan meningkatkan kadar kebahagiaan rumah tangga lantas mengurangkan kes perceraian.

Selain itu, banyak juga persediaan ilmu ini melalui pembacaan kendiri seperti: “Men are from Mars, Women are from Venus’, ‘The Five Love Language’, ‘Things I wish I’d Known before We Got Married’, ‘Hold Me Tight‘ dan sebagainya yang boleh dijadikan sebagai garispanduan bagi pasangan yang baru berkahwin sebagai satu mekanisme menyiapkan diri dan pemikiran ke arah mencapai keharmonian berumahtangga.

Selain itu juga pasangan suami isteri juga harus bijak mengurus masa sebagai salah satu langkah persediaan mental. Masa yang berkualiti bersama pasangan dan keluarga akan membantu kita menganalpasti sebarang isu yang timbul yang akan memberikan kita isyarat awal dalam masalah perhubungan. Buat semua yang bertemu jodoh dan mengikat janji sebagai suami isteri di musim perkahwinan ini, semoga kita semua bahagia sebagai suami isteri di dunia dan di akhirat.

Akhir kalam, dititipkan sepotong doa buat pasangan yang bakal berumahtangga.

doa buat pasangan yang bakal berumahtangga

RUJUKAN

  1. www.aminrukaini.com/2013/08/7
  2. www.purpleperfect.com/ persediaan-sebelum-kahwin.html
  3. www.utusan.com.my

 

Semakan Akhir : 3 Februari 2016
Penulis : Zakiah binti Mohd Razali
Akreditor : Hashimah binti Abd Razak

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,648

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia