Pembersihan interdental merujuk kepada pembersihan plak atau sisa makanan di antara celah-celah gigi. Pembersihan interdental amatlah penting kerana ia mempunyai fungsi yang berbeza iaitu membersihkan bahagian antara gigi yang tidak dapat dicapai dan dibersihkan oleh berus gigi.
Jenis Alat Pembersihan Interdental
Terdapat beberapa jenis alat utama yang boleh digunakan seperti berikut:
- Flos pergigian
- Berus interdental
- Pencungkil gigi
Flos Pergigian
Ia diperbuat daripada benang khas sama ada berlilin atau tidak yang boleh digunakan untuk membersihkan plak atau sisa makanan antara celah gigi (Rajah 1).
Terdiri daripada benang khas
Terdiri daripada bahan berbentuk tape yang halus untuk dilalukan di antara celah gigi.
- Flos pergigian biasa
- Dental tape
- Super floss
- terdiri daripada satu hujung bahagian flos yang lebih keras, satu bahagian flos biasa dan satu bahagian flos yang berspan (Rajah 2).
- Ia sesuai digunakan bagi individu yang mempunyai korona dan jambatan(crown & bridge), rawatan ortodontik atau kes-kes yang perlu seperti nasihat doktor pergigian.
Terdapat juga produk flos pergigian yang disertakan dengan pemegang(Rajah 3a). Contohnya, flos pakai buang berpemegang plastik (Rajah 3b). Flos jenis ini merupakan kaedah alternatif sekiranya anda mengalami kesukaran menggunakan flos dengan teknik biasa melalui lilitan di jari.
Berus interdental
Terdiri daripada berus kecil berbentuk kon atau silinder (Rajah 4). Ia terdiri daripada pelbagai saiz, dan dilekatkan kepada pemegang plastik. Terdapat produk yang mana berusnya boleh dibeli secara berasingan dan diganti apabila perlu. Pilih saiz dan bentuk yang bersesuaian dengan anda atau mengikut nasihat doktor pergigian.
Berus interdental hanya boleh digunakan jika terdapat ruang antara gigi dan/atau gusi. Contohnya jika ada gigi yang jarang / ada ruang / terdapat gusi yang menurun disebabkan oleh penyakit gusi (gum recession).
Ia juga sesuai digunakan bagi rawatan ortodontik dan jika terdapat korona dan/atau jambatan (crown and/or bridge).
Pencungkil Gigi
Ia terdiri daripada kayu lembut atau plastik lembut pakai buang untuk pembersihan antara celah gigi dan gusi. Selalunya ia digunakan selepas makan.
Pencungkil gigi hanya boleh digunakan jika terdapat ruang / gigi yang jarang akibat gusi yang menurun (penyakit gusi). Ia tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak .
Penggunaannya di kawasan gigi yang rapat tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan kecederaan gusi. Jika digunakan berterusan dalam jangka panjang gusi akan tertolak ke bawah dari paras asal dan mewujudkan ruang dan gigi kelihatan renggang / jarang.
Kesimpulan
- Alat pembersihan interdental amatlah penting dalam memastikan pembersihan celah gigi dan gusi.
- Pemilihan alat pembersihan interdental yang betul dan mengikut kesesuaian atau rawatan yang sedang anda terima amatlah penting bagi memastikan kesihatan mulut yang optimal. Rujuk Doktor gigi berdekatan jika bagi mendapatkan nasihat.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Mustaffa b. Jaafar |
Penyemak | : | Dr. Sharol Lail bin Sujak |