Pengenalan
Tulang pipi (zygoma) merupakan unsur penting perwatakan muka kerana ia menentukan bentuk serta kontur wajah seseorang. Ia adalah sebahagian daripada soket mata dan ia melindungi serta menyokong kedudukan bebola mata. Tulang zygoma juga berkaitan dengan rahang atas dan hidung.
Penyebab
Fraktur zygoma biasanya disebabkan oleh kecederaan tumpul ke pipi yang berlaku semasa:
- Kemalangan jalan raya
- Serangan fizikal yang ganas
- Jatuh
- Sukan lasak (contohnya: karate)
Tanda-tanda Klinikal
Tanda dan gejala fraktur tulang pipi adalah seperti berikut:
- Sakit di kawasan yang terlibat
- Mata merah
- Lebam dan bengkak di keliling mata dan pipi
- Rasa kebas dibahagian pipi, hidung dan gigi rahang atas
- Mata kelihatan ‘tenggelam’
- Penglihatan kabur dan berganda
- Pergerakan bebola mata yang terhad
- Tulang pipi yang leper
- Pembukaan mulut terhad
Ujian Perubatan
Apakah ujian-ujian yang diperlukan untuk mengesahkan fraktur tulang pipi? Antaranya adalah seperti berikut
- X-ray
- Imbas CT
- Ujian penglihatan dan pergerakan bebola mata
Rawatan
Rawatan pembedahan tidak diperlukan jika fraktur tulang pipi tersebut stabil, tidak tergerak dan tiada sebarang komplikasi terhadap struktur muka yang bersebelahan. Namun begitu, pembedahan digalakkan jka ada masalah kosmetik atau ia mengganggu kehidupan harian.
Pembedahan pada tulang pipi adalah untuk:
- Mengurangkan sakit
- Mengembalikan rupa paras muka dengan memperbetulkan posisi tulang pipi yang leper
- Mengurangkan kemungkinan rasa kebas yang berkekalan
- Meningkatkan pembukaan mulut
- Memperbetulkan penglihatan berganda (jika ada)
- Memperbaiki pergerakan bebola mata dan penampilan mata
Pembedahan melibatkan perkara-perkara yang berikut:
- Ia dibuat dibawah bius am (anda tidur).
- Luka akan dibuat di kawasan gusi yang berdekatan dengan gigi (dalam mulut). Luka-luka lain di bahagian kening, pelipis (tepi kepala) dan kelopak mata bawah juga akan dibuat jika diperlukan.
- Seterusnya, posisi tulang pipi dibetulkan.
- Plat dan skru dimasukkan untuk memegang tulang pipi pada kedudukan tersebut jika perlu.
- Akhirnya, beberapa jahitan dibuat untuk menutup luka.
Risiko dan Komplikasi
Setiap jenis pembedahan membawa risiko dan komplikasi. Masalah-masalah yang mungkin timbul adalah seperti berikut:
- Kedudukan tulang pipi tidak dapat diperbetulkan seperti asal. Ini akan menyebabkan masalah kosmetik.
- Rasa kebas di pipi yang berkekalan. Namun begitu, kesan sensasi kembali kepada hampir semua pesakit selepas beberapa bulan.
- Parut yang disebabkan oleh luka pembedahan. Lama-kelamaan, ia biasanya akan pudar.
- Besi dan skru yang terdedah atau dijangkiti kuman perlu dikeluarkan. Hanya peratusan kecil pesakit yang akan mengalaminya.
- Gangguan terhadap penglihatan akibat perdarahan di dalam dan di keliling bebola mata.
- Kerosakan terhadap gigi-gigi yang berdekatan dengan kawasan fraktur.
Pemulihan selepas Pembedahan
Berikut merupakan perkara-perkara yang mungkin terlibat mengenai pemulihan selepas pembedahan:
- Cuti rehat sekurang-kurangnya 2 minggu
- Elakkan aktiviti-aktiviti fizikal yang lasak selama 2 hingga 3 bulan
- Mengambil makanan lembut sekurang-kurangnya untuk 2 minggu
- Tidak menghembus hidung selama 2 hingga 3 minggu
- Mempunyai kebersihan mulut yang baik
- Menghabiskan ubat-ubatan yang diberi
- Menghadiri temujanji susulan secara berkala di Klinik Bedah Mulut selepas pulang dari hospital
Rujukan
- Ramli R, Abdul Rahman R, Holmes S. Atlas of Craniomaxillofacial Trauma. Imperial College Press (2011)
- www.aocmf.org
- www.baoms.org.uk
Semakan Akhir | : | 3 Jun 2014 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Dharmindra Rajah a/l Gunarajah |
Akreditor | : | Dr. Kok Tuck Choon |