A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Teknik Senaman Mata

Teknik Senaman Mata

Pengenalan

Mata kita dikawal oleh 6 otot mata yang membantu dalam setiap pergerakan mata. Seperti otot-otot lain di dalam sistem tubuh kita, otot mata juga perlu melakukan senaman bagi memastikan otot-otot tersebut sihat dan kuat. Apabila otot mata kita sihat maka ia pasti dapat melakukan fungsinya dengan berkesan.

Seperti yang kita ketahui, aktiviti seperti berenang, berlari dan aktiviti di gimnasium mampu mengekalkan kesihatan tubuh kita. Tahukah anda bahawa kita juga boleh melakukan senaman ke atas mata kita juga?

Senaman mata akan menguatkan lagi otot-otot mata, menguatkan sistem penumpuan mata serta merangsang pusat penglihatan yang terdapat di otak.

Dalam banyak keadaan, senaman mata boleh dijadikan terapi fizikal untuk otak dan juga mata kita. Apabila kita melakukan senaman mata, senaman tersebut dapat membantu menguatkan lagi otot-otot mata dan secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan.

Terdapat banyak jenis senaman mata yang dapat dilakukan dengan mudah tanpa melibatkan sebarang peralatan khas dan kos tambahan, menjadikan senaman mata ini seperti kaedah pemulihan penglihatan yang percuma.

Melalui senaman mata ini, kita akan dapat melatih bagaimana untuk mengawal otot-otot mata agar dapat meningkatkan tahap penglihatan.

Perlu diingat, mata kita mempunyai otot-otot dan otot-otot itu perlu bersenam agar dapat terus sihat dan berfungsi dengan baik. Mata anda akan mendapat banyak kebaikan dengan melakukan senaman secara berkala.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan kesihatan mata dengan melakukan teknik senaman mata ringkas yang berikut seperti :

Teknik 1 : Latihan Penumpuan – Penumpuan dekat dan jauh

Latihan ini dilakukan untuk meningkatkan fleksibiliti mata ketika menukarkan penumpuan daripada penglihatan jauh kepada penglihatan dekat dan sebaliknya. Latihan ini adalah bertujuan untuk menguatkan ketahanan otot mata yang berterusan di samping meningkatkan penglihatan secara keseluruhan.

Kaedah latihan :

  1. Apa yang perlu anda lakukan adalah duduk dengan tenang dalam bilik yang agak luas (sekurang-kurangnya 6X6m) sambil memegang sebatang pen/pensel.
  2. Pegang pensel pada jarak 6 inci (10cm) dari hidung anda. Pandang pensel selama 2-3 saat dan seterusnya ubah pandangan kepada objek bertentangan dihujung bilik iaitu 10 – 20 kaki selama 2-3 saat juga. Seterusnya ubah pandangan kepada pensel dihadapan mata untuk 2-3 saat.
  3. Ulang proses latihan ini sekurang-kurangnya sebanyak 10 pusingan latihan setiap hari. Untuk lebih meningkatkan tahap penumpuan, jarak fokus jauh boleh diubah kepada yang lebih jauh.

Teknik 2 : Latihan kerdipan mata – untuk mengurangkan keletihan mata

Kerdipan mata adalah cara paling mudah untuk mengekalkan kesegaran mata bagi membantu mata agar dapat menumpu dengan lebih lama. Kebanyakan pengguna komputer atau penonton televisyen kurang melakukan kerdipan mata yang penuh, terutamanya ketika penumpuan mereka berada pada tahap yang tinggi. Keadaan ini menjadikan mata cepat letih di samping simptom kekeringan mata yang lain.

Apabila kita melakukan kerdipan mata yang penuh, mata kita akan mengalami fasa gelap seketika yang mana fasa ini dapat membantu mengekalkan kesegaran mata. Di samping itu, fasa gelap bertindak seperti permulaan menerima maklumat penglihatan yang baru setiap kali selepas kita berkedip dan secara langsung mengurangkan ketegangan mata.

Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menutup mata rapat selama 3-4 saat. Seterusnya buka mata anda selama 3-4 saat semula. Ulang latihan ini selama 7-8 kali setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.

Teknik 3 : Teknik Angka Lapan – menguatkan otot mata

1

Lakaran angka lapan untuk Teknik Angka Lapan

Latihan ini sangat sangat sesuai bagi menguatkan otot-otot di sekeliling mata. Senaman mata ini dapat meningkatkan fleksibiliti otot mata menerusi kaedah atau teknik yang lebih santai.

Kaedah Teknik ‘Angka Lapan’

  1. Bayangkan terdapat angka lapan gergasi pada jarak 3m (10 kaki) di hadapan anda.
  2. Bayangkan bahawa angka lapan tersebut berada dalam kedudukan terbalik seperti sepasang cermin mata.
  3. Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut menggunakan pergerakan mata anda tanpa menggerakkan atau mengubah kedudukan kepala anda.
  4. Lakukan latihan ini pada satu arah untuk beberapa minit (3-5 minit) sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit (3-5 minit) juga.

Jika latihan ini dilakukan secara berkala, latihan ini mampu untuk meningkatkan fleksibiliti mata di samping menguatkan otot di sekeliling mata. Secara langsung, latihan ini dapat membantu meningkatkan keupayaan penglihatan.

Teknik 4 : ‘Palming’- menekup mata

Teknik senaman mata ini dapat membantu mengurangkan stress/tekanan di sekeliling mata di samping merehatkan mata. Apabila kita menekup mata menggunakan tapak tangan, kita merangsang titik peka di sekeliling mata yang mampu menenangkan minda serta merehatkan otot-otot di sekeliling mata. Keadaan ini memberi satu kesan kuasa penyembuhan yang meredakan keletihan mata ( Marc Grossman).

Kaedah teknik menekup mata :

  1. Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja ataupun siku direhatkan di atas lutut.
  2. Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya, kedudukan semua jari di dahi dan pangkal tapak tangan di pipi. Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.
  3. Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (3-5 minit).

Teknik menekup mata memberi peluang kepada anda untuk untuk merehatkan minda dan mata anda dalam beberapa minit. Walaupun teknik ini tidak menggambarkan sebarang ciri-ciri senaman mata namun teknik ini dapat memberikan kesan yang menakjubkan terutama setelah anda melakukan kerja jarak dekat yang banyak. Untuk itu setelah penat bekerja, cubalah lakukan teknik ini untuk beberapa ketika.

2Lakaran kedudukan tapak tangan ketika melakukan teknik menekup mata.

Teknik 5 : ‘Zooming’

Teknik senaman mata ini sangat berkesan melatih keupayaan penumpuan mata. Apa yang perlu dilakukan semasa latihan adalah dengan mengubah kedudukan titik penumpuan yang kita gunakan iaitu jari kita. Dengan kaedah ini secara tidak langsung kita dapat menguatkan otot di sekeliling mata dan juga fleksibiliti pergerakan mata.

Kaedah teknik ‘Zooming’.

  1. Duduk dalam keadaan yang selesa.
  2. Regangkan tangan anda sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari diangkat seperti menunjukkan isyarat ‘bagus’.
  3. Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari anda sepanjang latihan ini dijalankan.
  4. Kemudian, bawa ibu jari anda tadi secara perlahan-lahan menghampiri mata sehingga berada pada jarak 3 inci (6 cm) dari mata.
  5. Tanpa mengubah pandangan mata anda dari ibu jari, perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan anda boleh meregang.
  6. Lakukan teknik senaman mata ini untuk beberapa minit (5 minit) setiap kali untuk beberapa kali dalam sehari.

Kesimpulan

Dalam kajian yang dijalankan oleh Rathod Vandama J et.al, mereka telah menyimpulkan bahawa pelbagai teknik senaman mata adalah sangat berkesan dalam meningkatkan keupayaan penumpuan mata , namun tidak dapat dibuktikan bahawa senaman dapat meningkatkan keupayaan penglihatan seseorang itu.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, senaman mata dapat membantu kita dalam beberapa perkara;

  • Meningkatkan keupayaan mata untuk menumpu dengan lebih baik.
  • Mengurangkan tegangan di sekeliling mata
  • Mengurangkan sensitiviti mata terhadap matahari atau cahaya.
  • Menguatkan otot-otot di sekeliling mata.
  • Membantu penglihatan daripada segi koordinasi mata, menganggar kedudukan dan jarak objek serta pandangan sisi seseorang itu dan lain-lain.

Namun begitu, cara hidup seseorang itu juga banyak mempengaruhi keberkesanan senaman mata yang dijalankan. Andainya anda tidak mengetahui cara penggunaan mata yang betul seperti penggunaan komputer yang lama pada satu-satu masa tanpa merehatkan mata, maka keberkesanan senaman mata juga akan berkurangan.

Rujukan

  1. Dr Jacob Liberman; “Exercises your eyes”. www.exerciseyoureyes.com
  2. Marc Grossman; “ Strengthen vision with eye exercises” www.byregion.net
  3. Rathod Vandana J et.al; Effect of eye exercises on myopia: Randomized controlled study. Journal of Pharmaceutical and Biomedical Sciences (JPBMS) Vol.10, Issue 10.
  4. Rob Murphy, Marilyn Haddrill & Gary Heiting, OD; “Do eyes exercises improved vision? www.allaboutvision.com
  5. Stephanie Kayle; “5 Effective Exercises to strengthen youe eye muscles.” www.fullhealthandwellness.com

 

Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Pn. Narjis Binti Satar
Akreditor : Pn. Rosmawati Binti Uthman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,678

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia