Sukan memanjat cerun atau dinding memberikan keseronokan dan cabaran kepada penggemarnya walaupun boleh mendatangkan bahaya. Aktiviti memanjat memerlukan tumpuan dan fokus yang tinggi selain sentiasa mengutamakan keselamatan.
Dalam sukan ini, anda akan melakukan apa sahaja untuk kekal memanjat dan tidak terjatuh akibat tarikan graviti. Keselamatan perlu dititikberatkan dan untuk itu peralatan keselamatan kedua perlu disediakan. Dalam sesetengah keadaan, nyawa anda memang bergantung kepada peralatan-peralatan ini.
Mereka yang baru berjinak-jinak menceburkan diri dalam sukan ini adalah kumpulan yang paling berisiko untuk mendapat kecederaan. Untuk itu, adalah disyorkan agar anda sentiasa mendampingi dan mendapat tunjuk ajar dari jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman.
Kecederaan dalam sukan ini boleh berlaku akibat:
-
Objek jatuh dari atas dan tidak boleh dielakkan seperti batu, pasir dan kayu
-
Kegagalan peralatan berfungsi dengan baik atau rosak
-
Sesauh yang rosak atau tidak dipasang elok
-
Salah teknik memanjat
-
Berlanggar dengan permukaan cerun ketika jatuh
-
Teknik ikatan dan simpulan yang salah
-
Juruikat yang tidak berpengalaman atau cuai
Untuk mencapai puncak cerunan, anda semestinya memerlukan kekuatan angota tubuh badan serta teknik memanjat yang baik. Sekiranya tidak, maka kecederaan boleh berlaku temasuklah kecederaan akibat kerap penggunaan anggota (overuse injury). Persediaan rapi dari segi mental, fizikal dan logistik juga perlu diambilkira.
Adalah biasa untuk anda merasa lenguh dan penat apabila melakukan aktiviti ini samada di luar mahupun aktiviti memanjat dinding. Oleh itu anda dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti yang terlampau dan lakukanlah ianya secara riadah.
Kecederaan yang kerap berlaku biasanya melibatkan jari jemari, tangan, siku, dan lengan kerana ia adalah anggota yang paling utama digunakan. Urat-urat pada anggota anda juga mudah tercedera jika teknik salah atau pun terlalu kerap digunakan secara melampau.
Untuk mengurangkan risiko kecederaan, ambillah langkah-langkah berikut:
-
Riadah
Janganlah memaksa diri anda mengambil langkah panjatan di luar keupayaan. Sekiranya demikian, anda memaksa otot-otot dan urat anda untuk mudah mendapat kecederaan.
-
Tape
Penggunaan tape atau pita pelekat sukan yang khusus mampu memberikan sokongan kepada tangan dan sendi anda ketika memanjat.
-
Rehat yang cukup
Pastikan anda mendapat sesi rehat yang cukup. Ini membolehkan badan anda pulih dari kecederaan sebelumnya.
-
Cross training
Cross training ialah bersenam dengan melakukan aktivi lain dari kelaziman sukan anda untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatan tubuh badan. Sebagai contoh ialah dengan berlari, berenang, berbasikal, mengangkat berat.
-
Elakkan dari melakukan gaya panjatan yang ekstrem
Sesetengah gaya panjatan memerlukan aksi yang ekstrem. Elakkan dari melakukan kegiatan berkenaan kerana ia boleh memberi kecederaan kepada otot dan urat anda.
-
Berlatih dengan pelbagai gaya panjatan.
Asahlah kemahiran panjatan anda dengan kerap berlatih pada cerun atau dinding yang berlainan.
-
Berhenti jika anda mengalami kesakitan
Sekiranya anda mengalami kesakitan pada mana-mana anggota tubuh, berhentilah dari memanjat dan turun dengan selamat.
-
Patuhi nasihat doktor dan ahli fisioterapi anda
Jika anda masih mendapat rawatan dan rehabilitasi akibat kecederaan, patuhilah arahan mereka dan dapatkan nasihat mereka jika perlu.
-
Sentiasa memeriksa abah-abah
Setelah memakai peralatan dan sebelum melakukan panjatan, periksalah abah-abah anda sekali lagi bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan ikatan-ikatannya adalah kemas.
Harness image from en.wikipedia.org -
Sentiasa memeriksa simpulan tali panjatan
Sebelum memanjat, setiap simpulan tali mestilah diperiksa semula dan dipastikan mempunyai ikatan seperti Figure of 8. Simpulan ini mestilah kemas dan disudahi dengan simpulan tambahan. Pastikan tali disusurkan dengan betul seperti pada keliling pinggang dan kaki.
Figure of 8s follow through image from www.animatedknots.com -
Sentiasa menggunakan topi keledar.
Ini adalah satu kemestian bagi melindungi kepala anda dari cedera ditimpa objek yang gugur atau ketika anda jatuh.
-
Sentiasa periksa tali dan peralatan susur-ikat
Pastikan tali panjatan disimpulkan kemas pada alat susur-ikat. Tali dan susurnya mestilah dilekatkan kepada abah-abah anda dengan kemas menggunakan peralatan carabiner.
Imej carabiner dan susur-ikat dari www.atomikclimbingholds.com
Belay and carabiner image from www.atomikclimbingholds.com -
Tali yang berkualiti dan panjang
Tali yang baik kualitinya dan mempunyai panjang yang cukup untuk disauhkan dari satu sesauh ke sesauh yang lain dengan stabil. Pada hujung tali matikan simpulan pemati jika tali anda pendek.
-
Fokus dan komunikasi
Jangan hilang fokus ketika memanjat. Pastikan anda berkomunikasi dengan pemanjat yang berkongsi tali dengan anda terutamnya ketika anda memasakkan sesauh pada permukaan, menukar ikatan ataupun membuka susur-ikat untuk dipasang ke tali yang lain.
-
Betulkan kedudukan tali
Kedudukan tali yang baik adalah apabila ia berada di hadapan kaki anda dan bukannya di belakang mahupun dicelah kaki. Ini adalah penting terutamanya jika anda pemanjat yang paling atas.
-
Peralatan yang mencukupi
Sentiasa merancang agar peralatan yang dibawa adalah cukup. Lebih baik membawa lebih dari kurang.
-
Pasang klip dengan betul
Pastikan carabiner diklipkan dengan betul pada tali. Berlatihlah cara betul sebelum memanjat.
-
Gunakan sesauh yang utuh dan berkualiti
Pastikan tali dipasakkan pada dua sesauh di puncak atau ketika di celah-celah rekahan laluan panjatan.
Rujukan
1. Clinical Sports Medicine, Peter Brukner and Karim Khan
3. www.macecanada.com
Last Reviewed | : | 9 December 2014 |
Writer | : | Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi |
Translator | : | Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi |
Accreditor | : | Dr. Nazrila Hairizan bte. Nasir |