Pengenalan
Islam sangat mementingkan kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan umatnya. Justeru, dalam aspek kesihatan umat Islam diperintahkan supaya menjaga tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, di samping menyuruh umat manusia berikhtiar mencari ubat apabila dijangkiti sesuatu penyakit.
Tubuh badan yang sihat akan melahirkan akal yang cerdas dan bijak, dengan tubuh badan yang sihat juga kita lebih mudah dan selesa untuk melakukan ibadah dan urusan harian. Hakikatnya, umat Islam wajib memiliki tubuh badan yang sihat dan kuat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Namun, dalam keghairahan kita untuk menjaga kesihatan dan mencari ubat bagi merawat sesuatu penyakit, persoalan halal dan haram tetap perlu dijaga dan diambil berat. Mencari dan memilih ubat yang halal adalah wajib bagi setiap umat Islam dan meninggalkan yang haram juga merupakan suatu kewajipan. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah “Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam” hadis riwayat al-Baihaqi.
Antara isu halal dan haram dalam perubatan yang menjadi topik perbincangan hangat sehingga hari ini ialah persoalan mengenai ubat-ubatan yang mengandungi unsur-unsur najis atau haram seperti alkohol, dadah, bahan-bahan dari khinzir, lembu dan seumpamanya. Pengguna di Malaysia terutamanya pengguna Islam sangat prihatin dengan isu-isu ini kerana ia melibatkan persoalan halal dan haram iaitu perkara asas dalam kehidupan beragama dan perlu diambil berat oleh setiap individu muslim.
Definisi dan Konsep Halal Haram dalam Islam
Perkataan Halal berasal daripada bahasa Arab yang ringkasnya bermaksud dibenarkan atau tidak dilarang pengambilannya dalam Islam. Menurut al-Quran, semua makanan yang baik dan bersih adalah halal. Oleh itu, hampir semua sumber makanan dari tumbuhan dan haiwan halal kecuali yang diharamkan pengambilannya.
Haram bermaksud tidak dibenarkan atau dilarang pengambilannya dalam Islam. Antara makanan yang diharamkan dalam Islam termasuklah bangkai, darah dan khinzir, benda-benda yang memabukkan dan sebagainya. Selain itu, sebarang produk yang dicemari sumber haram juga diharamkan pengambilannya.
Ubat ialah bahan yang digunakan untuk meringankan. merawat, menyembuh atau mencegah penyakit serta meningkatkan taraf kesihatan. Ubat boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan diambil dengan bermacam cara. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, inysa-Allah ia dapat merawat atau mengawal penyakit.
Ubat-ubatan yang halal mesti memenuhi syarat-syarat berikut:
- Tidak mengandungi bahan daripada haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut syarak.
- Tidak mengandungi bahan yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
- Selamat untuk diambil, tidak beracun, tidak merosakkan atau memabukkan dan tidak membahayakan kesihatan.
- Tidak disedia, diproses atau dihasilkan menggunakan peralatan yang dicemari najis mengikut hukum syarak.
- Tidak mengandungi apa-apa bahagian tubuh manusia atau hasil daripadanya yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak.
Prinsip Umum Islam Terhadap Perubatan dan Rawatan Penyakit
Islam ialah agama yang lengkap dan sempurna. Allah telah menetapkan dasar-dasar hukum dalam setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia sama ada berkaitan akidah, ibadah, sistem kehidupan, undang-undang, kesihatan dan lain-lain.
Sebagai agama yang lengkap dan sempurna, Islam memelihara dan menyelesaikan permasalahan dan keperluan manusia yang boleh dibahagikan kepada 5 prinsip utama iaitu Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta Benda.
Umat Islam wajib menjaga lima prinsip utama syariah Islam ini dengan dua cara iaitu pertama dengan melaksanakan atau menegakkannya dan kedua dengan memastikan ia terus berkekalan. Kita menegakkan Agama dengan melaksanakan lima rukun Islam yang sudah diketahui umum.
Nyawa termasuk kesihatan tubuh badan adalah hak Allah yang perlu dijaga dan dilindungi dari sebarang ancaman penyakit, pembunuhan dan sebagainya. Jika kita ditimpa penyakit, Allah memerintahkan supaya kita berusaha mencari ubatnya dan memohon kesembuhan dari Allah.
Kita diwajibkan untuk menjaga Akal dengan mencari ilmu disamping menjauhi perkara haram yang boleh memabukkan dan merosakkan akal. Dalam aspek Keturunan, Islam menjaganya dengan mengizinkan perkahwinan supaya keturunan dapat diteruskan di samping melindungi keturunan dengan mengharamkan zina dan pergaulan bebas yang akan merosakkan keturunan manusia.
Islam melindungi prinsip yang kelima iaitu Harta Benda dengan memerintahkan manusia berusaha mencari harta melalui jalan yang halal dan memelihara masyarakat daripada penindasan dan kezalilman dengan mengharamkan penipuan, riba, rompakan dan sebagainya.
Keperluan Merawat Penyakit Menurut Syarak
Islam sangat mengambil berat dalam aspek penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit. Umat Islam disuruh menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan berikhtiar mengubat apabila dijangkiti penyakit. Ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah:
“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawarnya, dan Dia telah menjadikan bagi setiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan benda-benda yang haram” Hadis riwayat Abi Darda r.a.
Ringkasnya, hukum berubat ada dua iaitu wajib dan harus. Bagi orang awam, hukumnya harus iaitu ketika ia masih dapat menanggung kesakitan, dapat bersabar ataupun penyakit itu belum teruk.
Keperluan berubat menjadi wajib ke atas umat Islam yang tidak mampu menanggung kesakitan yang dialaminya ataupun penyakit itu boleh mengancam nyawanya.
Oleh sebab itu, umat Islam mempunyai pilihan sama ada hendak berusaha mengubati penyakit ataupun bersabar menanggung kesakitan yang merupakan ujian Allah.
Walaubagaimanapun, hukum berubat ini boleh berubah menjadi haram apabila pesakit itu beriktikad yang kuasa menyembuhkan penyakit adalah daripada ubat yang digunakan sedangkan hakikat penyembuhan adalah kuasa Allah. Begitu juga sekiranya pesakit berubat dengan benda-benda yang diharamkan dan dilarang oleh syarak.
Penggunaan Ubat Sewaktu Darurat
Hukum-hakam Islam mempunyai ketetapan (azimah) dan kelonggaran (rukhsah). Hukum azimah ialah hukum asal yang ditetapkan oleh Allah. Contohnya, hukum pengharaman arak dan khinzir serta kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan. Rukhsah ialah kelonggaran yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu.
Sebagai contoh, pada saat kecemasan atau darurat, harus berbuka puasa Ramadan ketika sakit dan dibolehkan memakan daging khinzir semasa kebuluran dan tiada pilihan makanan lain. Umat Islam wajib berpegang dengan hukum-hakam azimah melainkan apabila wujud keadaan darurat yang membolehkan kelonggaran.
Darurat secara ringkasnya bermaksud suatu keadaan di mana seseorang itu berhadapan dengan situasi yang melibatkan keselamatan nyawa ataupun harta bendanya.
Secara terperinci, Wahbah al-Zuhaili, profesor dalam bidang perundangan Islam di Universiti Damsyik telah memberikan takrifan darurat yang lebih jelas iaitu
“Darurat ialah berlaku ke atas seseorang satu keadaan yang berbahaya, atau kesusahan yang sangat berat, yang mana dibimbangi berlakunya kemudaratan atau kesakitan terhadap jiwa, anggota, maruah, akal atau harta dan segala yang berkaitan dengannya. Pada masa itu, boleh atau diharuskan melakukan yang haram atau meninggalkan yang wajib atau melewatkan daripada waktunya, demi untuk menolak kemudaratan daripada berlaku mengikut pertimbangan dalam ruang lingkup peraturan syara”.
Dr Yusuf al-Qardawi pula di dalam buku tulisannya “Halal dan Haram Dalam Islam” menekankan dan mengingatkan umat Islam agar tidak mempermudah-mudahkan kelonggaran yang diberi oleh syarak atas alasan darurat.
Dalam memutuskan keharusan penggunaan ubat yang mengandungi bahan haram, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut adalah benar-benar darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama dan digunapakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia ialah:
- Darurat itu benar-benar berlaku dan bukan sesuatu yang tidak pasti. Dalam erti kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudaratan pada lima prinsip asas (agama, nyawa, akal, keturunan dan harta) ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman atau pengetahuan.
- Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syara’, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan perkara yang ditegah atau diharamkan.
- Usaha harus dilakukan untuk memastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudaratan yang menimpa pesakit.
- Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja.
- Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah disyorkan, dipastikan dan diperakui oleh seorang doktor atau pengamal perubatan muslim yang adil, diyakini amalan dan pegangan agamanya serta mempunyai pengetahun dalam bidang tersebut.
Apa Yang Pengguna Perlu Tahu Tentang Farmaseutikal Halal
Allah memerintahkan kita untuk mengambil makanan yang bukan sahaja halal, tetapi juga baik ataupun dalam istilahnya disebut Halalan Thoyyiban agar tidak membahayakan tubuh badan kita. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi memainkan peranan dengan memastikan ubat-ubatan di Malaysia adalah berdaftar dengan KKM. Produk farmaseutikal berdaftar ini telah dinilai dari aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti manakala produk tradisional berdaftar pula dinilai dari aspek keselamatan dan kualitinya dengan tujuan utama untuk melindungi kesihatan kita. Ini bertepatan dengan konsep Thoyyiban.
Selain itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) juga mewajibkan syarikat-syarikat farmaseutikal untuk mengisytiharkan sekiranya produk-produk mereka mengandungi bahan-bahan dari unsur haiwan dengan meletakkan label yang menyatakan bahawa produk ini mengandungi bahan daripada sumber haiwan seperti unsur lembu (bovine), khinzir (porcine) dan sebagainya. Terdapat bahan mentah seperti magnesium stearate, gliserin atau gelatin yang boleh diperolehi dari sumber haiwan.
Pelabelan ini adalah untuk membantu pengguna khususnya pengguna beragama Islam, Hindu, golongan vegetarian dan pengguna yang mempunyai alahan tertentu untuk mengelakkan dari menggunakan produk berkenaan. Selain itu, jika tiada pilihan lain dan ubat yang mengandungi bahan haiwan terpaksa digunakan untuk merawat pesakit, pihak hospital akan mendapatkan persetujuan daripada pesakit terlebih dahulu sebelum memberikan ubat tersebut.
Dalam konteks farmaseutikal halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merupakan badan autoriti yang diberi kuasa di Malaysia. Pihak JAKIM telah memainkan peranan yang besar dengan memperkenalkan persijilan halal untuk produk farmaseutikal berdasarkan standard Farmaseutikal Halal pertama di dunia iaitu MS2424: 2012.
Selaras dengan itu, bermula pada tahun 2013, pihak PBKD telah membenarkan penggunaan logo halal bagi produk-produk farmaseutikal berdaftar kategori produk bukan racun (Over-The-Counter, OTC) seperti supplemen kesihatan dan ubat-ubatan yang tidak memerlukan preskripsi daripada doktor atau ahli farmasi. Tetapi hanya logo Halal yang diperakui dan dikeluarkan oleh JAKIM atau dari Badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM yang boleh diterima pakai.
Penggunaan logo halal bagi produk-produk farmaseutikal ini adalah secara voluntari dan sekiranya tiada logo halal adalah tidak wajar sesuatu produk itu terus dianggap haram untuk digunakan. Pengguna berhak untuk mendapat maklumat dan boleh bertanya kepada pegawai-pegawai farmasi di hospital sekiranya terdapat sebarang keraguan.
Penutup
Sebagai umat Islam kita harus memahami bahawa penyembuhan sesuatu penyakit itu adalah kekuasaan Allah. Kita mesti berikhtiar dalam mengubati sesuatu penyakit dengan cara yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Islam seperti penggunaan ilmu hitam atau cara lain yang dilarang oleh Allah.
Bahan-bahan yang digunakan sebagai ubat juga mestilah sesuai dengan ajaran Islam seperti suci dan tidak mengandungi najis kecuali dalam keadaan darurat. Apa lebih penting ialah mencegah dan menjaga diri dari terkena penyakit lebih baik dari mengubat.
Kefahaman dan penghayatan tentang halal dan haram dalam aspek ubat-ubatan ini sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar kesihatan tubuh badan dapat dijaga mengikut ajaran Islam yang sebenar . Oleh itu, kami berharap artikel ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi kefahaman dan penjelasan kepada pengamal perubatan, pesakit dan orang awam mengenai ubat halal dan ubat haram menurut perspektif Islam.
Rujukan
- Abdul Rahman, (2010). Halalkah Ubat Anda? Ubat daripada sumber babi dan pilihan alternatif. Kuala Lumpur, Malaysia: H Science Solution
- Harmy, M.Y, Syamsul, K.A, Rosediani, M., & Wan Nor Ainon, W.A. (2011). Fikah Perubatan. Malaysia: PTS Millennia
- MS2424:2012 Halal Pharmaceuticals – General Guidelines. Jabatan Standard Malaysia.
Semakan Akhir | : | 12 Ogos 2014 |
Penulis | : | Rahman bin Baco |
Akreditor | : | Mazlan bin Ismail |