Apakah ulser afta berulang?
Ulser afta berulang (UAB) atau afta mulut berulang (AMB) adalah suatu keadaan dimana terdapat episod berulang satu atau lebih ulser mulut yang menyakitkan, berbentuk bulat / bujur dan dengan kawasan kemerahan di sekeliling ulser tersebut. Terdapat variasi dalam saiz ulser, dari beberapa milimeter hingga lebih besar daripada satu sentimeter diameternya. UAB merupakan suatu keadaan mulut yang terjadi dalam hampir 20% daripada penduduk. UAB biasanya diklasifikasikan secara klinikal kepada salah satu daripada tiga jenis:
- Kecil
- Besar
- Herpetiform
Pengelasan ini biasanya berdasarkan rupa, nombor, saiz, lokasi dan tempoh yang diperlukan oleh ulser tersebut untuk sembuh.
UAB Kecil
Adalah jenis yang paling biasa ditemui di kalangan individu dengan UAB. Saiz ulser biasanya lebih kecil daripada 5mm diameter dan biasanya 1-5 ulser boleh terjadi pada satu waktu yang sama. Ulser tersebut biasanya sembuh dalam tempoh 14 hari tanpa sebarang parut. Lokasi yang paling biasa bagi UAB jenis ini adalah permukaan dalam pipi dan bibir serta lantai mulut.
Gambar 1: UAB Kecil
|
UAB Besar
Saiz ulser biasanya lebih besar (kadangkala lebih daripada 10mm diameter). Ulser boleh berlaku pada mana-mana permukaan di dalam mulut dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh (kadangkala akan mengambil sehingga 2 bulan untuk sembuh) dan ulser yang besar boleh meninggalkan parut.
UAB Herpetiform
Jenis yang paling jarang dijumpai. Ulser biasanya terjadi dalam kelompok lebih daripada 15 ulser pada satu masa yang sama (kadangkala lebih daripada 50 ulser pada masa yang sama) dan setiap ulser bersaiz sekitar 1 – 3 mm diameternya. Sesekali, beberapa ulser yang lebih kecil mungkin bercantum untuk menjadi ulser yang lebih besar. Ulser jenis ini bisanya sembuh dalam masa 2 minggu tanpa meninggalkan parut. Jenis ini TIDAK disebabkan oleh virus herpes.
Apakah punca UAB?
Punca yang tepat untuk UAB tidak difahami sepenuhnya tetapi terdapat faktor-faktor imunologi yang terlibat dalam kejadiannya. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan atau memburukkan lagi UAB seperti:
- Anemia ,
- kekurangan vitamin,
- ubat-ubatan tertentu,
- tekanan stres dan
- trauma mekanikal dari gigi tajam / tampalan, pendakap gigi atau berus gigi
Dalam sesetengah kes, UAB boleh disebabkan oleh penyakit sistemik yang juga melibatkan bahagian-bahagian badan yang lain seperti:
- Penyakit Behcet
- Sindrom MAGIC (ulser mulut dan kemaluan dengan keradangan rawan )
- PFAPA (demam berkala , UAB, sakit tekak dan keradangan nodus limpa)
- Cyclic neutropenia
- Jangkitan HIV dan lain-lain penyakit
UAB bukan suatu penyakit berjangkit. Dipercayai satu komponen genetik memang wujud kerana didapati bahawa ramai individu dengan UAB mempunyai saudara mara dengan keadaan yang sama.
Diagnosis
Diagnosis biasanya bergantung kepada riwayat kesakitan yang diberi oleh pesakit dan juga penemuan klinikal. UAB dicirikan oleh kewujudan satu atau lebih ulser yang berbentuk bulat dan cetek yang berulang dalam jangka masa beberapa hari hingga beberapa bulan. Sesetengah individu ada juga melaporkan bahawa terdapat rasa seperti kepanasan ataupun semut-semut 2 hingga 48 jam sebelum kemunculan ulser. Sejarah perubatan yang komprehensif diperlukan untuk memastikan UAB yang terjadi bukannya disebabkan oleh penyakit sistemik yang lain (seperti yang disebutkan di atas). Biasanya beberapa ujian darah juga akan dibuat. Jikalau ulser tersebut telah wujud untuk jangka masa yang lama (lebih dari 2 minggu), biopsi mungkin di lakukan untuk mendapatkan kepastian.
Apakah rawatan untuk UAB?
Jikalau UAB disebabkan / dicetuskan oleh faktor / penyakit sistemik yang lain, puncanya dikenalpasti dan dirawat. Namun demikian, terdapat banyak kes UAB yang tidak berhubung kait dengan sebarang faktor sistemik dan rawatan biasanya disasarkan kepada mengurangkan / melegakan kesakitan yang dialami pesakit dan untuk mencegah / mengurangkan jangkitan sekunder serta untuk menggalakkan penyembuhan ulser. Pilihan rawatan bergantung kepada keterukan keadaan dan juga riwayat perubatan pesakit. Berikut adalah sebahagian daripada ubat-ubatan yang biasanya digunakan untuk merawat UAB :
- Kortikosteroid topikal : Ubat yang paling biasa digunakan kerana ia berkesan bagi kebanyakan pesakit. Terdapat dalam bentuk pes, salap , krim, ubat kumur dan semburan.
- Ubat kumur atau semburan anti-keradangan / anestetik: Biasanya digunakan jika terdapat banyak ulser dan juga sangat membantu mengurangkan kesakitan semasa makan bila diguna sebelum makan.
- Penggunaan pencuci mulut antiseptik bebas alkohol: Biasanya disyorkan untuk mengurangkan kejadian jangkitan sekunder dan meningkatkan kawalan plak terutamanya apabila pemberusan gigi menjadi sukar.
- Ejen pelindung: Untuk membentuk halangan terhadap kecederaan mekanikal dan jangkitan sekunder. Ia juga boleh menggalakkan penyembuhan. Biasanya dalam bentuk pes dan gel .
- Kortikosteroid sistemik: Biasanya untuk kes-kes yang lebih teruk dan cuma untuk jangka masa yang pendek.
Terdapat beberapa jenis ubat / terapi lain yang dikhaskan untuk kes-kes UAB yang lebih teruk. Dan ubatan ini seringkali dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan yang akan diterangkan kepada anda oleh pakar yang merawat anda jika perlu menggunakan ubat tersebut. Pakar anda juga mungkin akan mengesyorkan untuk mengubah ubat gigi anda kerana beberapa ubat gigi mengandungi bahan-bahan yang boleh memburukkan gejala anda.
Sebarang ulser yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyembuhan dan berterusan selama lebih daripada 2 minggu walaupun rawatan telah dimulakan perlu diperiksa oleh doktor gigi anda yang mungkin merujuk anda kepada seorang pakar bagi pengurusan selanjutnya. Mujurlah, dalam kebanyakan kes, tahap dan juga kekerapan UAB biasanya akan berkurangan dengan peningkatan usia.
Langkah-langkah penjagaan diri
- Elakkan makanan panas, pedas, berasid , masin atau keras (seperti biskut dan roti bakar ) apabila anda mempunyai UAB.
- Diet yang seimbang untuk mengelakkan kekurangan zat / nutrisi
- Menjaga kebersihan mulut yang baik untuk mencegah jangkitan sekunder ulser
- Mendapatkan temujanji pergigian untuk mendapatkan rawatan untuk mana-mana gigi yang tajam atau tampalan yang pecah yang boleh mencetuskan / memburukkan UAB
Apakah komplikasi yang mungkin terjadi?
Komplikasi biasanya bergantung kepada keterukan keadaan dan juga kehadiran faktor / penyakit sistemik yang berkaitan. UAB sendiri boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan boleh menyebabkan pengurangan dalam pengambilan pemakanan yang seterusya mungkin akan memburukkan lagi UAB dan juga menyebabkan penyusutan berat badan yang ketara. Manifestasi klinikal UAB Besar kadangkala boleh nampak seperti jangkitan atau kanser mulut dan biopsi mungkin diperlukan untuk medapatkan kepastian.
Rujukan
- Scully, C. (2008). Oral and maxillofacial medicine- The basis of diagnosis and treatment. (2nd ed.) Elsevier.
- S.R. Porter, C. Scully and A. Pedersen; Recurrent Afta Stomatitis. Crit Rev Oral Biology & Medicine 1998 9(3): 306 – 321
- Scully C, Gorsky M, Lozada-Nur F (2003). The diagnosis and management of recurrent afta stomatitis: a consensus approach. J Am Dent Assoc 134: 200–207.
- Porter SR, Scully C (2005). Afta ulcers: (recurrent) Clin Evid 13: 380–381.
- Jurge, S., Kuffer, R., Scully, C. and Porter, S. (2006), Number VI Recurrent afta stomatitis. Oral Diseases, 12: 1–21.
Semakan Akhir | : | 3 Jun 2014 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam |
Akreditor | : | Dr. Lau Shin Hin |