A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penyakit Biasa
  6. /
  7. Warga Emas (Wanita) dan...

Warga Emas (Wanita) dan Masalah Libido

Libido merupakan suatu perasaan atau keinginan terhadap seks dan ini sangat berkait rapat dengan beberapa faktor seperti tahap kandungan hormon estrogen dan tahap kesihatan seseorang.

 

Masalah Libido Dalam Kalangan Warga Emas (Wanita) :

Sebelum, Semasa dan Selepas

 

Sebelum Mengalami Masalah Libido Dalam Kalangan Warga Emas (Wanita)

Wanita melalui beberapa fasa kesuburan di dalam kehidupan mereka. Secara amnya, seorang kanak-kanak perempuan akan memasuki fasa remaja dan kesuburan bermula seawal umur 9-10 tahun di mana mereka akan mula mengalami kedatangan haid serta perubahan fizikal yang lain. Pada peringkat usia yang tertentu pula, selalunya di akhir 40an atau awal 50an, hormon estrogen mula berkurangan dan akan menyebabkan suatu keadaan yang dipanggil menopaus atau putus haid dan, seterusnya  pada usia emas, beberapa masalah yang berkaitan dengan hormon dan kesuburan.

Antara masalah yang timbul di dalam kehidupan seseorang wanita adalah masalah libido yang sebenarnya boleh berlaku pada mana-mana peringkat hidup seseorang wanita tetapi lebih kerap terjadi kepada warga emas wanita.

Libido merupakan suatu perasaan atau keinginan terhadap seks dan ini sangat berkait rapat dengan beberapa faktor seperti tahap kandungan hormon estrogen dan tahap kesihatan seseorang.

Secara amnya, walaupun umum menganggap warga emas tidak lagi melakukan hubungan seksual, kebanyakan dari mereka masih mempunyai keinginan seksual atau libido dan masih lagi aktif melakukan hubungan seksual sehingga berumur lebih kurang 50 – 60 tahun. Beberapa kajian di Barat menunjukkan bahawa warga emas wanita di sana masih lagi aktif melakukan hubungan seksual walaupun sudah mencapai umur 80 tahun.

Hubungan seksual adalah sebahagian dari komponen aktiviti kehidupan yang penting untuk kesihatan mental dan fizikal warga emas. Ini kerana, melalui hubungan seksual, keintiman di dalam perhubungan dapat diteruskan dan seseorang warga emas tersebut dapat mengekspresi perasaan terhadap pasangannya. Walaubagaimanapun, dengan bertambahnya usia, perubahan pada tubuh badan mungkin menimbulkan perasaan khuatir terutamanya reaksi pasangan terhadapnya.

Antara masalah-masalah yang mungkin timbul  dan cara-cara mengatasinya adalah :

1. Ketidakselesaan disebabkan kekeringan pada vagina semasa melakukan hubungan kelamin. 

  • Doktor mungkin dapat memberikan preskripsi ubat sepert  krim yang mengandungi hormon estrogen (estrogen cream) atau pelincir  (lubricant) yang dapat diaplikasikan untuk mengurangkan rasa tidak selesa tersebut.

2. Masalah-masalah  kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, pembedahan membuang rahim dan ovari mungkin menyebabkan berlakunya kekurangan keupayaan untuk melakukan aktiviti seksual. Di samping itu, kesan-kesan sampingan dari ubat-ubatan untuk penyakit tersebut mungkin juga menggangu aktiviti seksual.

  • Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan berbincang berkenaan ubat-ubatan yang sesuai.

3. Masalah tidak dapat mengawal pundi kencing dan menyebabkan air kencing keluar di luar kawalan.

  • Masalah ini mungkin dapat diatasi dengan melakukan senaman otot pelvis (pelvic floor muscle exercise) di samping meneliti jenis pengambilan ubat-ubatan, makanan dan minuman yang boleh memburukkan masalah ini.

4. Isu-isu berkaitan dengan keyakinan dan harga diri dan memahami keinginan libido sebagai suatu yang berbentuk fitrah tetapi masih perlu di dalam lingkungan batas agama dan budaya bagi mengelakkan berlakunya penyakit kelamin.

  • Berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling.

5. Masalah seksual yang dihadapi oleh pasangan – contohnya mati pucuk yang menyebabkan wanita tersebut tidak dapat memenuhi keinginan seksualnya.

  • Membawa pasangan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan mencari punca penyakit untuk merawat masalah tersebut.
  • Berjumpa kaunselor yang mahir di dalam bidang ini untuk mendapatkan nasihat.

Semasa Mengalami Masalah Libido Dalam Kalangan Warga Emas (Wanita)

Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah libido di kalangan warga emas wanita. Antaranya adalah:

  • Rasa sakit ketika melakukan hubungan seks atau kesulitan untuk mencapai orgasme, akan secara psikologinya menyebabkan penurunan libido.
  • Penyakit-penyakit  non-seksual yang boleh mempengaruhi libido seseorang seperti radang sendi (arthritis), diabetes, penyakit koronari arteri  dan penyakit saraf.
  • Ubat-ubatan seperti ubat anti-depressant untuk kemurungan mungkin boleh menganggu libido seseorang.
  • Gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan alkohol dan merokok dengan berlebihan boleh menyebabkan penurunan libido yang diakibatkan oleh gangguan bekalan darah ke anggota kelamin.
  • Rehat yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlakunya penurunan libido.
  • Masalah  psikologi seperti masalah perkahwinan, masalah keluarga, kewangan dan sebagainya boleh mengganggu emosi seseorang dan oleh yang demikian menyebabkan berlakunya masalah libido.

Masalah-masalah ini boleh diatasi dengan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya.

Selepas Mengalami Masalah Libido Dalam Kalangan Warga Emas (Wanita)

Pada satu peringkat dalam kehidupan wanita, keinginan seksual mungkin bukan lagi sesuatu yang menjadi keutamaan. Pada peringkat ini, pada kebiasaannya, fokus dan keinginan di dalam kehidupan beralih kepada aktiviti-aktiviti lain yang juga dapat memberikan sesuatu kepuasan di dalam kehidupan mereka.

Ramai di antara warga emas wanita merasakan bahawa melakukan aktiviti-aktiviti sosial dan menghabiskan masa untuk diri sendiri dan keluarga adalah sesuatu yang sangat berharga dan menjadi keutamaan di dalam kehidupan mereka.

 

Rujukan

  1. Dana R. Ambler et al, Sexual Function in Elderly Women: A Reviews in Obstetrics & Gynecology, 2012; 5(1): 16–27
  2. Kessel, Sexuality in Elderly, Age and Ageing 2001;  30:121-124
  3. Abi Taylor et al, Sexuality in older age: essential considerations for healthcare professionals, Age and Ageing, 2011,538–543

 

Semakan Akhir : 07 November 2017
Penulis : Dr. Rizah Mazzuin binti Razali
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,821

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia