A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Ingatan

Masalah ingatan boleh merupakan proses penuaan yang biasa.

Pengenalan

  • Masalah ingatan boleh merupakan proses penuaan yang biasa.
  • Apabila seseorang menjadi tua, perubahan dan kemerosotan fungsi boleh berlaku pada semua bahagian badan, termasuklah otak.
  • Akibatnya, sesetengah warga emas mungkin perlu mengambil masa yang lebih panjang untuk mengingati informasi baru.
  • Terdapat pelbagai keadaan/penyakit yang boleh mengakibatkan  masalah ingatan dalam kalangan warga emas.
  • Oleh itu, adalah penting untuk warga emas yang mengalami masalah ingatan untuk mendapat penilaian daripada doktor agar diagnosa awal and rawatan yang bersesuaian boleh diberi.

Sebab-sebab masalah ingatan

Pelbagai keadaan/ penyakit boleh menyebabkan masalah ingatan dalam kalangan warga emas, termasuklah:

  • Masalah ingatan disebabkan oleh proses penuaan
  • Masalah ingatan berkaitan dengan penyakit degeneratif seperti penyakit Alzheimer, angin ahmar, penyakit Parkinson dan penyakit lain yang berkaitan
  • Masalah ingatan disebabkan oleh keadaan/ penyakit yang boleh dirawat

Masalah ingatan disebabkan oleh proses penuaan

  • Masalah ingatan yang disebabkan oleh proses penuaan biasanya tidak menjejaskan keupayaan warga emas untuk hidup secara berdikari dan produktif.
  • Contohnya, seseorang warga emas yang mungkin terlupa nama seseorang pada suatu ketika akan dapat mengingatinya kemudian. Ada juga diantara mereka yang mungkin tidak ingat tempat di mana mereka telah meletak barang keperluan seharian  seperti cermin mata. Kadang-kala, mereka mungkin perlu membuat senarai untuk bantu mengingati tugasan dan temujanji.
  • Walau bagaimanapun, perubahan ingatan ini biasanya boleh ditangani dan tidak menjejaskan keupayaan mereka bekerja, bergaul dan hidup secara berdikari.

Masalah ingatan berkaitan dengan demensia, contohnya penyakit Alzheimer dan penyakit lain yang berkaitan

  • Demensia merangkumi gejala kognitif seperti kelemahan ingatan, orientasi, penggunaan bahasa, perancangan, pemikiran, pertimbangan dan lain-lain kemahiran berfikir.
  • Demensia biasanya bermula secara perlahan-lahan, menjadi semakin teruk dan boleh menjejaskan keupayaan warga emas untuk bekerja, bergaul dan menggangu kebolehan mereka untuk hidup secara berdikari.
  • Biasanya, kehilangan ingatan jangka pendek merupakan gejala pertama yang ketara untuk penyakit demensia.

Masalah ingatan disebabkan oleh penyakit yang boleh dirawati

Sesetengah masalah perubatan yang boleh dirawati juga menyebabkan masalah ingatan atau gejala demensia. Kebanyakan penyakit ini boleh dikesan dan dirawati dengan berjayanya. Penyebab-penyebab masalah ingatan yang boleh dirawati adalah seperti:

  • Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu
  • Kekurangan vitamin B-12
  • Pengambilan alkohol secara berpanjangan
  • Kecederaan otak
  • Ketumbuhan, jangkitan atau darah beku pada otak
  • Hipotiroidism
  • Masalah emosi seperti kemurungan, stres dan keresahan

Adalah penting untuk menyedari bahawa gejala demensia yang boleh dirawati kadang-kala tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Ia mungkin disebabkan oleh kerosakan otak yang berkekalan akibat daripada masalah yang berpanjangan. Biasanya, warga emas mungkin juga mempunyai penyakit demensia seperti Alzheimer pada masa yang sama.

Diagnosis

Adalah penting untuk mendapat pengesanan awal tetapi diagnosa awal kadang-kala adalah sukar. Pengesanan sebab-sebab masalah ingatan yang boleh dirawati membolehkan pesakit untuk mendapat rawatan yang bersesuaian. Oleh itu, warga emas dengan masalah ingatan perlu berjumpa dengan doktor untuk penilaian lanjut. Diagnosa yang betul bergantung kepada informasi yang tepat. Oleh itu, selain daripada bertemu-bual dengan pesakit, doktor perlu bertanya dengan ahli keluarga, penjaga atau kawan untuk maklumat lanjut.

Penilaian masalah ingatan yang lengkap sepatutnya merangkumi:

  • Sejarah perubatan yang teliti, termasuklah penggunaan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor atau dibeli sendiri, sejarah pemakanan, sejarah perubatan lampau dan keadaan kesihatan pada amnya
  • Penilaian fizikal dan kesihatan mental yang lengkap
  • Ujian kognitif yang formal seperti ujian ingatan, orientasi, perhatian, penyelesaian masalah dan keupayaan penggunaan bahasa
  • Ujian darah seperti paras vitamin B12 dalam darah, ujian fungsi tiroid
  • Ujian pengimejan otak sepeti computed tomography (CT) atau magnetic resonance imaging (MRI)  mungkin diperlukan untuk mengesan sebab-sebab masalah ingatan

Rawatan

  • Rawatan bergantung kepada punca masalah ingatan
  • Untuk pesakit warga emas dengan masalah ingatan disebabkan oleh penyakit Alzheimer, pelbagai rawatan dengan atau tanpa ubat-ubatan boleh digunakan untuk mengawal gejala penyakit.
  • Masalah ingatan disebabkan oleh penyakit yang boleh dirawat mungkin boleh bertambah baik and kadang-kala pulih sepenuhnya dengan rawatan. Sebagai contoh, penyakit hipotiroidism dapat dirawat dengan ubat pengganti hormon tiroid untuk memulihkan masalah ingatan

Warga emas dengan masalah ingatan boleh menggunakan berbagai teknik untuk membantu mereka menguatkan ingatan dan meningkatkan kemahiran mental. Tip-tip yang berguna termasuklah:

  • Teknik peringatan seperti menggunakan ‘senarai tugasan yang perlu dilakukan’ sebagai peringatan untuk memastikan agar tidak terlupa untuk menjalankan tugasan tertentu
  • Menjalankan tugasan seharian secara teratur boleh memastikan tugasan seharian boleh diingati dengan mudah
  • Meletakkan barang di tempat tertentu boleh membantu mengelakkan kekeliruan tempat
  • Mengaitkan nama atau objek dengan informasi yang lebih dikenali boleh membantu untuk mengingati sesuatu perkara dengan senang
  • Menyimpan kalendar yang menunjukkan tarikh penting boleh membantu mengingati tarikh dengan lebih mudah

Pencegahan

Pelbagai langkah-langkah dapat diambil untuk mencegah masalah ingatan. Klinik Mayo telah mencadangkan 7 langkah untuk mencegah masalah ingatan dan meningkatkan daya ingatan seperti:

  • Sentiasa menggunakan otak secara aktif – aktiviti perangsang otak boleh bantu mengekalkan kecergasan otak dan mencegah masalah ingatan
  • Selalu bergaul – pergaulan sosial boleh bantu mencegah kemurungan dan stres yang mungkin menyebabkan masalah ingatan
  • Sentiasa melakukan tugasan dengan teratur – menyimpan senarai untuk perkara yang perlu dilakukan, memperuntukkan tempat tertentu untuk menyimpan dompet, kunci dan barangan keperluan yang lain
  • Memberi perhatian pada tugas yang perlu dilakukan, mengurangkan gangguan perhatian dan jangan melakukan terlalu banyak tugasan pada masa yang sama
  • Memastikan pemakanan yang sihat – pemakanan yang sihat untuk jantung juga berfaedah untuk kesihatan otak
  • Melakukan aktiviti fizikal secara berkala –  aktiviti fizikal boleh meningkatkan pengaliran darah ke seluruh badan, termasuklah otak
  • Pengendalian penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan kemurungan dengan rawatan yang bersesuaian sebagaimana yang dicadangkan oleh doktor

Rujukan

  1. Forgetfulness: Knowing when to ask for help. National Institute on Aging.http://www.nia.nih.gov/HealthInformation/Publications/forgetfulness.htm. Accessed Jul 10, 2013.
  2. Nilsson LG. Memory function in normal aging. Acta Neurol. Scand. Suppl. 2003;179: 7–13
  3. Mayo Clinic Staff. Memory loss: 7 tips to improve your memory. Mayo Clinic. Retrieved Jul 10, 2013
  4. Mayeux R. Clinical practice: Early Alzheimer’s disease. New England Journal of Medicine 2010;362:2194.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis/Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Apabila Jatuh

Kejatuhan ditakrifkan sebagai keadaan di mana seseorang itu dengan tidak sengaja jatuh ke tanah atau ke tahap yang lebih rendah biasanya lantai selain daripada akibat tolakan kuat, tidak sedar diri atau kejadian  lumpuh secara tiba-tiba akibat strok atau sawan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,895

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia