A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mengapa Implan Pergigian?

Implan pergigian ialah salah satu rawatan pergigian yang ada bagi menggantikan gigi yang telah hilang.

Pengenalan

Implan pergigian ialah salah satu rawatan pergigian yang ada bagi menggantikan gigi yang telah hilang. Ia adalah gigi palsu jenis tetap dan ‘akarnya’ atau fixture akan bercantum dengan tulang disekitarnya. Terdapat banyak sistem implan pergigian dipasaran tetapi malangnya kesemua sistem ini tidak serasi antara satu sama lain. Malahan di dalam sistem yang sama sekalipun terdapat pelbagai pilihan bentuk dan saiz. Terdapat juga implan pergigian yang mana permukaan luarnya dirawat sebegitu rupa bagi memastikan percantuman yang baik dengan tisu tulang. Keadaan tulang di dalam mulut pesakit adalah penentu kepada pemilihan implan pergigian yang sesuai.
 

Bahan binaan asas bagi kesemua implan pergigian adalah daripada titanium, tanpa mengira jenamanya. Logam titanium ini adalah begitu istemewa sekali di mana ianya tidak memberikan kesan sampingan kepada badan dan tulang pesakit akan melekat secara terus kepada permukaan bahan ini (osseointegration) (1).

Pilihan Alternatif Kepada Implan Pergigian

  1. Jambatan pergigian
     
    Jambatan pergigian 3-unit.
     
  2. Dentur (Gigi palsu boleh tanggal)
     
    Dentur sebahagian – Jenis
     

    Dentur penuh – Jenis akrilik

Mengapa Implan Pergigian?

Implan pergigian telah melalui banyak penambahbaikan sejak kali pertama ianya digunakan secara klinikal pada tahun 1965 berikutan kejayaan osseointegration (osseo – tulang, integration – lekatan) yang telah ditunjukkan oleh Professor Per-Ingvar Brånemark dalam tahun 1952 (2). Sejak itu, kajian saintifik telah dijalankan secara meluas di seluruh dunia bagi mempertingkatkan lagi penambahbaikan kepada implan pergigian ini sehingga sekarang.

Prostesis implan pergigian ini telah diterima secara meluas oleh masyarakat disebabkan oleh keupayaanya untuk bercantum dengan tisu tulang, walaupun kosnya adalah lebih mahal. Ini adalah kerana secara psikologinya, pesakit akan merasakan prostesis ini adalah sebahagian daripada bahagian badan mereka.

Secara fungsinya, prestasi prostesis implan pergigian ini jauh melebihi prostesis konvensional jenis tetap yang lain seperti jambatan pergigian. Peletakan implan pergigian tidak mengganggu gigi-gigi yang berdekatan manakala prostesis tetap yang lain memerlukan pemotongan atau penyediaan gigi yang bersebelahan. Prostesis boleh tanggal seperti dentur/gigi palsu biasanya tidak begitu retentif. Implan pergigian boleh digunakan sebagai penambat bagi melekatkan prostesis ini.

Dari segi penjagaan, pembersihan implan pergigian adalah lebih mudah berbanding dengan prostesis jenis tetap yang lain kerana ianya berdiri secara terasing daripada gigi berdekatan, seperti gigi asli yang lain.


Implant retained full dentures.
Courtesy: http://www.boiseprosthodontics.com/

 

Peletakan 3 unit implant pergigian secara individu.
   
 

Padanan antara-muka yang baik di antara tulang dan implan pergigian.
   
 

Prostesis akhir.
   

Faktor-faktor pertimbangan

Walaupun kelebihan implan pergigian jauh melebihi prostesis pergigian yang lain, terdapat faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan bagi menentukan kejayaan jangka panjangnya. Faktor-faktor ini menentukan samada implan pergigian adalah pilihan yang sesuai atau pun sebaliknya.

  1. Kesihatan umum

    Kesihatan yang baik adalah pilihan terbaik untuk pemilihan kes. Penyakit-penyakit yang tidak dikawal dengan baik seperti kencing manis (diabetis), tekanan darah tinggi (hipertensi) dan penyakit berkaitan jantung tidak memungkinkan (kontraindikasi) pilihan implan pergigian sehinggalah ianya dikawal terlebih dahulu. Ini kerana, peletakan implan pergigian memerlukan prosedur pembedahan yang mana penyakit-penyakit ini akan memberi kesan kepada prosedur tersebut dan proses penyembuhan selepas itu.

    Penghidap penyakit tulang metabolik seperti osteoporosis dan osteopetrosis mungkin tidak sesuai untuk prostesis implan pergigian. Penyakit ini memudaratkan penyembuhan tulang dan tulang yang ada tidak mampu untuk memberikan sokongan yang baik kepada implan pergigian. Sesetengah jenis kumpulan ubat seperti bisphosphonates yang digunakan untuk merawat penyakit osteoporosis, tidak memungkinkan peletakan prostesis ini. Penggunaan ubat jenis ini dikaitkan dengan satu keadaan kerosakan gusi iaitu osteonekrosis tulang rahang berkaitan bisphosphonate atau BRONJ (Bisphosphonate Related Osteonecrosis of the Jaw) (3). Rawatan implan pergigian mungkin boleh dipertimbangkan semula selepas ubat-ubat ini dihentikan pengambilannya.

     

     

    BRONJ pada tulang rahang atas akibat daripada penggunaan ubat alendronate (sejenis ubat bisphosphonate) bagi merawat osteoporosis.
    Ihsan: http://www.hindawi.com/
    Peningkatan kegagalan implan pergigian dapat diperhatikan dalam kes di mana tulang rahang menerima rawatan sinaran radiasi (radioterapi) (4). Pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi biasanya tidak sesuai dipilih. Pesakit yang mengalami masalah pendarahan atau sedang menjalani terapi antikoagulan perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan sebelum meneruskan dengan rawatan implan pergigian (4). Alahan kepada bahan titanium adalah kontraindikasi mutlak terhadap implan pergigian.

  2. Umur

    Pesakit yang berumur lanjut pada dasarnya bukanlah tidak sesuai untuk rawatan implan pergigian (4) tetapi mereka perlulah dipastikan bebas daripada penyakit terutamanya penyakit berkaitan dengan penuaan. Dalam keadaan lain pula, pesakit yang terlalu muda pula tidak sesuai dipilih sehinggalah tumbesaran mereka berhenti.

  3. Keadaan tulang alveolus (gusi)

    Dimensi tulang gusi serta ketebalan gusi menentukan pemilihan implan pergigian. Ketebalan serta tinggi yang mencukupi adalah diperlukan untuk rawatan ini. Walau bagamana pun, dimensi tulang gusi boleh diubah suai dengan melakukan pembedahan tambahan seperti sinus lift, bone augmentation atau distraction osteogenesis sebelum peletakan implan pergigian. Prosedur ini membolehkan peletakan implan pergigian dapat dijalankan.

  4. Kos

    Kos untuk satu unit implan pergigian adalah lebih dari prostesis-prostesis pergigian yang lain seperti dentur atau jambatan pergigian. Pada masa sekarang terdapat sejenis implan pergigian yang dipanggil implan pergigian mini (mini dental implant) yang sepertimana namanya, adalah kecil sahaja saiznya, mungkin melibatkan kos yang jauh lebih kecil berbanding kos untuk implan pergigian konvensional. Walau bagaimana pun, implan pergigian jenis ini mempunyai indikasi yang terhad sahaja dan dalam sesetengah aspek, penggunaannya adalah kontroversial.

  5. Kebersihan mulut

    Kebersihan mulut atau higin mulut memainkan peranan yang amat penting dalam mentukan kejayaan sesuatu prostesis. Sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga, kemungkinan besar implan pergigian tidak akan bertahan lama kerana penyakit “peri-implantitis” boleh berlaku menyebabkan keradangan gusi dan seterusnya kehilangan tulang disekeliling implan pergigian. Memandangkan banyak pelaburan telah dibuat oleh pesakit, kebersihan mulut yang baik perlu dipastikan sebelum rawatan implan pergigian dimulakan bagi mengelakkan kejadian ini. Kebolehan untuk menjaga kebersihan mulut juga perlu diambil perhatian dalam penilaian kesesuaian untuk implan. Ini kerana bagi pesakit yang tidak mempunyai ketangkasan yang baik seperti kerencatan akal atau kecacatan fizikal, bukanlah calon yang sesuai untuk rawatan implan pergigian melainkan penjaganya yang terdekat berupaya memainkan peranan yang baik dalam menjaga kebersihan mulutnya.

  6. Tabiat
    1. Merokok

      Perokok tegar bukanlah calon yang sesuai malahan jika digabungkan dengan faktor-faktor risiko lain yang dia mungkin ada, ianya mungkin satu kontraindikasi (4).

    2. Tabiat parafungsi

      Bruxism adalah sejenis tabiat mengetam gigi dengan kuat dan ianya boleh menyebabkan kegagalan implan pergigian. Dengan itu, keadaan ini perlu dirawat terlebih dahulu atau pun peletakan implan pergigian ini dilakukan dengan berhati-hati di kawasan yang daya pengunyahannya adalah minima.

Sebagai kesimpulan, walau pun implan pergigian secara keseluruhannya adalah jauh lebih baik berbanding dengan prostesis-prostesis pergigian yang lain, ianya bukanlah tanpa melibatkan komplikasi. Dengan itu, pemilihan kes dan perancangan rawatan yang betul adalah amat penting dalam memastikan kejayaannya.

Rujukan

  1. http://www.osseo.org/NEWwhatIsDentalImplant.html. [Online]
  2. http://dentalimplants-usa.com/treatment/implants/history.html. [Online]
  3. http://www.aaoms.org/conditions-and-treatments/bronj/. [Online]
  4. Mark Ayson, Jonathan Leichter and Karl Lyons. http://www.acc.co.nz/PRD_EXT_CSMP/groups/external_providers/documents/reports_results/wpc090453.pdf. [Online]

 

Semakan Akhir : 18 September 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Alauddin b. Muhamad Husin
Akreditor : Dr. Kok Tuck Choon

 

 

Artikel Berkaitan

Memberus Gigi

Memberus gigi boleh membersihkan sisa makanan dan plak dari permukaan gigi. Ia juga merupakan salah satu cara untuk menyapu fluorida yang kepada bahagian gigi.

Rawatan Pergigian Di Rumah – Boleh Atau Tidak?

Tidak ramai yang tahu terdapat rawatan pergigian tertentu yang boleh dilakukan di rumah pesakit tanpa perlu ke klinik pergigian. Antara persoalan yang mungkin diajukan ialah bagaimana ianya dilakukan, apakah rawatan yang bersesuaian dan siapakah yang layak untuk menerima rawatan tersebut?

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,660

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia