Pupuk amalan makan secara sihat sejak anak kecil lagi.Berikan anak anda makanan yang berkhasiat mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia. Piramid Makanan menekankan pengambilan pelbagai jenis makanan yang dapat membantu kanak-kanak memperolehi semua nutrien yang diperlukan. Pilih gabungan makanan harian berpandukan saranan Piramid Makanan Malaysia:
Kumpulan 1: Nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin serta ubi-ubian
Kumpulan ini adalah sumber paling baik untuk karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada mereka. Ia juga mengandungi vitamin, mineral dan serat . Nasi, mi, roti, pasta, bubur, capati dan biskut adalah makanan daripada kumpulan ini.
Kumpulan 2: Buah-buahan dan sayur-sayuran
Kumpulan ini membekalkan vitamin, mineral dan serat yang dapat membantu mencegah jangkitan penyakit dan mengelakkan sembelit.
Kumpulan 3: Ikan, ayam, daging, telur dan kekacang
Makanan dalam kumpulan ini membekalkan protein, vitamin B dan mineral. Ia diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak.
Kumpulan 4: Susu dan produk tenusu
Makanan daripada kumpulan ini kaya dengan kalsium dan protein. Ia diperlukan untuk membina tulang dan gigi. Pastikan kanak-kanak minum susu setiap hari.
Kumpulan 5: Lemak, minyak, gula dan garam
Pastikan kanak-kanak mengurangkan pengambilan makanan daripada kumpulan ini.