Pengenalan
Ubat-ubatan seringkali disalah anggap oleh kanak-kanak sebagai gula-gula. Manakan tidak, bentuk dan warna ubat yang menarik serta sifat ingin tahu boleh mendorong kanak-kanak untuk mengambil ubat tersebut secara tidak sengaja. Akibatnya, kanak-kanak boleh mengalami kesan keracunan oleh sebab pengambilan ubat-ubatan yang tidak sesuai.
Menurut World Health Organization (WHO), kes keracunan telah menyebabkan kematian lebih 45,000 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 20 tahun pada tahun 2004. Kebanyakan kes keracunan adalah disebabkan oleh bahan yang lazimnya ditemui di rumah seperti ubat-ubatan, racun serangga dan agen pembersih.
Keracunan Ubat-Ubatan Dalam Kalangan Kanak-Kanak
Terdapat ubat-ubatan untuk kegunaan orang dewasa yang tidak seharusnya diambil oleh kanak-kanak. Berikut disenaraikan beberapa contoh ubat-ubatan yang boleh memberi kesan keracunan terhadap kanak-kanak :
- Aspirin / Acetylsalicylic acid
- Ubat ini tidak boleh diambil oleh kanak-kanak berumur kurang daripada 16 tahun kerana boleh menyebabkan Reye’s Syndrome iaitu penyakit yang menyebabkan pembengkakan pada hati dan otak kanak-kanak.
- Tetracycline
- Ubat ini boleh menyebabkan gigi menjadi kekuningan dan mengganggu tumbesaran sekiranya diambil oleh kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
- Ubat antidiarrhea seperti kaolin, loperamide atau diphenoxylate
- Ubat ini boleh menyebabkan sembelit atau saluran usus tersumbat jika digunakan oleh kanak-kanak berumur bawah 6 tahun.
- Ubat batuk atau ubat selesema seperti chlorpheniramine atau pseudoephedrine
- Ubat-ubatan ini yang tidak boleh diambil oleh kanak-kanak berumur kurang 2 tahun dan hanya boleh diambil oleh kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun dengan pengawasan doktor.
- Sekiranya diambil tanpa pengawasan doktor, ia boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan mungkin membawa maut.
- Camphor
- Ubat ini boleh menyebabkan kekejangan jika digunakan oleh kanak-kanak berumur bawah 2 tahun.
Kefahaman Kanak-Kanak Mengikut Peringkat Umur
Pengurusan ubat-ubatan yang selamat adalah penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kes keracunan. Selain itu, pendidikan kepada kanak-kanak berkenaan ubat-ubatan adalah penting dan perlu bermula di rumah sejak kecil lagi.
Secara umumnya, kefahaman kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat umur. Justeru, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat-ubatan secara selamat. Berikut disenaraikan beberapa perkara penting yang perlu dinasihatkan kepada kanak-kanak berkaitan ubat-ubatan :
Peringkat UmurPerkara Yang Perlu DiketahuiTindakan Yang Perlu Diambil Oleh Kanak-Kanak1 – 3 Tahun - Ubat bukan gula-gula
- Tidak boleh ambil ubat sesuka hati
- Jangan masukkan ubat dalam mulut
- Beri ubat itu pada mak atau ayah
4 – 6 Tahun - Hanya ambil ubat dengan kehadiran ibu bapa atau penjaga
- Tanya dahulu kepada mak atau ayah sebelum mengambil sebarang ubat.
7 – 9 Tahun - Hanya ambil ubat yang tertulis nama pesakit sahaja
- Pastikan ubat itu milik kamu, jangan ambil ubat orang lain
10 – 12 Tahun - Semua maklumat berkaitan ubat ada ditulis pada label ubat
- Sentiasa baca label ubat dengan teliti sebelum mengambil ubat
Tips Untuk Mengelakkan Kekeliruan Ubat Dan Gula-Gula
- Ketika memujuk anak mengambil ubat, elakkan merujuk ubat itu sebagai ‘gula-gula’.
- Sekiranya ibu bapa merujuk ubat itu sebagai ‘gula-gula’, mungkin sekadar boleh membantu ketika pemberian ubat sahaja. Walau bagaimanapun, perkara ini boleh memberi persepsi yang salah kepada kanak-kanak yang mana mereka berfikir ubat itu adalah gula-gula.
- Elakkan daripada mengambil ubat-ubatan di hadapan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 4 tahun.
- Kanak-kanak yang berumur kurang 4 tahun selalunya akan meniru kelakuan ibu bapa dan mungkin mengambil ubat-ubatan tanpa disedari oleh ibu bapa.
- Simpan ubat-ubatan dalam bekas yang berasingan, jauh daripada tempat menyimpan makanan.
- Sebaik-baiknya simpan ubat-ubatan dalam bekas yang mempunyai penutup yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak (child-proof cap) serta dilabel dengan jelas.
Penyimpanan Ubat Yang Selamat
- Simpan ubat-ubatan dalam bekas asal agar boleh sentiasa merujuk pada label ubat.
- Elakkan daripada menyimpan dalam kotak pil kerana ia mudah dibuka oleh kanak-kanak.
- Tutup botol ubat dengan kemas setiap kali selepas mengambil ubat.
- Terus simpan ubat setiap kali selepas digunakan, jangan letakkan di atas meja atau di merata-rata tempat.
- Simpan ubat di tempat yang tinggi agar tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Rujukan
- Drug Registration Guidance Document by National Pharmaceutical Control Bureau, 1st Edition (January 2013)
- MIMS Gateway Service Portal
- WHO : http://www.who.int/violence_injury_prevention/child/injury/world_report/Poisoning_ english.pdf
- WebMD : http://www.webmd.com/children/news/20111017/kids-and-grownups-can-mistake-candy-for-medicine
- USFDA : Teaching your children how to use medicine safely (http://www.fda.gov/Drugs/ResourcesForYou/Consumers/BuyingUsingMedicineSafely/UnderstandingOver-the-CounterMedicines/ucm094876.htm
Semakan Akhir : 15 September 2016 Penulis : Hazlin bt. Othman Akreditor : Munira bt. Muhammad