A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Terapi Bahasa & Pertuturan
  6. /
  7. Atasi Gagap Dengan Teknologi

Atasi Gagap Dengan Teknologi

Walaupun penggunaan teknologi untuk mengatasi kegagapan telah berlaku selama lebih sedekad, kajian berkenaan keberkesanan penggunaannya adalah terhad.

Kegagapan merupakan suatu kecelaruan pertuturan yang melibatkan anggaran 1% populasi seluruh dunia (Boyle, et al., 2011). Individu yang mengalami masalah kegagapan seringkali berhadapan kesukaran apabila perlu bertutur di dalam situasi yang memberi tekanan, contohnya berkomunikasi dengan orang atasan atau guru, membuat ucapan atau pembentangan umum, dan membuat panggilan telefon.

Rehabilitasi tradisional bagi masalah kegagapan melibatkan terapi pertuturan yang dijalankan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa yang bertauliah. Terapi kebiasaannya akan merangkumi latihan-latihan pertuturan untuk memperbaiki kelancaran dan juga strategi komunikasi bagi mengurangkan simptom-simptom kegagapan. Kaedah ini memerlukan komitmen yang tinggi dari pesakit dari segi masa dan usaha sebelum peningkatan dapat dilihat.

AAF, DAF, FAF?

Beberapa tahun kebelakangan ini, alat-alat elektronik bagi membantu mengatasi masalah kegagapan telah mula muncul di pasaran antarabangsa. Alat-alat tersebut menggunakan teknologi ‘Altered Auditory Feedback’ (AAF) di mana suara pesakit akan diperdengarkan semula kepada mereka sambil mereka bertutur. Teknologi ini menggunapakai fenomena choral effect” di mana penutur yang gagap dapat bercakap dengan lancar apabila bertutur bersama-sama dengan orang lain secara serentak.

Sesuatu alat itu akan memainkan semula suara pengguna yang telah diubahsuai, sama ada dilewatkan beberapa detik (‘Delayed Auditory Feedback, DAF), atau dengan kelangsingan suara yang telah diubah (‘Frequency Altered Feedback, FAF), bagi menghasilkan kesan yang sama seperti pengguna sedang bercakap serentak dengan seseorang.

Alat-alat elektronik berkenaan datang dalam pelbagai bentuk dan julat harga. Kebanyakan alat berharga di dalam lingkungan ribuan ringgit, malah belasan ribu ringgit, namun semenjak akhir-akhir ini beberapa aplikasi mudah alih atau perisian komputer yang mempunyai fungsi hampir serupa boleh didapati dengan harga yang lebih murah.

Alat elektronik berbentuk seakan-akan alat bantuan pendengaran digunakan secara meluas, sebagai contoh alat SpeechEasy. Alat ini menjadi pilihan ramai kerana lebih kecil, mudah dibawa dan sukar dilihat berbanding alat AAF yang menggunakan fon telinga atau kepala seperti SmallTalk. Berikut merupakan video penggunaan alat tersebut : https://www.youtube.com/watch?v=o5ABpy_p9Ek

Kawalselia Pertuturan

Selain teknologi AAF yang mudah alih, teknologi komputer yang membolehkan pengguna menyelia dan mengawal kadar pernafasan dan intonasi semasa bertutur juga dikatakan dapat membantu dalam mengurangkan kegagapan.

Mikrofon yang disambungkan pada komputer akan mengumpul maklumat berkenaan pertuturan pesakit dan maklumbalas akan dipaparkan pada skrin. Informasi yang diberikan termasuk kelantangan suara, kualiti suara, corak pernafasan, dan strategi penghasilan suara.

Maklumat tersebut dapat membantu dalam mengaplikasikan teknik pemanjangan pertuturan (‘prolonged speech’), suatu teknik terapi pertuturan yang melatih pesakit untuk memanjangkan penghasilan bunyi bagi mengelakkan berlakunya kegagapan. Penggunaan teknologi ini, seperti Dr. Fluency, sebagai contoh, tidak lagi digunakan pada hari ini memandangkan wujudnya aplikasi atau perisian telefon pintar atau tablet yang lebih baru dan mudah alih.

Beberapa perisian komputer yang rata-rata masih digunapakai pada hari ini adalah:

Teknologi ini membolehkan pengguna berlatih menggunakan teknik-teknik yang dipelajari dalam sesi terapi pertuturan di rumah sambil mengaplikasikan kesan “choral effect”. Walau bagaimanapun, penggunaannya adalah terhad di hadapan komputer sahaja.

Aplikasi Mudah Alih Anti-Kegagapan

Seiring dengan perkembangan masa kini, aplikasi DAF dan FAF juga telah dibangunkan sebagai aplikasi mudah alih bagi pengguna telefon pintar dan tablet. Terdapat pelbagai aplikasi di pasaran yang boleh dicuba untuk kedua-dua platform utama Android dan iOS, termasuk Easy AAF, Smarty Ears, DAF Assistant, Stuttering Help, dan Speech4Good.

Sesetengah aplikasi membolehkan pengguna membuat atau menjawab panggilan telefon sambil menggunakan kaedah DAF dan FAF serentak. Ini membolehkan individu yang mengalami kegagapan mengatasi masalah komunikasi yang sering dihadapi apabila perlu bercakap melalui telefon.

Selain kaedah DAF dan FAF, terdapat juga aplikasi yang membolehkan individu gagap melatih diri dengan menggunapakai kaedah terapi ‘Modifying Phonation Interval(MPI). Kaedah ini melatih mereka untuk memanjangkan kadar pertuturan di sesetengah bahagian pertuturan sahaja. Ini membolehkan cara pertuturan yang lebih semulajadi digunakan. Aplikasi ini juga membolehkan kaedah DAF dan FAF digunapakai bersama-sama dengan kaedah MPI, bagi memberikan hasil yang lebih efektif dalam jangkamasa panjang.

Berkesankah Teknologi Anti-Kegagapan?

Walaupun penggunaan teknologi untuk mengatasi kegagapan telah berlaku selama lebih sedekad, kajian berkenaan keberkesanan penggunaannya adalah terhad. Ini disebabkan kesan penggunaan alatan-alatan tersebut terlalu berbeza bagi setiap individu.

Sesetengah pengguna mendapat faedah yang memuaskan, dan sesetengah pengguna menghadapi pelbagai masalah seperti terganggu dengan bunyi bising yang dihasilkan, dan ketidakselesaan dengan pemakaian alat.

Sesetengah pengguna juga berpendapat alat-alat DAF dan FAF tidak membantu individu gagap yang mengalami sekatan perkataan atau ayat (“silent blocks”) kerana tiada bunyi yang dihasilkan. Kebanyakan pengguna menyatakan penggunaan alat DAF dan FAF memberi impak sementara dan tidak membantu dalam mengurangkan perasaan gusar dan kerisauan iaitu aspek psikologi yang sering dialami.

Secara ringkas, penggunaan alat teknologi untuk mengatasi kegagapan bukanlah penyelesaian mudah bagi semua orang. Variasi pesakit dari segi keterukan atau tahap dan ciri-ciri kegagapan yang dialami serta juga kepelbagaian individu akan menentukan keberkesanan penggunaan masing-masing.

Kaedah terbaik yang boleh dilakukan adalah mencuba sesuatu alat atau aplikasi yang disediakan secara percubaan atau percuma sebelum berbelanja untuk mana-mana teknologi yang diperkenalkan kepada anda.

Rata-rata ahli profesional juga amat menyarankan supaya teknologi sedia ada digunakan secara seiring dengan terapi pertuturan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa yang bertauliah. Usaha untuk menjalani terapi pertuturan membolehkan pesakit untuk mempelajari teknik-teknik mengatasi kegagapan yang mampu memberi kesan jangka panjang. Mereka juga boleh mendapatkan tips-tips komunikasi atau pertuturan yang boleh mengurangkan ciri-ciri sampingan kegagapan seperti kerisauan atau kesan psikologi yang lain.

Rujukan

  1. AAF Apps and Software; peroleh Ogos 17, 2015 dari  http://www.stammering.org/help-information/topics/therapy-treatment/electronic-devices-and-apps/aaf-apps-and-software
  2. Boyle C, Boulet S, Schieve L, Cohen R, Blumberg S, Yeargin-Allsopp M, Visser S, Kogan M. Trends in the Prevalence of Developmental Disabilities in US Children, 1997–2008. Pediatrics. 2011;34:385–395.
  3. Electronic Devices and Stuttering Treatment; peroleh Ogos 18, 2015 dari   http://www.mnsu.edu/comdis/kuster/TherapyWWW/dafjanus.html
  4. Electronic Devices, Software, and Apps; peroleh Ogos 17, 2015 dari http://www.stutteringhelp.org/electronic-devices-software-and-apps
  5. Ward, David (2006). Stuttering and Cluttering: Frameworks for understanding treatment. Hove and New York: Psychology Press.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Siti Suhana bt. Mohd Khalid
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Meiosis

Meiosis berlaku dalam ovari dan testis, di mana satu sel membahagi sebanyak dua kali bagi menghasilkan empat sel anak yang mengandungi separuh daripada maklumat genetik sel induk. Sel-sel ini adalah sel pembiakan di dalam manusia iaitu sperma bagi lelaki dan ovum bagi wanita.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,095

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia