A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Bagaimana Diagnosa Asma Di...

Bagaimana Diagnosa Asma Di Kalangan Dewasa Dilakukan? – Siasatan

Pengenalan

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas yang berepisod. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur. Siasatan awal untuk memastikan penyakit asma amat penting supaya rawatan awal dapat diberikan dan serangan asma dapat dielakkan. Asma yang lambat dikesan menyebabkan rawatan awal tertangguh, meningkatkan risiko komplikasi asma, risiko dimasukkan ke hospital atau serangan asma yang boleh mengancam nyawa.

Bagaimana diagnosa asma di kalangan dewasa dilakukan?

Diagnosa asma adalah berdasarkan :

  • Kehadiran gejala asma
  • Pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda asma, walau bagaimanapun tiada simptom semasa tiada serangan asma. Sesetengah pesakit mungkin ada kesan-kesan ekzema
  • Siasatan untuk diagnosa asma

Apakah siasatan untuk diagnosa asma?

Jika pesakit mengalami gejala asma buat kali pertama, doktor akan mendapatkan sejarah terperinci dan membuat pemeriksaan untuk mengesan asma dan melakukan ujian untuk mencari dan mengesahkan gejala bukan disebabkan oleh penyakit lain.

Siasatan bagi diagnosa dan menilai keterukan asma :

Ujian fungsi paru-paru

Terdapat beberapa ujian untuk menentukan berapa banyak udara masuk dan keluar apabila pesakit bernafas. Ujian fungsi paru-paru dilakukan sebelum dan selepas mengambil ubat secara sedutan yang mengembangkan saluran paru-paru (misalnya ubat Ventolin). Ujian tersebut adalah seperti berikut:

  • Spirometer
  • Alat ini digunakan untuk mendiagnos asma. Ia digunakan untuk mengukur berapa banyak dan berapa cepat udara dihembus keluar selepas pesakit menarik nafas dalam-dalam. Ujian ini dilakukan sebelum dan selepas pesakit mengambil ubat sedutan untuk menilai penambahbaikan saluran udara. Penambahan bacaan sebanyak 12-15% atau 200mls diperlukan untuk mendiagnos asma.

  • Meter aliran ekspiratori puncak (Peak expiratory flow mete (PEF))
  • Alat ini digunakan untuk mengukur kekuatan nafas dihembus keluar. Jika bacaan lebih rendah daripada bacaan aliran ekspiratori puncak normal (dibanding dengan normogram), paru-paru mungkin tidak berfungsi dengan baik dan asma boleh menjadi lebih teruk. Doktor akan memberi nasihat tentang cara menangani bacaan aliran ekspiratori puncak rendah. Meter aliran ekspiratori puncak juga mengukur kekuatan nafas dihembus keluar semasa serangan asma. PEF juga boleh digunakan untuk mengukur keberkesanan ubat asma. Misalnya, jika PEF meningkat bermakna kesan yang baik daripada pengubatan.

  • Nadi oksimeter (Pulse oxymeter)
  • Alat ini digunakan untuk mengukur jumlah oksigen di dalam aliran darah terutama semasa serangan asma akut. Alat ini dilekapkan ke jari tetapi tidak menyakitkan.

Ujian lain

Ujian lain mungkin dilakukan mendiagnos asma atau mendiagnose punca masalah pernafasan lain selain asma. Ujian tersebut termasuklah :

  • Ujian pengimejan dada
  • Ujian dilakukan untuk mencari komplikasi asma atau terdapatnya jangkitan paru-paru. Paru-paru dan rongga hidung diimbas menggunakan tomografi komputer beresolusi tinggi (HRCT) jika penyakit lain disyaki. Ujian HRCT tidak dilakukan secara rutin, untuk penyakit asma.

  • Elektrokardiogram ( ECG )
  • Ujian ini membantu untuk mengetahui sama ada gejala yang dialami disebabkan oleh penyakit lain (sebagai contoh penyakit jantung).

  • Ujian darah
  • Ujian ini tidak boleh mencari punca asma. Namun, darah diperiksa untuk menyiasat tanda-tanda jangkitan yang mungkin menyumbang kepada serangan asma. Bagi kes serangan asma yang teruk, sampel darah daripada pembuluh darah (arteri) diperlukan untuk menentukan kandungan oksigen dan karbon dioksida yang terdapat dalam badan pesakit.

Kesimpulan

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan gejala yang mengganggu aktiviti harian serta boleh menyebabkan kematian. Siasatan yang sesuai dan diagnosa awal dapat memastikan gejala segera dirawat agar komplikasi asma jangka pendek dan jangka panjang dihindari.

Walau bagaimanapun pesakit asma boleh menjalani kehidupan seperti biasa jika asma dikawal dengan baik.

Rujukan

  • Asthma and Allergy Foundation of America. Asthma overview – diagnosis. http://www.aafa.org/display.cfm?id=8&cont=7. Accessed May 6, 2013.
  • Global Strategy for Asthma Management and Prevention: Global Initiative for Asthma (GINA) (Updated 2012)
  • McPhee SJ, et al. Current Medical Diagnosis & Treatment 2012. 51st ed. New York, N.Y.: The McGraw-Hill Companies; 2012. http://www.accessmedicine.com/content.
    aspx?aID=2740. Accessed May 6, 2013.
  • Ministry Of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines For Management Of Adult Asthma 2002.
  • National Heart, Lung, and Blood Institute. What is asthma? http://www.nhlbi.nih.gov/health/ health-topics/topics/asthma/. Accessed May 6, 2013.
  • Parker MJ. Asthma. Otolaryngologic Clinics of North America. 2011;44:667.
  • Ronald B. George, Richard W. Light, Richard A. Matthay, Michael A. Matthay. Asthma. In Chest Medicine: Essentials Of Pulmonary And Critical Care Medicine May 2005, 5th edition.
Last Reviewed : 21 Mei 2015
Writer : Dr. Ho Bee Kiau
Translator : Noorhayati bt Kassim
Accreditor : Dr. Norhaya bt Mohd Razali

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,882

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia