Pengenalan
Produk kosmetik, bukan sahaja merujuk kepada produk alat solek atau pewangi, tetapi turut merangkumi kategori produk yang lebih luas seperti produk penjagaan kulit, gigi, rambut, produk mandian dan sebagainya. Secara umum, produk kosmetik bermaksud sebarang bahan atau sediaan untuk digunakan pada bahagian luaran badan manusia (seperti kulit, rambut, kuku, bibir, bahagian luaran organ genital), atau gigi dan membran mukosa di dalam rongga mulut, dengan tujuan untuk membersih, mewangi, mengubah penampilan, dan/atau menghilangkan bau badan, dan/atau melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik.
Pada era moden ini, hampir semua orang menggunakan produk kosmetik. Penggunaan produk kosmetik seolah-olah menjadi satu kebiasaan dan keperluan dalam kehidupan harian orang ramai yang semakin mementingkan penampilan diri. Selain daripada mengubah penampilan dari segi fizikal, produk kosmetik juga memberi impak dari aspek psikologi seperti meningkatkan keyakinan diri seseorang dan tanggapan seseorang individu terhadap individu lain.
Bahan-bahan yang Terkandung Dalam Produk Kosmetik
Produk kosmetik mengandungi pelbagai bahan yang boleh dikelaskan sebagai bahan semulajadi dan bahan sintetik. Formulasi suatu produk kosmetik boleh terdiri daripada samada campuran bahan sintetik dan bahan semulajadi, bahan-bahan sintetik atau bahan-bahan semulajadi sahaja. Secara umum, bahan semulajadi merupakan bahan yang berasaskan sumber tumbuhan, haiwan atau mineral tanpa mengalami sebarang proses kimia atau tidak mengandungi sebarang sebatian kimia. Ia biasanya ditambah ke dalam suatu produk kosmetik dan berfungsi sebagai bahan utama dalam produk tersebut. Manakala, bahan sintetik pula merupakan bahan yang dihasilkan melalui tindak balas kimia, atau bahan yang berasal daripada sumber semulajadi yang telah diubah secara kimia.
Kawalan Regulatori untuk Penggunaan Bahan Semulajadi dalam Produk Kosmetik
Di Malaysia, semua produk kosmetik perlu bernotifikasi dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum produk kosmetik tersebut boleh dipasarkan. Setiap bahan, samada bahan semulajadi atau sintetik dalam notifikasi produk kosmetik yang dikemukakan kepada NPRA akan disaring secara automatik oleh sistem atau disemak secara lanjut oleh pegawai NPRA.
Secara umum, kebanyakan bahan semulajadi adalah bebas digunakan di dalam produk kosmetik. tanpa had dan syarat. Contoh bahan semulajadi yang dibenarkan dan sering digunakan dalam produk kosmetik adalah seperti ekstrak lidah buaya (aloe vera), ekstrak panax ginseng, ekstrak tea tree, minyak lavender dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebahagian bahan semulajadi yang merupakan bahan terlarang dalam produk kosmetik seperti ekstrak ganja (cannabis), minyak Lippia Citriodora, ekstrak placenta manusia dan sebagainya. Oleh itu, jika notifikasi produk kosmetik yang dikemukakan kepada NPRA mengandungi bahan-bahan terlarang tersebut, maka notifikasi produk kosmetik akan ditolak dan produk kosmetik tersebut tidak dibenarkan untuk dipasarkan.
Isu-isu Penggunaan Bahan Semulajadi Dalam Produk Kosmetik
- Isu keselamatan
Kini, penggunaan produk kosmetik yang berunsurkan bahan semulajadi semakin digemari dan popular di kalangan pengguna. Ini adalah kerana ramai pengguna beranggapan atau mempercayai bahawa produk kosmetik sebegini adalah lebih selamat dan kurang atau tiada sebarang kesan sampingan berbanding dengan produk kosmetik yang mengandungi bahan sintetik. Disebabkan ramai pengguna berfikiran bahawa ‘bahan semulajadi menjamin keselamatan’, maka telah menjadi satu trend pengilang-pengilang produk kosmetik berusaha untuk menggantikan bahan-bahan sintetik dengan bahan-bahan semulajadi dalam penghasilan produk kosmetik bagi memenuhi kehendak pengguna.
Jadi, adakah produk kosmetik yang mengandungi bahan semulajadi lebih selamat dan merupakan pilihan yang lebih baik? Ia tidak semestinya. Bukan semua pengguna sesuai dengan produk kosmetik semulajadi terutamanya pengguna yang berkulit sensitif. Ini adalah kerana terdapat bahan semulajadi seperti minyak pati yang berasaskan tumbuhan mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan dan irritasi pada kulit seperti gatal-gatal dan kepedihan terhadap sesetengah individu.
Pendek kata, semua bahan samada bahan-bahan semulajadi atau sintetik ada kebaikan dan keburukannya. Semua produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan tersebut tidak terkecuali daripada penilaian keselamatan ke atas kesihatan manusia secara menyeluruh seperti yang telah ditetapkan dalam keperluan dan peraturan kosmetik di Malaysia bagi memastikan keselamatan produk kosmetik.
- Isu tuntutan pada label produk kosmetik
Pasaran untuk produk kosmetik yang diformulasikan dengan bahan semulajadi semakin berkembang kerana pengguna sekarang cuba mengelakkan daripada mengguna bahan sintetik yang dianggap boleh memudaratkan kesihatan. Ini mendorong pihak syarikat dan pengilang mengambil kesempatan untuk mempromosikan produk kosmetik mereka sebagai produk semulajadi. Contoh tuntutan-tuntutan yang sering dibuat pada label produk kosmetik yang berunsurkan bahan semulajadi adalah seperti beikut:
- Tidak mengandungi bahan kimia
- 100% semulajadi
- Tidak mempunyai kesan sampingan
- Selamat digunakan
- Dijamin selamat
- Produk semulajadi
Kebanyakkan tuntutan seperti di atas adalah tidak berasas, tidak tepat dan sering mengelirukan pengguna. Ini semata-mata merupakan suatu taktik pemasaran pihak syarikat dan pengilang untuk menarik minat dan menimbulkan keinginan pengguna untuk membeli produk kosmetik tersebut. Kebanyakan produk kosmetik yang dilabelkan dengan tuntutan-tuntutan tersebut tidak memenuhi standard dan menggambarkan kualiti sebenar produk tersebut. Sebagai contoh, terdapat produk kosmetik di pasaran yang dilabelkan dengan tuntutan ‘100% semulajadi’, tetapi pada hakikatnya hanya mengandungi peratus bahan semulajadi yang rendah sahaja atau dicampurkan juga dengan bahan sintetik.
Oleh itu, harus diingat bahawa dengan nama atau label suatu produk kosmetik yang dinyatakan sebagai semulajadi tidak semestinya bermaksud semua kandungan bahan di dalam produk kosmetik tersebut adalah terdiri daripada bahan semulajadi atau keselamatan dijamin. Kandungan bahan yang dinyatakan pada label produk kosmetik perlu dibaca dengan teliti atau maklumat pada label perlu dikaji dengan lebih lanjut untuk menentukan kesahihan.
Nasihat kepada Pengguna
Kandungan bahan di dalam produk kosmetik yang berada di pasaran masih dimonopolikan oleh bahan-bahan sintetik. Namun, pengguna diingatkan bahawa bukan semua bahan semulajadi adalah selamat dan berkesan, dan bukan semua bahan sintetik akan mendatangkan kesan yang buruk. Pengguna dinasihatkan supaya bersikap lebih rasional dan prihatin dalam memilih produk kosmetik yang dilabelkan sebagai ‘semulajadi’.
Pengguna juga disarankan supaya sentiasa membaca, meneliti dan menilai maklumat seperti kandungan bahan, tuntutan dan amaran yang dinyatakan pada label produk kosmetik. Ini adalah penting untuk mengenalpasti produk kosmetik tersebut memenuhi pengertian semulajadi yang sepatutnya dan bukan sekadar nama produk sahaja yang bermaksud semulajadi.
Kesesuaian suatu produk kosmetik pada kulit adalah berbeza daripada satu individu dengan individu yang lain. Oleh itu, pengguna harus bijak memilih produk kosmetik yang paling bersesuaian dengan keadaan kulit sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain, testimoni atau informasi yang diiklankan pada media sosial.
NPRA membuat pemantauan secara berterusan ke atas produk kosmetik melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi untuk memastikan produk kosmetik bernotifikasi di pasaran mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan. Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi pihak NPRA melalui emel kosmetik@bpfk.gov.my sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan dengan keselamatan dan kualiti produk kosmetik, mengalami kesan sampingan atau kesan alahan akibat penggunaan sesuatu produk kosmetik.
Rujukan
- Bray, K. (2015, August 5). Natural and Organic Cosmetics. Retrieved from: https://www.choice.com.au/health-and-body/beauty-and-personal-care/skin-care-and-cosmetics/articles/natural-and-organic-cosmetics
- Organic and Natural Products. Retrieved from: https://www.cosmeticseurope.eu/safety-and-science-cosmetics-europe/products-and-ingredients/organic-and-natural-products-.html
- Kosmetik Semulajadi dan Konfrontasi Pendapat Mengenainya. (2015, September 10). Retrieved from:https://www.cosmeticseurope.eu/safety-and-science-cosmetics-europe/products-and ingredients/organic-and-natural-products-.html
- Misleading “Natural” Claims. (2010, February 4). Retrieved from: http://www.naturalcosmeticnews.com/focus/misleading-natural-claims/
- Making Sense of the Natural vs Synthetic Debate: The Acceptability of Synthetic Ingredients in Cosmetics. (2012) Retrieved from: http://www.organicmakeup.ca/ca/NaturalSyntheticCosmetics.asp
- Natural and Synthetic Ingredients. Retrieved from: http://www.scoutcosmetics.com/cosmetics-blog/natural-and-synthetic-ingredients/
Semakan Akhir | : | 08 September 2016 |
Penulis | : | Ong Jia Lin |
Akreditor | : | Zuraida bt. Abdullah |