Pengenalan
Penggunaan kanta lekap amat popular dan menjadi trend pada masa kini. Jika dahulu, kanta lekap digunakan sebagai alternatif untuk menggantikan penggunaan cermin mata bagi membetulkan penglihatan yang rabun. Namun, seiring dengan kemajuan teknologi kini, kanta lekap sudah berubah fungsinya. Kewujudan kanta lekap berwarna (kosmetik) amat digemari terutama oleh remaja yang masih bersekolah kerana harganya yang murah dan senang diperoleh. Pelbagai warna dan corak di pasaran juga menarik minat remaja untuk tampil cantik dan menawan. Permintaan yang tinggi menyebabkan kanta lekap berwarna (kosmetik) ini dijual tanpa kawalan oleh agen tidak berdaftar (pengamal yang tidak bertauliah) seperti di pasar malam, kedai runcit, pusat kecantikan dan laman sosial (dalam talian). Mengikut Akta Optik 1991, kanta lekap hanya boleh dipreskripsi, didispens dan dijual oleh pengamal bertauliah yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia.
Kanta lekap untuk betulkan rabun | Kanta lekap warna (kosmetik) |
Siapakah Yang Dimaksudkan Sebagai Pegamal Bertauliah
Di Malaysia, preskripsi dan penjualan kanta lekap adalah tertakluk di bawah Akta Optik 1991. Amalan preskripsi, dispensari dan penjualan kanta lekap kepada pengguna dilakukan oleh pengamal bertauliah iaitu i) Optometris Berdaftar Semua Optometris berdaftar boleh mempreskripsi, mendispens dan menjual kanta lekap (tidak memerlukan Permit Kanta Lekap). ii) Juruoptik Berdaftar dengan Permit Kanta Lekap Hanya sebahagian Juruoptik boleh mempreskripsi, mendispens dan menjual kanta lekap kepada pengguna. Mereka adalah Juruoptik berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia yang telah diberi Sijil Kebenaran mempreskripsi dan mendispens kanta lekap (Permit Kanta Lekap). Penjualan kanta lekap oleh agen yang tidak berdaftar dan tidak bertauliah seperti di pasar malam, kedai runcit, pusat kecantikan dan laman sosial/dalam talian adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Adakah Kanta Lekap Selamat Digunakan?
Adalah tidak menjadi kesalahan untuk memakai kanta lekap bagi mengatasi masalah kerabunan atau untuk tujuan kosmetik, tetapi pastikan kanta lekap itu dipreskripsi oleh Optometris atau Juruoptik berdaftar kerana mereka akan melakukan pemeriksaan bagi :
- Menilai kesesuaian mata pengguna dengan pemakaian kanta lekap.
- Optometris akan melakukan pemeriksaan kesihatan pada bahagian depan mata iaitu kornea, kelopak mata dan kualiti air mata.
- Memastikan pemasangan kanta lekap yang sesuai.
- Melakukan pengukuran tahap penglihatan, kuasa mata dan kelengkungan kornea bagi menentukan jenis dan saiz kanta lekap yang sesuai.
- Memberi khidmat nasihat yang betul mengenai pemakaian dan penjagaan kanta sentuh serta komplikasi yang mungkin timbul.
- Merancang rawatan susulan secara berkala bagi mengekalkan tahap kesihatan mata.
Bahaya penggunaan kanta lekap daripada agen tidak berdaftar (pengamal tidak bertauliah)
Menurut Majlis Optik Malaysia dalam The Star online bertarikh 8/2/2015, dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya seorang pengguna kanta lekap mengalami kebutaan disebabkan oleh masalah jangkitan kuman. Perkara ini berlaku kerana kurangnya kesedaran mengenai penggunaan kanta lekap di kalangan pengguna. Keinginan yang tinggi untuk kelihatan cantik menyebabkan pengguna mudah terpengaruh untuk memiliki kanta lekap tanpa mengambil tahu akan cara pemakaian, penjagaan kanta lekap dan risiko yang boleh berlaku. Antara penyebab utama yang menyumbang kepada komplikasi kanta lekap ialah :
- Tidak menitik beratkan
- Memakai kanta lekap melebihi tempoh pemakaian yang ditetapkan iaitu 8 jam sehari.
- Tidur tanpa menanggalkan kanta lekap.
- Tidak menggunakan sistem larutan pencuci, rendaman dan bilasan yang betul .
- Tidak mengetahui teknik pemakaian kanta lekap yang betul.
- Berkongsi kanta lekap dengan orang lain.
- Menggunakan kanta lekap melebihi tempoh tarikh luput.
- Masih meneruskan pemakaian kanta lekap walaupun mengalami simptom mata merah.
- Tidak selesa dan kabur penglihatan.
- Tidak melakukan pemeriksaan mata secara berkala.
Kebanyakan kanta lekap yang dijual oleh pengamal tidak bertauliah tidak memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan. Oleh yang demikian, kanta lekap yang dijual dianggap tidak selamat kerana saiz dan bahan yang digunakan mungkin tidak bersesuaian dan boleh menyebabkan pemasangan kanta lekap (fitting) menjadi tidak optimum. Kebiasaannya, pengguna kanta lekap tidak di beritahu tentang arahan penggunaan yang meliputi cara pemakaian, penjagaan dan tempoh pemakaian yang betul. Kurangnya kesedaran dan pengetahuan di kalangan pengguna menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyalahgunaan kanta lekap. Antara masalah yang boleh berlaku ialah mata menjadi merah, sakit, kabur penglihatan, alahan pada kelopak mata dan jangkitan kuman seperti ulser kornea yang boleh mengakibatkan kebutaan.
Metro Online bertarikh 23/8/2012 | Ulser kornea | Alahan pada kelopak mata |
Program Kesedaran Penggunaan Kanta Lekap
Kanta lekap adalah selamat dan efektif digunakan sekiranya pengguna mematuhi arahan penggunaan kanta lekap yang betul. Oleh itu pengguna kanta lekap perlu dididik dan didedahkan tentang penggunaan kanta lekap yang betul melalui program berikut seperti :
- Program kesedaran penggunaan kanta lekap melalui media massa seperti radio, televisyen, internet, majalah, surat khabar, iklan dan risalah.
- Program ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang bahaya penggunaan kanta lekap daripada pengamal tidak bertauliah.
- Program seminar anjuran pembekal kanta lekap
Sehubungan itu, individu yang ingin menggunakan kanta lekap, sama ada untuk membetulkan penglihatan atau kosmetik, perlu mendapatkan nasihat dan menjalani pemeriksaan mata dengan pengamal bertauliah. Pembelian kanta lekap daripada penjual dan jenama yang tidak diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia amatlah tidak digalakkan.
Rujukan
- Bahana kanta lekap, Prof Dr Muhaya, Harian Metro , Mac 2015
- http://says.com/my/news/cheap-contact-lens-from-pasar-malam-and-online-shops-could-mak e-you-go-blind
- http://www2.hmetro.com.my/articles/Belidaripadapenjualbertauliah/Article
- http://www.wanista.com/info-kesihatan-info-tentang-kanta-lekap-yang-perlu-anda-ketahui/
- https://www.youtube.com/watch?v=qtSnwt0BYWM
- Kanta lekap,Bukan sekadar cantik, Majlis Optik Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia
Semakan Akhir | : | 31 Mac 2017 |
Penulis | : | Pn. Noor Maziah Binti Mohd Zain |
Akreditor | : | Pn. Nor Azizah Binti Ismail |