Pengenalan
Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang berkhidmat di setiap hospital Kerajaan berperanan besar dalam membantu pesakit-pesakit miskin/ kurang berkemampuan mendapatkan bantuan biopsikososial. Bantuan biopsikososial mampu membantu pesakit mengembalikan kefungsian sosial dan membolehkan mereka kembali ke dalam masyarakat selari dengan batas keupayaan mereka yang diakibatkan oleh penyakit yang dialaminya. Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang utama adalah memberikan bantuan praktik dan bantuan terapi sokongan. Bantuan praktik adalah berbentuk bantuan bagi rawatan, ubatan, peralatan perubatan, prosthesis, perancangan discaj, bantuan tambang untuk mendapatkan rawatan dan sebagainya. Bagi terapi sokongan, melibatkan kes-kes ibu tanpa nikah, penderaan kanak-kanak, perkosaan, keganasan rumah tanggga, perancangan discaj,penyakit kronik dan sebagainya.
Bantuan kepada pesakit jantung adalah antara bantuan praktik dan bantuan terapi sokongan yang diberikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan kepada pesakit. Bantuan praktik akan dihuraikan dengan lebih lanjut di bawah nanti. Bagi terapi sokongan, Pegawai Kerja Sosial Perubatan berperanan memberi sokongan emosi kepada pesakit dan waris pesakit dengan memberi khidmat nasihat tentang penyakit yang dialaminya, sedikit mengenai rawatan, cara untuk membuat permohonan bantuan dan sebagainya.
Kriteria Pesakit Yang Layak Menerima Bantuan
Pesakit yang layak mendapatkan bantuan dari Jabatan Kerja Sosial Perubatan adalah:
- Warganegara Malaysia
- Pesakit Miskin / Kurang berkemampuan yang disokong oleh Pegawai Kerja Sosial
- Perubatan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Pesakit yang dirujuk oleh Pegawai Perubatan / Pakar dari hospital kerajaan sahaja
- Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
Jenis–Jenis Penyakit Jantung Yang Lazim Dirujuk
- Coronary Artery Disease – Penyakit koronari arteri
- Angioplasty – Angioplasti
- Myocardial Infarction – Serangan Jantung
- Heart Failure/Cardiomyopathy – Kegagalan jantung
- Congenital Heart Disease – Penyakit jantung kongenital
- Hyperthropic Obstructive Cardiomyopathy (HOCM / Complete Heart Block – ketebalan dinding injap jantung / sekatan jantung
- Abdominal Aortic Aneurysm (AAA) – anurism aorta
Jenis-Jenis Bantuan Peralatan Yang Diperlukan
- Coronary Artery Bypass Grafting (CABG) – Perlakuan Graf Pintasan Arteri Koronari
- Coronary Dilatation Balloon – Gelembung Pendilatan koronari
- Stenting
- Cardiac Resynchronization Theraphy-Defiblator (CRT-D)
- Pacemaker – perentak jantung
- Atrial Septal Occluder Device – Alat penyumbat septal atrium
- Prosthetic Valve – injap prostetik
Prosedur Mendapatkan Bantuan
- Pesakit hendaklah dirujuk oleh Pakar / Pegawai Perubatan dari hospital kerajaan.
- Pesakit akan ditemubual oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan bagi penilaian latar belakang sosio-ekonomi dan perkara yang berkaitan.
Dokumen Sokongan Yang Diperlukan
Berikut adalah senarai dokumen sokongan yang diperlukan bagi mempertimbangkan permohonan bantuan:
- Salinan kad pengenalan / surat daftar kelahiran (bagi kanak-kanak) yang jelas dan terang.
- Laporan doktor yang merawat. Laporan perlu menyatakan tentang pengesahan penyakit yang dihidapi, rawatan yang diterima, rawatan yang disyorkan, tempat dan anggaran kos rawatan. Laporan tersebut perlu mendapat pengesahan daripada Ketua Jabatan.
- Sebutharga bagi kos pembelian peralatan perubatan/ ubat yang disyorkan
- Laporan sosioekonomi (Borang B) yang disediakan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Salinan penyata gaji dan penyata KWSP terkini (bagi pemohon yang bekerja / pernah bekerja).
- Lain-lain dokumen sokongan yang diperlukan.
Sumber-Sumber Bantuan
- Tabung Bantuan Perubatan Malaysia (TBP) di bawah Kementeria Kesihatan Malaysia.
- Pusat Zakat / Majlis Agama Islam berdekatan.
- Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) di bawah kelolaan Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia.
- Lain-lain Badan Bukan Kerajaan.
Dimanakah Bantuan Diperolehi
Seseorang pesakit setelah didiagnosa mempunyai masalah jantung, maka pesakit akan dirujuk kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan hospital di tempat mereka mendapatkan rawatan. Sekiranya di hospital berkenaan tiada perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, maka pesakit akan dirujuk ke hospital yang berhampiran / hospital Negeri.
Borang Rujukan
- Borang Rujukan Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia
- Borang lampiran C–Perakuan / Pengesahan Pegawai / Pakar Perubatan
Sumber Rujukan
- Standard Operational Prosedur MSW (SOP PKSP)
- Anda Sihat Anda Bahagia – Dr. Harold Shryock
- Garispanduan Laporan Sosio-ekonomi Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan
Semakan Akhir | : | 16 Oktober 2017 |
Penulis | : | Pn. Nazrah Binti Hj. Bidin |
Akreditor | : | Tn. Ku Abdul Halip Bin Hj. Ku Yaakob |