Pengenalan
Dalam siasatan kematian, punca, mekanisma, dan cara kematian ditentukan melalui pemeriksaan bedah siasat. Hasil bedah siasat mayat memberikan banyak petunjuk berharga mengenai bagaimana dan mengapa seseorang meninggal dunia. Artikel ini memberi fokus khas kepada cara kematian.
Memahami Punca dan Mekanisme Kematian
Sebelum menentukan cara kematian, adalah penting untuk memahami punca dan mekanisme kematian. Punca kematian merujuk kepada penyakit atau kecederaan yang memulakan peristiwa yang mengakibatkan kematian, manakala mekanisma kematian merupakan kelainan fizikal yang disebabkan oleh punca kematian yang dikesan tidak kena dengan keadaan semasa hidupnya.
Sebagai contoh, pertimbangkan senario ini:
“Michael membakar rumah David. David menikamnya di dada. Michael meninggal dalam perjalanan ke hospital.”
Dalam kes ini, punca kematian adalah luka tusukan di dada, dan mekanisme kematian adalah kehilangan darah yang berlebihan.
‘Michael telah membakar rumah David. Pergaduhan berlaku dan David menikam dada Michael dengan sebilah pisau. Michael meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.’
Dalam kes senario ini, punca/sebab kematian Michael adalah luka tikaman pada bahagian dada dan mekanisma kematian yang terlibat ialah kehilangan darah yang banyak.
Cara kematian
Cara kematian adalah keadaan asas yang memulakan proses fisiologi yang mengakibatkan seseorang meninggal dunia. Jika seseorang meninggal dunia semata-mata disebabkan penyakit semulajadi, seperti kencing manis, cara kematian akan dikategorikan sebagai “semulajadi.” Namun, jika proses fisiologi yang menyebabkan kematian adalah hasil daripada kecederaan, maka cara kematian tidak lagi dikira semulajadi. Ia boleh dikategorikan sebagai kemalangan, bunuh diri, atau pembunuhan.
Sebagai contoh, pertimbangkan insiden di mana seorang pejalan kaki diserang oleh sebuah kenderaan dari belakang.
Jika ia berlaku secara tidak sengaja, disebabkan pemandu cuba mengelak dari lubang jalan, cara kematian akan dikategorikan sebagai “kemalangan.” Namun, jika pemandu dengan sengaja melanggar pejalan kaki selepas pertengkaran yang berlaku dengannya, cara kematian tersebut akan dikategorikan sebagai “pembunuhan,” kerana pemandu berniat untuk menyebabkan kecederaan dengan menggunakan keretanya.
Kategori Cara Kematian
Menurut Garis Panduan Penentuan Cara Kematian oleh Persatuan Pentadbir Koroner dan Pegawai Perubatan Illinois, cara kematian dikategorikan kepada lima kategori yang ditetapkan:
-
Semulajadi: Kematian disebabkan oleh gangguan atau kegagalan fungsi badan akibat penuaan atau penyakit (contohnya penyakit jantung iskemia, pneumonia).
Cara Kematian Semulajadi: Penyakit Kardiovaskular Hipertensif -
Kemalangan: Kematian berlaku akibat peristiwa di mana tiada niat untuk menyebabkan kecederaan atau kematian (contohnya kemalangan jalan raya, kematian berkaitan pekerjaan).
Cara Kematian Kemalangan: Kemalangan kenderaan bermotor -
Pembunuhan: Kematian seseorang disebabkan oleh tindakan individu lain yang bersandarkan kepada sesuatu motif sehingga menyebabkan pembunuhan (contohnya luka potong pada leher, banyak luka tusukan, cekik secara manual).
Cara Kematian Pembunuhan: Pembunuhan -
Bunuh Diri: Tindakan membunuh diri seseorang (contohnya gantung diri, terjun dari tempat tinggi, keracunan).
Cara Kematian Bunuh Diri: Keracunan Monoksida Karbon -
Tidak Diketahui: Apabila punca kematian tidak dapat ditentukan sama ada disebabkan oleh faktor semulajadi, kemalangan, bunuh diri, atau pembunuhan disebabkan oleh keadaan mayat yang tidak lagi boleh dijalankan bedah siasat secara normal (contohnya mayat tercemar yang punca kematiannya tidak dapat ditentukan).
Cara Kematian Tidak Diketahui: Sisa-sisa rangka
Kepentingan Cara Kematian
Menentukan cara kematian adalah penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam siasatan kematian, termasuk:
- Keluarga / Saudara-mara: Jawapan berkaitan cara kematian dapat mengurangkan kesedihan dan kesusahan. Ia juga mempengaruhi tuntutan insurans dan stigma yang berkaitan dengan bunuh diri.
- Tertuduh/Suspek: Cara kematian membantu menentukan sama ada harus menuduh atau melepaskan orang yang disyaki berdasarkan niat di sebalik kematian tersebut.
- Polis: Cara kematian menentukan corak dan tahap penyiasatan yang diperlukan.
- Mahkamah: Pertuduhan jenayah adalah khusus kepada cara kematian (kemalangan atau pembunuhan). Hukuman akan bergantung kepada pertuduhan, jika tertuduh terbukti bersalah di mahkamah.
- Organisasi: Berkaitan kematian yang berlaku dalam persekitaran pekerjaan atau industri, cara kematian boleh mempengaruhi siasatan ke atas sistem-sistem sedia ada yang mungkin menyumbang kepada atau menyebabkan kematian, walaupun ia adalah “kemalangan” atau “semulajadi.”
Kesimpulan
Menentukan cara kematian adalah penting untuk kesejahteraan keluarga dan saudara-mara individu yang meninggal dunia dan untuk menjalankan keadilan dalam sistem perundangan. Ia memastikan perlindungan hak individu yang meninggal dunia dan memberi penutupan kepada mereka yang terkesan dengan kematian.
Rujukan
-
Gambar-gambar dengan izin dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
-
Cox WA. Cause, mechanism, and manner of death. Dalam: Forensic Medicine with Dr. Cox. 2009. forensicmd.wordpress.com
-
Jabatan Perubatan Forensik dan Psikiatri & Kesihatan Mental. Laporan Awal Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia: Julai – Disember 2007. Kuala Lumpur: Unit Pendaftaran Bunuh Diri, Hospital Kuala Lumpur, 2008.
-
DiMaio VJ, DiMaio D. Forensic pathology, edisi ke-2. Boca Raton: CRC Press, 2001.
-
Persatuan Pentadbir Koroner dan Pegawai Perubatan Illinois. Panduan untuk Penentuan Cara Kematian. 2007.
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis / Penterjemah | : | Suhailey bt. Md Noor |
Penyemak | : | ChM. Dr. Khairul Adli bin Nikman |