A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Cinta dan Remaja

Definisi cinta itu adalah subjektif. Cinta merupakan salah satu bentuk emosi dan perasaan yang dimiliki individu. Cinta juga adalah kecenderungan hati terhadap sesuatu.

Cinta hanyalah cinta,

Hidup dan mati untukmu,

Mungkinkah semua tanya kau yang jawab,

Dan tentang seseorang itu pula dirimu

Ku bersumpah akan mencinta…..

Pengenalan

Bait puisi di atas merupakan lagu yang telah dipopularkan oleh penyanyi Indonesia Melly Goeslow pada suatu ketika dahulu. Pada ketika itu, lagu cinta ini kerap bermain di bibir remaja. 

Berbicara tentang cinta adalah sesuatu yang tidak asing kerana kata-kata tersebut selalu terngiang-ngiang di telinga kita. Contohnya ketika mendengar radio, pasti ada lagu yang mendendangkan tentang cinta, begitu juga ketika membaca buku atau novel, pasti ramai yang suka membaca tentang percintaan kerana rasa cinta itu adalah fitrah. 

CINTA……apakah itu cinta? Bila sebut sahaja perkataan cinta pastinya umum terbayang keindahan, perasaan yang membuai, kasih sayang, penghormatan, rindu, perhubungan dan sebagainya.

Definisi Cinta

Definisi cinta itu adalah subjektif. Cinta merupakan salah satu bentuk emosi dan perasaan yang dimiliki individu (Haryanto,2010). Cinta juga adalah kecenderungan hati terhadap sesuatu. Ketika seseorang telah jatuh cinta kepada orang lain, maka ia akan berbuat apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintai dan pantang untuk melakukan perbuatan yang tidak disukai.

Di dalam Al-Quran sendiri terlalu banyak ayat tentang cinta. Antaranya adalah “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan(yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir (Ar-ruum 30:21).

Jenis-Jenis Cinta

  1. Cinta platonik

    Cinta platonik adalah sebuah hubungan kasih sayang yang tidak wujud unsur-unsur tarikan secara seksual. Mereka yang mengalaminya tidak menuntut apa-apa dari pasangan, terutama tentang seks.

  2. Cinta tak berbalas

    Cinta tak berbalas adalah cinta yang penuh dengan kesedihan. Anda mungkin mendapati bahawa diri anda mencintai seseorang tetapi tidak mendapat balasan.

  3. Cinta obsesif

    Cinta obsesif ialah keadaan di mana seseorang menjadi terlalu taksub atau obses dengan orang yang dicintainya.Ini boleh menimbulkan perasaan cemburu yang melampau terhadap pasangan dan mengawal pasangan secara berlebihan seolah-olah pasangannya adalah hakmilik mutlaknya seorang. Obsesif berlebihan terhadap pasangan adalah tidak sihat.

  4. Cinta egois

    Cinta egois membuat seseorang tidak peduli akan apa yang dirasakan pasangannya. Ia hanya peduli tentang dirinya sendiri dan apa yang baik baginya. Seorang kekasih yang egois boleh bersikap licik dan sering memanfaatkan kelemahan pasangannya.

  5. Cinta pada pandangan pertama

    Jenis cinta ini adalah yang paling spontan dan seringkali cepat dilupakan. Cinta pada pandangan pertama terjadi selama beberapa detik atau mungkin kurang.

  6. Cinta romantis

    Cinta romantis adalah jenis cinta yang paling menyenangkan. Anda ingin selalu bersama kekasih anda sepanjang waktu, dan bahkan ketika anda sedang tidak bersamanya, Anda tidak dapat menahan keinginan untuk bertemu dengannya.

  7. Cinta tak bersyarat

    Berbahagialah mereka yang dapat mengalami jenis cinta ini. Ini tentu tidaklah mudah dan jelas bukan sesuatu yang kebanyakan orang inginkan. Namun ketika anda benar-benar merasakannya, anda tahu apa itu cinta sejati.

  8.  

https://diarysepti.files.wordpress.com/2013/12/wallp61.jpg

 

Isu Cinta Dan Remaja Masa Kini

Hari ini, definisi cinta dan kaedah bercinta, diambil secara tidak langsung, daripada filem-filem, drama-drama, novel-novel dan sebagainya. Membuatkan secara tidak langsungnya, apabila disebut cinta, atau apabila jiwa diserang panahan cinta, secara automatik mereka akan melaksanakan sebagaimana yang mereka tahu dan faham melalui sumber-sumber yang sedemikian.

Cinta yang silap inilah yang membuatkan manusia apabila bercinta, menjadi tidak keruan. Kerana disangkanya cara untuk menyampaikan rasa cinta kepada orang yang dicintai mestilah dengan ayat-ayat asmara yang berbunga-bunga, dengan perkataan cinta dan sayang. Cinta mestilah keluar bersama-sama, berdua-duaan, berpegangan tangan, bersentuhan. Bahkan, wujud tafsiran cinta pada hari ini mestilah dibuktikan dengan perhubungan seks, dan dikatakan itulah kemuncak & dan bukti cinta agung.

Bagi yang mempunyai pendidikan agama, walaupun mungkin tidak keluar berdua-duaan, ramai yang terjebak dengan ‘whatssap’, `telegram’, `tango’, `emel’, ‘chatting’‘wallpaper’cantik berkenaan cinta, puisi-puisi romantis, dan pelbagai lagi. 

Sumber: http://www.drcarnazzo.com/uploads/1/3/4/3/13437686/1089509_orig.jpg?1349886772

Rawatan Psikologi

‘Kita adalah apa yang kita fikirkan’. 

Menurut perspektif kognitif tingkah laku oleh Aaron Beck & Albert Ellis (1960 & 1950), individu yang mempunyai corak pemikiran yang tidak sihat akan menyebabkan berlakunya perasaan dan membentuk tingkah laku negatif (MacLeod.S, 2008). Intervensi CBT membantu membetulkan pemikiran sekaligus menghasilkan perasaan & tingkah laku yang positif.

Remaja yang sedang mencari identiti diri, apabila didedahkan kepada input-input yang positif boleh membentuk remaja yang positif. Manusia ini kalau tidak punya nilai, tidak berhargalah ia.

Tips Menangani

Bagi menangani cinta yang boleh mencederakan minda, emosi serta tingkahlaku remaja, bebaskan diri daripada drama, filem, novel cinta yang membuai emosi serta melalaikan. Antara tips untuk menanganinya adalah:

  • Tenangkan diri & refleksi diri
  • Teliti matlamat hidup di atas muka bumi
  • Timba pengalaman yang boleh memtangkan diri
  • Fahami tanggungjawab serta amanah yang dipikul serta yang akan dipikul
  • Hidupkan minda & seimbangkan emosi serta perasaan
  • Lihat checklist pencapaian dalam hidup
  • Lihat sumbangan yang telah disumbang serta akan disumbangkan suatu hari nanti
  • Fikirkan apa yang akan ditinggalkan setelah tiada nanti

Bukalah mata, bangkitkanlah kesedaran jiwa. Cinta itu mungkin, sedang mati itu pasti menjemput kita.
Tuhan tidak bertanya kita berjaya berkahwin dengan orang kita cinta atau tidak, tetapi Tuhan akan bertanya bahawa umur kita, di mana telah kita usahakan atasnya. Marilah bina diri kita. Jadilah  manusia yang berguna.

Rujukan

  1. Ausebel, David P, Theory And Problems Of Adolescent Development, 2002
  2. Third edition, Writers Club Press.
  3. Psikologi sosial alam remaja / Azizi Yahaya … [et al.]
    – : Bentong, Pahang : PTS Publications & Distributors, 2005.
  4. Membentuk identiti remaja/Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif.
    Azizi Yahaya: Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors, 2005.
  5. Psikologi sosial alam remaja / Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif,Shahrin Hashim, Yusuf Boon. 
    Azizi Yahaya: Selangor: PTS Professional Publishing, 2006.
  6. http://belajarpsikologi.com/pengertian-remaja/
  7. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=remaja
  8. http://www.simplypsychology.org/carl-rogers.html
  9. http://www.simplypsychology.org/cognitive-therapy.html
  10. https://ummuhanie.wordpress.com/ilmu-chentha-saya-333/nikah-khitbah-solusi-masalah-cinta-remaja-oleh-ustaz-maszlee-malik/
  11. http://www.merdeka.com/gaya/7-jenis-cinta-yang-dilalui-manusia.html
Semakan Akhir : 10 Mei 2024
Penulis : Faten Hameema binti Rosli
Penyemak : Aina Mazwin binti Mohamed Radzi

Artikel Berkaitan

Psiko Pendidikan

Psiko pendidikan adalah suatu perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada pesakit mental dan ahli keluarganya bagi memastikan pesakit dan ahli keluarganya saling memahami tentang penyakit yang dialami pesakit. Pesakit dan ahli keluarganya akan sentiasa mempunyai pengetahuan dan kemahiran psiko pendidikan agar mereka sentiasa dalam keadaan bersedia dan boleh menerima ketentuan daripada ujian Allah swt.

Matlamat Kehidupan

Proses untuk mencapai matlamat dapat membantu kita memilih dan memutuskan ke mana arah kehidupan kita.

Pengurusan Stres (Remaja)

Stres adalah suatu perasaan yang anda alami apabila anda menerima tekanan. Tekanan atau tuntutan yang anda terima mungkin datang dalam bentuk mengekalkan jalinan perhubungan, memenuhi harapan keluarga dan untuk mencapai matlamat akademik dan kesakitan fizikal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,133

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia