Apakah Pemeriksaan CT Angiografi?
Pemeriksaan CT Angiografi merujuk kepada pemeriksaan khas saluran darah menggunakan mesin CT. Sejenis cecair iaitu media kontras akan disuntik melalui salur darah.
Sebab-sebab Pemeriksaan CT Angiografi Dijalankan
Bagi melihat dan mengkaji salur darah utama dan salur darah ke organ-organ badan.
Jenis-jenis Pemeriksaan CT Angiografi
JENIS | ORGAN |
CT Angiografi Serebral | Salur darah ke otak |
CT Angiografi Karotid | Nama salur darah ialah Carotid |
CT Angiografi Aorta | Nama salur darah ialah Aorta |
CT Angiografi Kardiak | Salur darah ke jantung |
CT Angiografi Lower Limb | Saluran darah ke bahagian peha, betis dan kaki |
CT Angiografi Upper Limb | Saluran darah ke bahagian lengan dan tangan |
Gambar 1: Imej 3D untuk Lower Limb melalui CT Angiografi
Bagaimana Dan Di Mana Boleh Mendapatkan Pemeriksaan Ini?
Pemeriksaan ini hanya boleh ditentukan oleh doktor pakar dan ianya dijalankan di hospital yang berpakar dan mempunyai kemudahan CT Angiografi.
Sebelum pemeriksaan
- Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
- Anda perlu mengambil ubat steroid jika pernah mengalami alahan atau asma.
- Anda perlu berpuasa 4-6 jam sebelum pemeriksaan dijalankan.
- Anda perlu menanggalkan pakaian atau aksesori di bahagian tubuh yang mengandungi besi (contoh: tali pinggang, baju dalam dan lain-lain) dan memakai pakaian hospital.
- Anda dimasukkan jarum (branula).
- Berat badan anda akan ditimbang.
Semasa pemeriksaan
- Anda diminta baring di atas meja pesakit di bilik CT.
- Juru X-ray akan menerangkan dan diikuti oleh arahan yang tertentu.
- Media kontras akan dimasukkan.
- Imbasan akan dilakukan.
- Semasa imbasan dilakukan, anda boleh berkomunikasi dengan Juru X-ray melalui interkom.
- Imej akan terhasi l dan dipamerkan di monitor.
Selepas pemeriksaan
- Anda dinasihatkan untuk berehat selepas pemeriksaan.
- Panas seluruh badan dan pening adalah kesan sampingan yang normal akibat penggunaan media kontras.
- Pemeriksaan selesai dan sila ikut temujanji anda seperti yang ditetapkan.
- Anda dibenarkan makan dan digalakkan minum air yang berlebihan untuk mempercepatkan media kontras keluar dari badan melalui proses pembuangan air kencing.
Laporan Pemeriksaan
Imej-imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.
Rujukan
- Alderson SM, Hilton S. and Papinocolaou N., 2011, CT Urography: Review of technique and spectrum of diseases, Applied Radiology, http://www.appliedradiology.com/ Issues/2011/07/Articles/AR_07-08-11_Hilton/CT-urography–Review-of-technique-and-spectrum-of-diseases.aspx
Semakan Akhir | : | 3 Januari 2017 |
Penulis | : | Solehah binti Ismail |
Akreditor | : | Norman Serbastian Alangaram |