A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Derma Organ

Pendermaan Organ merupakan satu amalan yang mulia. Ia bukanlah suatu yang baru di Malaysia kerana ia adalah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai di Negara kita. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma setelah kematian masih rendah.

Pendermaan Organ merupakan satu amalan yang mulia. Ia bukanlah suatu yang baru di Malaysia kerana ia adalah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai di Negara kita. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma setelah kematian masih rendah. Sejak tahun 1999 kad Pengikrar Penderma Organ telah dilancarkan sebagai kad indikasi pendaftaran seseorang itu sebagai pengikrar penderma organ. Sehingga kini dianggarkan lebih 126 000 bilangan pendaftar pengikrar telah direkodkan di Pusat Sumber Transplan Nasional. Bilangan tersebut amat rendah untuk bilangan penduduk Negara yang dianggarkan seramai 27 juta orang. Sehubungan itu, Pusat Sumber Transplan Nasional diwujudkan bukan sahaja untuk menambah bilangan pengikrar penderma organ, malah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, selain memberikan maklumat dan tentang kepentingan pendermaan organ.

Definisi Pendermaan Organ/ Tisu:

Pendermaan organ/ tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi (pemindahan) organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik.

Organ & tisu yang boleh didermakan di Malaysia

Organ:

  • Jantung
  • Paru-Paru
  • Hati, dan
  • Buah Pinggang

Tisu:

  • Injap Jantung
  • Mata (kornea)
  • Tulang, dan
  • Kulit

Jenis Penderma

Penderma Hidup

Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja. Pendermaan semasa hidup terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  • Pendermaan ada pertalian saudara (Living Related)
  • Pendermaan tiada talian saudara (non-living Related)

Pendermaan semasa hidup mempunyai pelbagai risiko walaupun risikonya rendah. Pendermaan ini terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri sahaja. Ini untuk mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku. Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang dan, atau sebahagian hati sahaja.

Penderma Kadaverik

Penderma Kadeverik adalah penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan ini amat digalakkan dan diutamakan di Negara kita. Ianya tidak memberikan risiko kepada penderma. Penderma kadaverik juga terbahagi 2 jenis:

  • Kematian Otak Hanya penderma yang kemaian otak boleh mendermakan organ dan tisu seperti Jantung, Paru-Paru, Hati dan Buah Pinggang (Ginjal), Mata (Kornea), Tulang dan Kulit. Hanya penderma yang kematian otak boleh mendermakan organ dan tisu seperti Jantung, Paru-Paru, Hati dan Buah Pinggang (Ginjal), Mata (Kornea), Tulang dan Kulit. Penderma yang mati otak adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital. Mati otak ialah satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung tidak berfungsi. Ini boleh terjadi akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan sebagainya. Untuk pendermaan organ, seseorang yang kematian otak tidak akan mempunyai tindakbalas dan tidak bernafas. Dengan bantuan mesin (ventilator) jantung akan berfungsi seketika. Namun organ-organ lain akan mengalami kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun dengan sokongan mesin. Pengesahan kematian akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan. Doktor-doktor tersebut tiada kaitan dengan tugasan pengambilan atau transplantasi organ. Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diterima pakai di merata dunia. Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan. Sekiranya untuk pendermaan organ, mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperolehi. Jika bukan untuk pendermaan organ mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi.
  • Kematian Jantung Berhenti Berdegup
    Kematian ini adalah kematian normal dimana seseorang itu disahkan mati kerana jantung terhenti berdegup

    • Penderma yang meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan tisu sahaja seperti Mata (kornea), Tulang, Kulit dan Injap Jantung.

    Mereka yang meninggal di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu. Bagi mereka yang meninggal di rumah hanya boleh mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.

Pengambilan & Transplantasi organ dan tisu

Definisi Transplantasi

Transplantasi bermaksud pemindahan atau penggantian organ atau tisu yang masih berfungsi dari seseorang kepada seseorang yang kegagalan fungsi organ atau tisu. Agar beliau dapat meneruskan kehidupan. Ianya merupakan satu kaedah rawatan yang terbukti paling baik dan berkesan untuk menyelamatkan nyawa bagi pesakit yang mengalami kegagalan organ di peringkat akhir. Setelah pengesahan kematian oleh pihak hospital, keluarga akan diberi peluang untuk memikirkan tentang pendermaan organ. Pada masa yang sama, ujian saringan darah akan dilakukan untuk memastikan organ-organ dan tisu-tisu bebas daripada penyakit berjangkit dan masih berfungsi untuk tujuan transplantasi. Pembedahan pengambilan organ dan tisu penderma akan dijalankan setelah seseorang mendapat kebenaran bertulis daripada waris.Hanya organ yang boleh diguna pakai akan diambil. Proses pembedahan pengambilan atau perolehan organ boleh mengambil masa dari 2 hingga 8 jam bergantung kepada bilangan organ dan tisu yang diperolehi. Ianya dijalankan didewan bedah dalam keadaan suci hama . Pembedahan dilakukan dengan penuh prihatin dan hormat untuk mengelakkan sebarang kecacatan pada jenazah.

  1. Transplantasi Organ
    Pemindahan atau penggantian organ dilakukan dengan segera selepas pembedahan pengambilan organ dijalankan. Organ yang diperolehi melalui penderma mati otak perlu dilakukan segera untuk memastikan organ tersebut masih berfungsi baik dan tidak terjejas. Oleh yang demikian, penderma (mati otak) akan diberi sokongan mesin (bantuan hayat) sehingga ke dewan bedah dimana ianya akan diberhentikan sebelum organ diperolehi. Selepas pengambilan, tempoh transplan adalah seperti berikut: Jantung: 4 hingga 6 Jam Paru-Paru: 4 hingga 6 jam Hati: 8 hingga 12 Jam Buah Pinggang : 24 jam
  2. Transplantasi Tisu
    Sebagaimana pentingnya pemindahan organ, pemindahan tisu juga dapat menjadikan kualiti hidup pesakit yang memerlukan ke tahap yang lebih baik. Tisu yang dimaksudkan adalah mata, kulit, tulang dan injap jantung.

Rawatan dari tisu yang didermakan

Mata (kornea)

Tisu ini digunakan untuk menggantikan seseorang yang mengalami kerosakan kornea sepenuhnya. Setelah transplantasi kornea, pesakit boleh kembali melihat. Kornea hanya boleh disimpan sehingga 2 minggu.

Injap Jantung

Transplantasi injap jantung dapat menggantikan injap jantung pesakit yang mengalami kerosakan atau kecacatan. Ia boleh disimpan sehingga 10 tahun.

Tulang

Pendermaan tulang adalah untuk membantu pesakit kes kanser tulang iaitu dengan menggantikan bahagian tulang yang mengalami kanser. Ia juga digunakan untuk menggantikan tulang yang cedera atau bermasalah. Selain itu, tulang juga digunakan dalam rawatan pergigian. Tulang disimpan di bank tulang dari 5 – 7 tahun.

Kulit

Kulit digunakan untuk menpercepatkan proses penyembuhan terutama pada pesakit yang terlibat dalam kes kebakaran. Kulit boleh disimpan dari 2 – 5 tahun.

Kadar daya hidup penerima organ selepas transplantasi

Transplantasi Hati 1 tahun : 80 – 85% 5 tahun : 70 – 75% Transplantasi Jantung 1 tahun – 83% 5 tahun – 63% Kembali bekerja – 83% ,/ Transplantasi Buah Pinggang 1 tahun : 85 – 90% 5 tahun : >75% 10 tahun : 60% Penerima boleh kembali bekerja, bersukan, berumah tangga dan mempunyai anak.

Akta tisu manusia 1974

Akta yang membenarkan pengunaan bahagian tubuh anggota orang yang telah mati untuk tujuan perubatan, penyelidikan perubatan dan pendidikan. Perundingan dan kebenaran dari keluarga waris diperlukan sebelum ianya dilakukan.

Pandangan agama

Secara umumnya semua Agama mengiktiraf pendermaan organ sebagai amalan yang mulia. Tiada agama yang menghalang penganutnya untuk melakukan kebaikan. Agama Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan Hukum Harus pada urusan pendermaan dan pemindahan organ pada bulan Jun 1970. Ianya diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan bukan untuk perniagaan (tiada unsur jual beli). Kaedah rawatan transplantasi juga DIHARUSKAN sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah SWT.

Pengecualian bayaran bil hospital

Selaras dengan seksyen 16(13) Perintah Fi (Perubatan) 1982, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran bil hospital bagi penderma organ di hospital kerajaan dari tarikh kemasukan hospital. Arahan ini berkuatkuasa pada 29 Disember 2003, seperti mana surat Kementerian Kewangan KK/BP(S)09/692/79 Jld.3.s.k.4/2003(4) Bagi pendermaan organ dan tisu di hospital swasta pula, segala pembiayaan bil hospital dari mula pesakit itu dimasukkan sehingga disahkan meninggal dunia adalah tanggungjawab keluarga atau waris itu sendiri.

Siapa yang layak menjadi penderma?

Sesiapa pun boleh mendaftar menjadi pengikrar penderma organ dan tisu kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C, Siflis. Untuk mereka yang berumur kurang dari 18 tahun, kebenaran bertulis dari ibubapa adalah diperlukan. Semua pengikrar penderma organ dinasihatkan agar memberitahu ahli keluarga tentang hasrat mereka untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia. Ini akan memudahkan keluarga untuk memberikan kebenaran untuk pengambilan organ dan tisu selepas kematian mereka.

Bagaimana untuk menjadi pengikrar penderma organ?

Mereka yang berhasrat untuk mendermakan organ selepas kematian boleh mengisi borang pendaftaran pengikar penderma organ yang boleh didapati di semua Hospital Kerajaan, Jabatan Kesihatan Daerah-Daerah, Pusat-Pusat Kesihatan Daerah, Pusat Sumber Transplan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Pusat Sumber Transplan Hospital Pulau Pinang, Pusat Sumber Transplan Hospital Sultanah Aminah, Johor, atau memuat turun borang di laman web Pusat Sumber Transplan Nasional.

Pusat sumber transplan nasional

Jabatan yang dibentuk khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah sokongan dan kerjasama Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyebarkan maklumat yang betul dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat Malaysia tentang pendermaan organ dan transplantasi. Objektif utama penubuhannya adalah untuk mendapatkan lebih ramai pengikrar pendermaan organ untuk pendermaan kadaverik (selepas kematian) dan berperanan sebagai pusat pendaftaran pengikrar penderma organ dan tisu serta menyimpan pengkalan data tentang bakal penderma-penderma ini. Pusat ini berkerjasama dengan organisasi bukan kerajaan, badan-badan agama, persatuan-persatuan pelajar, badan korporat dan agensi kerajaan serta pihak media didalam menyebarkan maklumat tentang pendermaan organ dan program transplantasi melalui ceramah, kaunter bergerak, kempen, forum, temubual dan sebagainya. Maklumat lanjut tentang pendermaan organ boleh melayari laman web Pusat Sumber Transplan Nasional di www.dermaorgan.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9080 atau email ke ntrc@moh.gov.my.

CONTOH BORANG PENDAFTARAN DAN KAD PENGIKRAR PENDERMA ORGAN MALAYSIA

GAMBAR-GAMBAR AKTIVITI PUSAT SUMBER TRANSPLAN NASIONAL

Ceramah Pendermaan Organ kepada Pelajar Koleh Mahsa Ceramah Pendermaa Organ dalam Continuos Nursing Education (CNE) Hospital Kuala Lumpur
Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Penderman Organ sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan di Hospital Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Penderman Organ sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan di Hospital Serdang, Selangor
Pameran Hospital Kuala Lumpur turut memuatkan Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Penderman Organ di Pusat Dagangan Dunia Putra Rombongan Lawatan Pelajar Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia ke Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur
Sekitar majlis perasmian Kempen Media Pendermaan Organ2008/2009 oleh YBhg Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ. Beliau turut merasmikan Laman Web Pusat Sumber Transplan Nasional

 

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Azizul Khairi Mohd Nor
Akreditor : Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasmin bin Mansur
Penyemak : Dr. Muhaini Othman

 

Artikel Berkaitan

Derma Darah

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

Amalkan Cara Hidup Sihat

Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan, makan secara sihat, tidak merokok, lakukan aktiviti fizikal dan belajar menangani stres.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,097

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia