Pengenalan
Kecederaan akibat gigitan anjing boleh mengundang bahaya dan juga boleh mengancam nyawa jika seseorang itu tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya apatah lagi jika ia melibatkan anjing liar yang status kesihatannya tidak diketahui.
Tanda/Gejala
Gigitan anjing boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami gejala awal seperti kesakitan, pendarahan dan rasa kebas.
Komplikasi
Kesan gigitan anjing boleh mengakibatkan luka atau koyakan pada bahagian lapisan kulit, tendon dan otot. Air liur anjing boleh mengandungi kuman-kuman yang berbahaya seperti tetanus, rabies dan lain-lain lagi. Jika seseorang dijangkiti tetanus, ia boleh menyebabkan mengsa mengalami kekejangan otot dan boleh membawa maut. Begitu juga dengan rabies (penyakit anjing gila), jika tidak dirawat awal, risiko kematian adalah amat tinggi.
Rawatan Awal
Rawatan awal boleh dilakukan oleh mangsa sendiri atau dengan bantuan orang di sekeliling. Antara langkah-langkah yang dapat diambil dengan segera adalah seperti:
- Mangsa disuruh bertenang atau jangan panik.
- Mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum merawat luka.
- Memakai sarung tangan getah yang bersih jika ada.
- Jika gigitan anjing mengakibatkan pendarahan yang aktif, cuba hentikan pendarahan tersebut dengan menekan luka tersebut (direct pressure) menggunakan kain yang bersih.
- Jika tiada pendarahan aktif, cuci luka tersebut menggunakan air yang bersih, seperti air paip yang mengalir selama 3 hingga 5 minit.
Rawatan Di Hospital
Doktor akan memberikan rawatan seperti berikut :
- Luka akan dibersihkan bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman
- Suntikan anti-tetanus akan diberikan bagi mengelak serangan kancing gigi jika perlu
- Antibiotik dan anti-rabies jika perlu
- Ubat penahan sakit jika perlu
- Luka akan dijahit selepas beberapa hari jika perlu
- Notifikasi kepada pihak kesihatan awam / jabatan veterinar akan dilakukan untuk tindakan susulan kepada anjing yang terlibat
Pencegahan
Ancaman digigit anjing liar dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian, antaranya:
- Elakkan diri terutama kanak-kanak daripada menghampiri atau mengganggu anjing-anjing liar
- Menggunakan pakaian dan alat pelindung diri yang sesuai ketika mengendalikan haiwan tersebut
- Memastikan anjing peliharaan sihat dan diberi vaksin yang sepatutnya
Rehabilitasi
- Pastikan tempat luka gigitan sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya.
- Sentiasa bersihkan diri dan persekitaran tempat tinggal.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
- Kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes.
- Pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima.
- Lakukan rehabilitasi mengikut cadangan ahli terapi/doktor.
Rujukan
- Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia.
- American Family Physician.
Semakan Akhir | : | 10 Mei 2024 |
Penulis | : | Amin Zafri bin Abd Rahman |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah |