Pengenalan
Anda mungkin mengalami disfungsi erektil (mati pucuk) jika zakar anda sukar mengeras dan tegang sehingga anda tidak boleh melakukan hubungan kelamin. Jika kejadian ini berlaku hanya sekali sekala, anda tidak mengalami mati pucuk. Namun jika ia kerap berlaku selama lebih 3 bulan, anda mungkin menghidap mati pucuk.
Mati pucuk bukanlah hanya sekadar isu hubungan kelamin dan kualiti hidup yang merundum. Sebenarnya kejadian mati pucuk mungkin satu tanda awal masalah kesihatan yang lain pada diri anda. Sekiranya anda merasakan anda menghidap mati pucuk, anda perlu mendapatkan rawatan pada peringkat awal lagi. Anda mungkin merasa berat hati atau malu untuk mendapatkan rawatan, tetapi mati pucuk tidak boleh dirawat sendiri, dan biasanya semakin lama akan menjadi semakin teruk. Doktor yang merawat anda akan melakukan pemeriksaan tahap gula dan kolesterol dalam darah, tekanan darah, status merokok, tahap kemurungan (jika ada) dan saringan lain-lain masalah kesihatan.
Jika tidak dirawat, mati pucuk boleh menyebabkan anda merasa kecewa, sedih dan kemurungan, seterusnya ketidakpuasan hati di dalam hubungan seksual di antara anda dan pasangan anda. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, mati pucuk boleh menjadi punca perbalahan. Mati pucuk boleh dirawat untuk kebanyakan pesakit, tetapi anda perlu mengambil langkah untuk merawat dan mencegah mati pucuk.
Bagaimana Diabetes Menyebabkan Mati Pucuk di Kalangan Lelaki
Mati pucuk merupakan satu masalah yang kerap dihadapi oleh kaum lelaki yang menghidap diabetes dan kajian saintifik menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berkemungkinan mendapat mati pucuk berbanding lelaki yang sihat. Sesiapa sahaja boleh mendapat mati pucuk, namun jika anda menghidap diabetes, keadaan berikut terjadi kepada tubuh badan anda:
- Aras glukosa yang tinggi di dalam peredaran darah boleh merosakkan saraf dan salur darah yang terlibat dalam proses ereksi (penegangan zakar). Anda berfikiran anda sudah bersedia untuk melakukan hubungan kelamin, tetapi maklumat tersebut tidak dapat disampaikan dari otak ke bahagian zakar. Oleh yang demikian, zakar anda gagal untuk menegang dan menjadi keras.
- Diabetes juga menyebabkan pelbagai komplikasi, seperti penyakit kardiovaskular (jantung dan saluran darah) yang boleh mengakibatkan saluran darah anda menjadi sempit dan kurang kenyal. Ini boleh mengurangkan peredaran darah ke bahagian zakar, mengakibatkan zakar anda sukar untuk menegang dan menjadi keras.
- Aras glukosa dalam darah yang tinggi juga menghalang rembesan satu bahan kimia yang dipanggil nitrik oksida. Aras nitrik oksida yang rendah juga mengurangkan peredaran darah ke bahagian zakar, menghalang proses ereksi.
Anda lebih berisiko mendapat mati pucuk apabila lebih lama anda menghidap diabetes ataupun apabila penyakit diabetes anda tidak terkawal.
Apa yang Boleh Anda Lakukan untuk Mencegah dan Merawat Mati Pucuk
Mati pucuk sebenarnya boleh dielakkan walaupun anda menghidap diabetes. Selain dari membincangkan masalah ini bersama doktor anda, ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mencegah dan merawat mati pucuk:
- Pastikan aras glukosa dalam darah anda berada dalam kawalan yang baik. Kawalan aras glukosa dalam darah yang baik akan mencegah kerosakan pada saraf dan saluran darah yang kecil yang menyebabkan mati pucuk. Jika anda menghadapi kesukaran untuk mengawal aras glukosa dalam darah anda atau kesukaran mengikuti saranan dan nasihat doktor, sila berbincang dengan doktor anda untuk mencari penyelesaian.
- Ketahui ubat-ubatan yang anda ambil. Anda mungkin sedang mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mati pucuk akibat kesan sampingannya, contohnya sesetengah ubat bagi hipertensi atau merawat kemurungan. Tolong jangan berhenti mengambil ubat-ubatan tersebut, sebaliknya bincang dengan doktor anda
- Berhenti merokok! Merokok menyebabkan saluran darah menjadi sempit, dan ini menyumbang kepada kejadian mati pucuk. Merokok juga menyebabkan paras nitrik oksida menjadi rendah, dan ini menghadkan peredaran darah ke bahagian zakar.
- Pantau jumlah minuman beralkohol yang diminum. Pengambilan minuman alkohol yang berlebihan boleh merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko kejadian mati pucuk.
- Kurangkan stress (tekanan). Stres boleh mengganggu ereksi (proses zakar menjadi tegang). Bagi mengawal stres, semua kerja harian yang dilakukan perlu dinilai dan disusun mengikut kepentingannya. Tetapkan sasaran kerja atau tugasan yang munasabah, dan minta pertolongan jika perlu.
- Kekal aktif secara fizikal. Senaman secara tetap dan berkala dapat mengekalkan peredaran darah yang baik, menambah stamina serta menjaga kesihatan jantung anda.
- Tanganilah kelesuan. Jika anda mendapat rehat yang cukup, anda pasti kurang mendapat masalah mati pucuk.
- Tangani keresahan (anxiety) dan kemurungan. Keresahan dan kemurungan boleh menyebabkan mati pucuk. Jika anda merasa lebih risau anda menghidap mati pucuk, perasaan ini mampu membuat keadaan mati pucuk anda menjadi bertambah buruk. Jika anda mengalami keresahan dan kemurungan, berbincanglah dengan doktor anda kerana masalah ini boleh dirawat.
- Ambillah ubat untuk merawat mati pucuk. Doktor mungkin memberikan ubat untuk merawat mati pucuk. Ada beberapa jenis ubat yang berada di pasaran sekarang, tetapi ia tidak selamat untuk semua lelaki contohnya bagi mereka yang mengambil ubat jenis nitrates untuk merawat penyakit jantung, atau alpha-blockers untuk merawat masalah kelenjar prostat bengkak atau hipertensi. Selain daripada ubat yang dimakan, terdapat beberapa cara lain untuk merawat mati pucuk. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai rawatan alternatif yang sedia ada.
Bagi Mereka yang Mempunyai Pasangan Hidup
Bagi wanita, mati pucuk bukanlah sekadar masalah kepada pasangan anda. Ia menjadi masalah kepada anda juga. Walaupun rawatan banyak tertumpu kepada pasangan lelaki anda, rawatan akan menjadi lebih berkesan sekiranya anda turut melibatkan diri dalam proses rawatan dari peringkat awal lagi. Penglibatan bersama sebagai satu pasangan mampu mengurangkan stres dan kebimbangan, membantu anda berdua bercakap di antara satu sama lain. Bercakap dan berkomunikasi adalah sangat penting oleh kerana perasaan negatif yang disebabkan oleh keadaan mati pucuk sukar untuk dibincangkan. Anda berdua perlu banyak bersabar, memahami antara satu sama lain dan berhati-hati dalam usaha untuk menangani masalah ini demi mencapai hubungan yang baik dan intim. Berikut adalah beberapa nasihat yang boleh anda ikuti:
- Apabila memulakan rawatan yang baru, anda dan pasangan anda mungkin merasa tertekan untuk memulakan hubungan kelamin kembali, lebih-lebih lagi jika sudah lama tidak bersama. Anda berdua perlu banyak bersabar dalam tempoh percubaan ini.
- Wujudkan kembali suasana romantik dan intim dalam hidup anda sebagai pasangan. Luangkan lebih banyak masa bersama dengan melakukan aktiviti yang anda berdua gemari.
- Banyakkan sentuhan, belaian dan ciuman semasa bercumbu-cumbuan oleh kerana ini boleh membangkitkan perasaan berahi untuk melakukan hubungan intim bersama.
Percayalah bahawa keadaan mati pucuk boleh dirawat. Ambil langkah pertama dengan membincangkan masalah ini bersama-sama dengan doktor anda. Bercakap mengenai mati pucuk bukannya mudah disebabkan perasaan segan dan malu, tetapi jangan biarkan perasaan ini menghalang anda dari menikmati hubungan intim dengan pasangan anda. Anda perlu bekerjasama rapat dengan doktor yang merawat diabetes anda untuk mengawal penyakit anda demi mengelakkan mati pucuk dan menghalang keadaan ini mengganggu hubungan intim dengan pasangan anda.
Semakan Akhir | : | 26 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Feisul Idzwan Dato’ Mustapha |
Penyemak | : | Dr. Sunita a/p Bavanandan |