Fixed drug eruption (FDE) adalah suatu jenis alahan terhadap ubat. Kebiasaannya ia akan timbul dengan cepat (akut) dalam tempoh 30 minit hingga 8 jam selepas pengambilan ubat tertentu. Sekiranya pesakit mengambil ubat yang pernah menyebabkan alahan sekali lagi, kesan pada kulit akan timbul pada tempat yang sama dan beransur pulih selepas beberapa hari serta meninggalkan kesan hiperpigmentasi (kegelapan kulit).
Gejala-gejala
Kesan pada kulit akibat Fixed Drug Eruption boleh melibatkan hanya satu ataupun beberapa kawasan pada kulit. Bahagian yang terlibat terasa gatal atau pedih. Setiap tanda mempunyai sempadan yang jelas, berbentuk bulat atau bujur, dan berwarna merah atau ungu. Ianya boleh membesar sehingga 10 cm dan membengkak dengan gelembung air. Kesan ini boleh timbul di bahagian perut, tangan dan kaki, tapak tangan dan tapak kaki, bibir, lapisan dalam mulut and kemaluan.
Gambar 1: Tanda kulit berwarna ungu dengan luka di bibir |
Gambar 2: Tanda berwarna ungu kemerahan dengan gelembung air | Gambar 3: Kesan hiperpigmentasi |
Penyebab Fixed Drug Eruption
Fixed drug eruption kebiasaannya disebabkan oleh ubat makan. Terdapat juga laporan FDE disebabkan oleh ubat tradisional Cina. Ubat non-steroidal anti-inflamatori (penahan sakit) kerapkali menjadi penyebab utama. Ini termasuk ibuprofen, indomethacin dan piroxicam. Ubat antibiotik yang sering terlibat adalah amoxicillin, tetracyclines, trimethoprim/sulfamethoxazole, ofloxacin dan dapsone. Fixed-drug eruption juga boleh disebabkan oleh paracetamol, phenolphthalein, sulfonamides, phenylbutazone, barbiturates dan salicylates.
Bilakah anda perlu syak anda mengalami Fixed Drug Eruption?
Kesan pada kulit kebiasaannya akan berlaku selepas pengambilan ubat makan. Ia biasanya berlaku di antara 1 hingga 2 minggu selepas memulakan pengambilan ubat tersebut. Alahan boleh juga berlaku selepas beberapa minggu atau selepas beberapa tahun. Apabila pesakit menjadi alah terhadap ubat tersebut, kesan alahan boleh berlaku dengan cepat di mana ianya boleh timbul di antara 2 hingga 48 jam selepas pengambilan ubat tersebut.
Rupa bentuk FDE adalah unik dan mudah dikenalpasti. Individu yang mengambil pelbagai jenis ubat pada satu-satu masa perlu disyaki mempunyai alahan ubat sekiranya kesan alahan kulit timbul dengan cepat.
Walaupun pengambilan semula ubat yang disyaki mengakibatkan alahan tersebut adalah kaedah yang paling baik untuk mengesahkan sesuatu alahan, ianya boleh menimbulkan risiko yang memudaratkan kepada seseorang individu. Sesetengah individu boleh mengalami kesan yang teruk dengan sebahagian besar kulit terlibat dan menjadi gelembung-gelembung air.
Rawatan
Pengambilan ubat tersebut perlu dihentikan serta-merta. Doktor boleh menolong anda untuk mengenalpasti ubat tersebut. Ianya boleh dikenalpasti berdasarkan laporan-laporan berkenaan ubat-ubat yang kerap kali menyebabkan masalah tersebut.
Sekiranya terdapat gelembung-gelembung air, doktor atau jururawat akan mengeluarkan air daripada gelembung tersebut. Ubat antihistamine boleh diambil disamping ubat sapuan steroid. Namun begitu, ubat sapuan steroid hanya boleh digunakan sekiranya tiada lagi gelembung air. Ubat makan steroid perlu diberikan jika pesakit mengalami kesan yang serius.
Langkah-langkah pencegahan
Elakkan mengambil semula ubat tersebut supaya kejadian tidak berulang. Pesakit perlu sentiasa membawa kad alahan yang diberikan oleh doktor. Pesakit juga boleh memakai gelang tangan atau rantai yang di ukir dengan nama ubat tersebut (medic alert).
Pastikan anda sentiasa memberitahu doktor bahawa anda mempunyai alahan terhadap sesuatu ubat setiap kali mendapatkan rawatan.
Bagi sesiapa yang berminat untuk membuat gelang tangan atau rantai dengan ukiran nama ubat, sila layari laman web: http://www.medicalert.com.my
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis/Penterjemah | : | Datin Dr. Asmah bt. Johar |
Akreditor | : | Datuk Dr. Roshidah bt. Baba |
Penyemak | : | Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim |