Apakah yang dimaksudkan dengan gigi tidak tersusun?
Gigi tidak tersusun atau maloklusi ialah suatu keadaan di mana gigi-gigi dalam mulut tidak tersusun dengan baik atau jongang.
Kenapa susunan gigi menjadi tidak teratur?
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gigi tidak tersusun dengan baik.
Antaranya :
- Faktor keturunan
- Saiz tulang rahang dan gigi tidak seimbang
- Bilangan gigi yang lebih
- Bentuk gigi yang tidak normal
- Gigi terhimpit kerana tidak cukup ruang (terimpak)
- Kehilangan awal gigi susu atau gigi kekal
- Tabiat buruk seperti menghisap jari atau menggigit bibir
Bagaimana rupa dan keadaan gigi yang tidak tersusun?
Gigi tersebut mungkin kelihatan :
- Bertindih antara satu sama lain
- Terpusing (Dracula-like eye teeth)
- Terkeluar mencucuk bibir, pipi atau lidah
Adakah komplikasinya?
Gigi tidak tersusun sering dikaitkan dengan :
- Paras rupa kurang menarik
- Oral higin yang kurang
- Penyakit gusi
- Masalah sendi rahang
Bolehkah gigi yang tidak tersusun dibetulkan?
Ya, masalah gigi yang tidak tersusun boleh dibetulkan dengan rawatan ortodontik.
Rawatan mungkin melibatkan :
- Cabutan sebatang atau lebih gigi (tidak perlu memakai aplians ortodontik)
- Pemakaian aplians ortodontik boleh tanggal
- Pemakaian aplians ortodontik tetap
Bilakah masalah ini boleh dirawat?
Sebaik-baiknya rawatan ortodontik untuk masalah ini dimulakan pada peringkat awal lagi semasa tumbesaran atau perkembangan rahang mulut. Rawatan awal akan menggalakkan perkembangan gigi yang normal.
Dimanakah rawatan ortodontik boleh diperolehi?
Rawatan ortodontik boleh diperolehi di klinik-klinik pergigian kerajaan.
Walaubagaimanapun keutamaan rawatan diberikan kepada murid-murid sekolah.
Dapatkan pemeriksaan dan doktor pergigian akan membuat rujukan ke pakar ortodontik jika rawatan ortodontik diperlukan.
Rawatan ini juga boleh diperolehi di klinik-klinik pergigian swasta yang menyediakan perkhidmatan kepakaran ini.
Layari laman web http://ohd.moh.gov.my untuk mengetahui rangkaian klinik-klinik pergigian kerajaan.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Azillah bt. Mohd Ali |
Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar | ||
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |