A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gusi Sihat Untuk Pembinaan Jambatan & Korona Gigi

Sebelum korona gigi dan jambatan gigi dibuat, pastikan gusi adalah sihat bagi memastikan ianya dapat berfungsi dengan baik dan dalam jangka waktu yang panjang.

Keperluan Gusi Yang Sihat Untuk Tujuan Pembinaan Jambatan Dan Korona Gigi

Gusi yang sihat

Ciri-ciri gusi yang sihat adalah:

  • Berwarna merah jambu (Rajah 1 dan Rajah 2)
  • Keadaan permukaan berbintik-bintik seperti kulit limau
  • Kemas dan melekat kuat pada gigi, menipis kearah gigi
  • Mengisi ruangan antara gigi

Gusi yang sihat TIDAK:

  • Berdarah semasa memberus, atau makan
  • Bengkak dan lembut apabila ditekan
  • Sakit

 

Rajah 1: Senyuman menawan dengan gusi yang sihat
 

 

Rajah 2: Gusi yang berpenyakit
 

Apakah Korona Gigi dan Jambatan Gigi?

Kedua-duanya adalah rawatan bagi mengembalikan fungsi gigi. Korona adalah peranti prostetik tetap yang disimen ke gigi yang telah rosak dan masih boleh diselamatkan. Ia juga boleh dibuat pada implan gigi. Manakala jambatan gigi pula adalah peranti prostetik bagi menggantikan satu atau lebih gigi yang telah hilang menggunakan gigi berdekatan sebagai tunjang penyokong kepada jambatan tersebut. Rajah 3di bawah menunjukkan imej korona dan jambatan.

 

 
Korona penuh berasaskan emas
 
Prosedur penyediaan jambatan: gigi sebelahan perlu dipotong terlebih dahulu
 
 
Rajah 3: Imej korona dan jambatan
 
 

Kebaikan Jambatan & Korona

Beberapa kebaikan korona gigi dan jambatan gigi:

  • Memantapkan gigi yang rosak,
  • Memperbaiki  rupa bentuk, warna gigi, dan seterusnya paras muka
  • Membaiki jajaran oklusi gigi (gigitan)
  • Menghalang pergerakan gigi-gigi yang lain dan seterusnya menjejaskan corak gigitan (oklusi) gigi.

Mengapa gusi yang sihat penting untuk membina korona gigi atau jambatan gigi?

Adalah penting semasa korona gigi atau jambatan gigi dibuat, gusi adalah sihat. Ini adalah untuk:

  • Memudahkan penjagaan supaya gusi sentiasa sihat

    Gusi yang sihat adalah mudah dijaga kebersihannya. Dengan adanya korona gigi atau jambatan gigi, ketelitian dalam pembersihan di sekeliling korona gigi atau jambatan gigi adalah diperlukan. Jika gusi sihat, ianya lebih mudah dan berkesan.

  • Meningkatkan jangka hayat korona gigi atau jambatan gigi

    Jika korona gigi atau jambatan gigi dilakukan pada gigi yang gusinya tidak sihat, proses penyakit akan berterusan, dan jika tidak dirawat secepat mungkin, gigi dan juga korona gigi atau jambatan gigi mungkin terpaksa dicabut.

  • Memastikan kecantikan paras rupa tidak terjejas

    Bagi bahagian hadapan, korona gigi atau jambatan gigi, faktor estetik adalah penting. Jika ianya dibuat dengan gusi berpenyakit, ini mungkin menjejaskan estetik selepas beberapa ketika ianya diletakkan.

  • Mencegah kerosakan gigi

    Gusi yang sihat, memudahkan pembersihan dan pengesanan masalah di peringkat awal. Jika penjagaan adalah rumit, ia mungkin tidak berkesan dan ia meningkatkan kemungkian kerosakan gigi dikawasan di sekeliling korona gigi tersebut.

Rajah 4: gusi yang sihat pada jambatan gigi walaupun terdapat
sedikit pengecutan gusi padanya
 

 

Rajah 5 : Gusi yang tidak sihat pada korona gigi
 

 

Rajah 6 : Gusi menurun pada korona gigi
 

Lihat bagaimana, jika korona gigi, seperti gambar di bawah ini, dibuat pada gusi yang sihat, ia akan membuat gusi sihat, cantik dan tahan lama (Rajah 7)


Rajah 7a : korona gigi pada gusi yang sihat


Rajah 7b : korona gigi yang sama selepas 6 tahun, masih berkeadaan baik

Tetapi jika korona gigi dan jambatan gigi dibuat pada gigi yang gusi bermasalah ataupun tidak dijaga dengan baik, maka ini mungkin terjadi (Rajah 8).


Rajah 8: jambatan yang gagal dan terpaksa dicabut kerana akar gigi menjadi rosak

Tip Penjagaan Oral untuk Korona Gigi dan Jambatan Gigi

Kebersihan gusi disekeliling korona gigi atau jambatan gigi adalah penting bagi memastikan ianya dapat berfungsi sebagaimana yang dikehendaki. Di sini diperturunkan beberapa langkah-langkah yang boleh diamalkan untuk tujuan tersebut:

  • Memberus gigi 2 kali sehari
  • Menggunakan flos pada korona gigi dan “superfloss” pada jambatan gigi (minta doktor gigi tunjukkan cara penggunaan yang betul)
  • Melakukan pemeriksaan berkala dengan doktor gigi. Ini bagi memastikan kebersihan sekeliling korona gigi atau jambatan gigi dan mengesan masalah seawal yang mungkin.

Penggunaan tembakau, boleh memberi kesan kepada kesihatan gusi secara umumnya dan ini adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Disamping itu, ia juga boleh menjejaskan warna gigi.

Kesimpulan

Sebelum korona gigi dan jambatan gigi dibuat, pastikan gusi adalah sihat bagi memastikan ianya  dapat berfungsi dengan baik dan dalam jangka waktu yang panjang. Penjagaan kebersihan ini perlu diteruskan sepanjang waktu selepas korona gigi atau jambatan gigi dibekalkan. Pastikan anda membuat lawatan berkala ke klinik gigi, untuk mulut dan badan yang sihat.

 

Semakan Akhir : 13 Februari 2017
Penulis : Dr. Shanti Sri a/p Subramaniam
Penterjemah : Dr. Ahmad Sharifuddin bin Mohd Asari
Akreditor : Dr. Khamiza bt. Zainol Abidin

Artikel Berkaitan

Gigi Bongsu

Gigi bongsu ialah gigi geraham ketiga yang tumbuh pada peringkat remaja atau awal dua puluhan. Ia kerap terhimpit (terimpak) kerana ruang di rahang mulut tidak cukup untuk gigi tersebut tumbuh dengan baik.

Penyenggara Ruang Membantu Senyuman Sempurna

Pemakaian penyenggara ruang boleh menyebabkan rasa tidak selesa untuk satu tempoh yang singkat. Menelan, makan serta bercakap menjadi sukar dan lidah merasa terganggu sehinggalah ia menjadi kebiasaan.

Kecederaan Gigi

Kecederaan pada gigi dan tisu sekelilingnya seringkali berlaku.Kajian mendapati 1/3

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,144

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia