Apakah itu hipermobiliti benigna?
Hipermobiliti benigna ialah pergerakan sendi yang melebihi daripada julat pergerakan yang sepatutnya dan disebabkan oleh kelonggaran tisu-tisu berdekatan.
Untuk memahami keadaan ini, sendi anda terbentuk pada pertemuan dua tulang dan terdapat bendalir sendi di antara tulang-tulang ini untuk membolehkannya bergerak. Sendi juga dilitupi tisu-tisu lain seperti otot, tendon dan ligamen. Jika tisu-tisu ini longgar, sendi itu akan bergerak melebihi daripada yang sepatutnya.
Siapa yang mengalami hipermobiliti benigna?
- Budak perempuan lebih kerap mengalaminya berbanding dengan budak lelaki dan begitu juga dengan kanak-kanak berbanding dengan remaja.
- 7 hingga 40 peratus kanak-kanak bersekolah didapati mempunyai keadaan ini.
- Terdapat ahli keluarga lain yang mempunyai sejarah sendi yang hipermobil.
Apakah tanda-tanda hipermobiliti benigna?
- Kanak-kanak dan remaja biasanya tidak mengadu kesakitan pada sendi yang hipermobil.
- Sendi-sendi ini biasa tidak mengalami masalah pada jangka masa panjang.
- Jika anak anda mengadu kesakitan pada sendi-sendi yang hipermobiliti, anak anda mungkin mengalami sindrom hipermobiliti benigna. Jika anda mengesyaki anak anda mengalami masalah ini, sila bawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor.
- Kadang-kala selain daripada sendi yang hipermobil, mungkin terdapat tanda-tanda lain seperti masalah mata, injap jantung dan kelonggaran kulit. Jika anak anda mempunyai tanda-tanda lain, sila bawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor untuk penilaian yang terperinci kerana ia mungkin tanda-tanda penyakit lain.
Bagaimana diagnosis hipermobiliti benigna dibuat?
Anda boleh melakukan 5 pergerakan khusus yang tersenarai di bawah untuk mengenal pasti keadaan ini :
- Ibu jari anak anda dapat dibengkokkan ke bawah pada bahagian pergelangan tangan sehingga ibu jarinya boleh menyentuh lengannya.
- Jari kecil anak anda dapat dibengkokkan ke belakang sehingga lebih daripada 90 darjah.
- Bila anak anda berdiri lurus, lutut anak anda kelihatan membengkok ke belakang bila dilihat dari sisi.
- Bila anak anda meluruskan tangannya ke depan, lengannya kelihatan membengkok ke bawah bila dilihat dari sisi.
- Bila anak anda berdiri dengan lutut yang lurus dan disuruh untuk membongkok ke bawah untuk menyentuh lantai, anak anda dapat menyentuh tapak tangannya pada lantai.
Sesetengah kanak-kanak yang mengalami sendi yang hipermobil mungkin dapat membuat kesemua pergerakan di atas tetapi sesetengah kanak-kanak mungkin hanya dapat melakukan satu ataupun lebih daripada satu pergerakan tersebut di atas.
Bagaimana hipermobiliti benigna dirawat?
- Keadaan ini tidak memerlukan rawatan kerana otot-otot dan sendi anak anda akan bertambah kuat semasa beliau membesar.
- Terdapat aktiviti fisioterapi yang dapat menguatkan otot-otot yang spesifik dan juga senaman-senaman yang dapat menguatkan otot-otot dan sendi-sendi anak anda seperti berenang, berjalan dan menaiki basikal.
Apakah matlamat jangka masa panjang untuk hipermobiliti benigna?
- Kanak-kanak dan remaja yang hipermobil biasanya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti seperti gimnastik, tarian moden dan balet. Aktiviti-aktiviti ini perlu dikurangkan atau diberhentikan jika anak anda mengalami kesakitan pada sendi-sendi beliau untuk mengelakkan daripada kerosakan.
- Hipermobiliti benigna pada kebiasaannya tidak menyebabkan artritis pada masa hadapan.
- Elak sendi anak anda terkilir terutamanya pada sendi bahu dan lutut kerana anak anda boleh menghidap masalah pada sendi-sendi itu.
- Kajian pada warga emas yang mempunyai hipermobiliti benigna juga mendapati mereka mempunyai keupayaan fizikal yang lebih baik daripada warga emas lain.
- Matlamat jangka masa panjang untuk hipermobiliti benigna adalah positif jika dijaga dengan betul.
Semakan Akhir |
: |
10 Mei 2024 |
Penulis |
: |
Dr. Cham Weng Tarng |
Penyemak |
: |
Dr. Nizam Malik Bin Bali Mahomed |