A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Iklan kosmetik: Apakah yang...

Iklan kosmetik: Apakah yang perlu anda tahu?

Produk kosmetik di pasaran adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap peraturan dan keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Garis panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Antara lain, peraturan dan garis panduan tersebut turut memuatkan Kod Iklan Produk kosmetik yang menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi bagi pengiklanan produk kosmetik.

Iklan adalah suatu bentuk pemberitahuan atau sama ada promosi kepada orang ramai berkenaan sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan samada menggunakan rangkaian media massa atau media cetak contohnya surat khabar, radio, televisyen, laman sosial, brosur, majalah dan sebagainya.

Iklan turut dianggap sebagai satu strategi pemasaran yang terpenting kerana ianya merupakan satu kaedah penyampaian maklumat kepada orang ramai yang cepat dan menarik. Saban hari, kebanyakan antara kita akan dapat melihat atau mendengar iklan berkaitan produk kosmetik. Ada pula antara kita yang mungkin mudah mempercayai dan terpengaruh manakala sebahagiannya pula mungkin berasa sangsi dengan maklumat yang disampaikan. Sebagai pengguna, apakah yang anda perlu tahu tentang iklan produk kosmetik?

Produk kosmetik di pasaran adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap peraturan dan keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Garis panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Antara lain, peraturan dan garis panduan tersebut turut memuatkan Kod Iklan Produk kosmetik yang menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi bagi pengiklanan produk kosmetik.

Untuk lebih memahami tentang keperluan pengiklanan tersebut, berikut adalah huraian ringkas mengenai prinsip asas yang digunakan sebagai panduan beserta beberapa contoh iklan yang tidak dibenarkan untuk produk kosmetik.

Prinsip Asas Kod Iklan Produk Kosmetik

  1. Maklumat yang tepat dan benar

    Setiap iklan produk kosmetik yang disiarkan perlulah mengandungi maklumat yang tepat, benar, terkini, boleh dipercayai dan dapat disokong dengan data yang mencukupi. Adalah menjadi kesalahan kepada individu atau pihak syarikat yang menyiarkan kandungan iklan yang mengelirukan, tidak dapat dibuktikan sebagai benar dan yang boleh mengakibatkan cara penggunaan produk yang salah atau mendatangkan risiko kepada pengguna.

    Contoh Iklan #1:
    ”Diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)”

    Kenyataan sedemikian tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dinyatakan pada label produk kosmetik. Semenjak 1 Januari 2008, produk kosmetik dikawal melalui prosedur notifikasi iaitu pihak syarikat dikehendaki untuk mengemukakan suatu bentuk pengisytiharan kepada pihak KKM bahawa produk yang dipasarkan sentiasa mematuhi keperluan regulatori yang ditetapkan khususnya daripada segi keselamatan, kualiti dan kesahihan tuntutan produk yang boleh disokong oleh bukti yang mencukupi.

    Huraian mengenai prosedur notifikasi tersebut membawa maksud bahawa pihak KKM tidak mengeluarkan bentuk pengendorsan atau kelulusan bagi mana-mana produk kosmetik. Walau bagaimanapun, produk kosmetik di pasaran dipantau secara berterusan dan tindakan regulatori akan dikenakan ke atas syarikat yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berwajib.

  2. Standard Moral dan Akhlak Masyarakat Malaysia

    Kenyataan atau visual yang bertentangan dengan moral dan akhlak masyarakat Malaysia atau bertujuan memalukan atau menfitnah mana-mana lapisan masyarakat sama sekali tidak dibenarkan untuk dimuatkan dalam sebarang iklan produk kosmetik. Selain itu, iklan juga tidak dibenarkan untuk mengeksploitasi kepercayaan agama dan kepercayaan masyarakat setempat.

    Contoh Iklan #2:
    Unsur grafik atau gambar yang mendedahkan payu dara pada label atau iklan produk kosmetik

    Penggunaan imej yang menjolok mata contohnya gambar yang mendedahkan payu dara atau mempunyai grafik yang mempunyai isi tersirat yang bertentangan dengan standard moral serta akhlak masyarat Malaysia adalah dilarang sama sekali bagi produk kosmetik.

  3. Kesan Sebelum dan Selepas Penggunaan Produk

    Kesan yang ditunjukkan sebelum dan selepas menggunakan sesuatu produk kosmetik sering digunakan sebagai tarikan untuk meningkatkan keyakinan pengguna berkenaan keberkesanan sesuatu produk. Namun, perlu diingatkan bahawa kesan sebelum dan selepas tersebut perlu mencerminkan kesan yang sebenar, dilengkapi dengan tempoh dan cara penggunaan yang terperinci dan dapat disokong dengan bukti yang sahih dan mencukupi.

    Walau bagaimanapun, terdapat banyak iklan yang memaparkan perbandingan kesan produk penjagaan kulit berdasarkan muka yang tiada solekan, penuh dengan cela dengan muka yang telah disolek atau menggunakan gambar yang telah disunting. Perbandingan tersebut jelas tidak munasabah dan tidak menunjukkan keadaan sebenar serta dilihat sebagai berniat untuk memperdayakan pengguna.

    Antara contoh lain yang seumpamanya adalah iklan untuk produk yang digunakan di kawasan payu dara di mana sebelum mengunakan produk tersebut, pengguna mempunyai ”Cup A” dan selepas penggunaan produk tersebut pengguna memperoleh ”Cup C”. Kesan produk bukan sahaja telah diperbesar-besarkan dan tidak berasas malah pada hakikatnya produk untuk membesarkan payu dara adalah tidak dibenarkan sebagai produk kosmetik.

  4. Testimoni

    Testimoni atau pengalaman peribadi setelah menggunakan sesuatu produk kosmetik yang dipaparkan pada iklan perlu benar, sahih dan merujuk kepada jangka masa penggunaan yang munasabah. Testimoni produk hanya boleh diguna pakai jika ia melibatkan produk yang sama dengan formulasi yang sama. Pihak syarikat perlu benar-benar memastikan bahawa terdapat bukti yang sahih dan dokumen yang mencukupi bagi menyokong testimoni yang disiarkan. Faktor-faktor lain yang mungkin mempengaruhi kesan produk contohnya penggunaan produk-produk lain pada masa yang sama juga perlu diperincikan dan maklumat tersebut perlu disahkan dengan bukti dokumentasi yang lengkap.

    Selain daripada testimoni daripada pengguna, testimoni daripada profesional kesihatan seperti doktor perubatan, doktor gigi dan sebagainya turut digunakan di dalam iklan. Testimoni daripada profesional kesihatan tidak boleh bertentangan dengan etika profesional atau mana-mana perundangan yang ditetapkan untuk golongan profesional tersebut. Sebagai contoh, sebarang iklan yang melibatkan doktor gigi atau pengamal pergigian untuk mempromosikan sebarang produk kosmetik untuk gigi atau penjagaan mulut adalah tidak dibenarkan oleh Majlis Pergigian Malaysia. Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan satu direktif pada tahun 2011 berkenaan dengan perkara ini.

  5. Tuntutan Kuantitatif

    Keputusan pengujian klinikal dan penyelidikan yang disiarkan dalam iklan produk kosmetik hendaklah dipastikan benar dan dapat dibuktikan dengan dokumen yang meliputi kaedah dan analisa keputusan kajian yang dapat diterima secara saintifik. Selain itu, kajian yang dijalankan hendaklah relevan dengan tuntutan yang dibuat dan hanya tuntutan yang memenuhi takrifan kosmetik sahaja dibenarkan untuk dipaparkan dalam iklan yang berkaitan.

Tindakan dan Cabaran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

Pihak NPRA giat memantau iklan-iklan produk kosmetik agar dapat melindungi pengguna daripada iklan yang tidak berasas. Selaras dengan prinsip notifikasi kosmetik, pihak pemegang notifikasi kosmetik adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengiklanan untuk semua produk di bawah syarikat mereka. Pemegang notifikasi perlu memastikan bahawa setiap iklan yang disiarkan adalah selaras dengan keperluan yang ditetapkan dalam Kod Pengiklanan Kosmetik dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan.

Amaran dan arahan perberhentian iklan produk kosmetik dengan serta-merta akan dikeluarkan ke atas pemegang notifikasi yang didapati melanggar keperluan pengiklanan produk kosmetik. Namun, pemantauan iklan kosmetik merupakan satu cabaran yang besar ke atas pihak NPRA ekoran daripada wujudnya pelbagai medium pengiklanan yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat kosmetik dan yang lebih sukar dibendung ialah pengiklanan melalui internet contohnya laman sosial dan blogspot. Ini adalah kerana, iklan melalui internet mudah diakses oleh orang awam dan kesahihan sumber maklumat iklan tersebut sukar untuk disahkan. Selain itu, sumber iklan juga sering kali amat sukar untuk dikenal pasti.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membuat pemantauan secara berterusan ke atas produk kosmetik melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk-produk kosmetik yang dijual di pasaran. Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Jasmine Lee Yee Chen
Akreditor : Nik Shamsiah bt. Nik Salleh
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

Awas! Sinaran Matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn), penuaan pra-matang, kanser kulit dan kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

Aspirin

Apa Itu Aspirin? Aspirin atau nama bahan aktif Acetyl Salicylic

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,106

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia