Apakah itu kulat?
Kulat adalah sejenis kuman yang boleh didapati di mana-mana bahagian badan kita seperti rambut, kulit dan kuku. Ia hidup di tempat yang hangat dan lembab. Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah mendapat jangkitan kulat kerana mereka suka berkongsi barang-barang dan berpelukan sesama mereka.
Apakah jenis-jenis jangkitan kulat?
Jenis-jenis ini boleh diklasifikasikan mengikut lokasinya:
- Tinea capitis (kulit kepala).
- Tinea corporis (badan).
- Tinea unguium (kuku).
- Tinea pedis (kaki) atau dipanggil ‘athlete’s foot’.
- Tinea cruris (pangkal paha).
Apakah faktor-faktor yang meningkatkan risiko jangkitan kulat?
- Kesesakan di kawasan yang panas dan lembab.
- Amalan cara hidup yang tidak bersih – berkongsi tuala, memakai pakaian lembab, memakai stokin yang sama berulang-kali, kuku panjang, berjalan tanpa kasut.
- Lain-lain masalah perubatan – penyakit diabetes mellitus yang tidak terkawal, HIV atau menerima rawatan perubatan untuk tempoh lama yang melemahkan sistem imunisasi (cth: rawatan kanser).
Apakah tanda dan simptom jangkitan kulat?
Jangkitan pada badan dan pangkal paha
- Ruam yang sempadannya merah dan bersisik di sekeliling bahagian tengah kulit yang normal.
- Mungkin juga menjadi ruam berbentuk bulat.
- Gatal.
Jangkitan pada kulit kepala
- Keadaan kemerah-merahan dan kegatalan di kulit kepala.
- Rambut menjadi rapuh.
- Boleh menyebabkan tompok botak.
Jangkitan pada kuku:
- Kuku menjadi rapuh.
- Kasar.
- Kusam.
- Herot-benyot (bentuk)
Jangkitan pada kaki.
- Terjadi di antara jari kaki dan bahagian kaki yang lain.
- Rasa gatal dan pedih di bahagian yang basah, dan kulit merekah.
Rasa kegatalan lebih ketara apabila berehat.
Bagaimana jangkitan kulat ini boleh dirawat?
Dapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan diagnosa yang tepat supaya rawatan yang betul dapat diberi. Cara menguruskan penyakit ini termasuklah:
- Menjaga kebersihan diri dengan baik.
- Gunakan antiseptik seperti KMN04 (Potassium permanganate) untuk ruam yang basah.
Antikulat
- Ubat-ubatan yang diberi secara suntikan atau melalui mulut.
- Krim/gel untuk disapu.
Bagaimana jangkitan kulat ini boleh dicegah?
- Amalkan penjagaan kebersihan diri.
- Jangan berkongsi sikat dan tuala mandi, tukar stokin dengan kerap.
- Pakai alas kaki apabila berjalan/ bermain dan jaga kebersihan kuku.
- Berikan perhatian khusus untuk mengeringkan kawasan lembap pada badan (contohnya ketiak, pangkal paha, di antara jari kaki).
- Basuh kaki dan jari-jari dengan bersih sekurang-kurangnya sekali sehari.
- Jangan memakai kasut yang terlalu ketat.
- Keringkan kasut anda setiap malam.
- Pakai pakaian longgar.
- Elakkan bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti kulat.
Semakan akhir |
: |
10 Mei 2024 |
Penulis |
: |
|
|
: |
Dr. Nor Mahani Harun |
Penyemak |
: |
Dr. Thenmoli a/p Palaniyappan |