Jangkitan telinga adalah masalah kesihatan yang kerap dihidapi oleh kanak-kanak.
Ianya menyebabkan gangguan tidur dan pemakanan kanak-kanak. Mereka mungkin akan sentiasa menangis tanpa diketahui sebabnya. Kebanyakan kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya 1 jangkitan telinga sebelum berusia 2 tahun.
Apakah perbezaan jenis jangkitan telinga?
Ada 2 jenis jangkitan telinga:
- Otitis media adalah jangkitan telinga yang berlaku apabila virus, bakteria atau kulat menyerang tiub eustachian (saluran yang menghubung sinus dibelakang hidung ke telinga tengah)
- Otitis externa ialah jangkitan telinga yang berlaku di saluran telinga luar.
Apakah faktor seseorang itu cenderung mendapat jangkitan telinga?
- Jangkitan di saluran pernafasan yang berulang-ulang.
- Adik-beradik yang dijaga di pusat harian.
- Bayi yang diberi susu botol.
- Terdedah kepada asap rokok.
- Pembesaran adenoids.
- Sumbing bibir.
- Alahan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan telinga.
Bagaimanakah kita mengetahui kanak-kanak mendapat jangkitan telinga?
Kebiasaan kanak-kanak akan mendapat jangkitan telinga selepas mendapat selesema atau jangkitan di salur pernafasan.
Tanda-tanda biasa ialah:
- Kesakitan dalam telinga.
- Resah dan mudah meradang.
- Tidur yang selalu terganggu.
- Selalu merentap dan menarik cuping telinga.
- Nanah keluar daripada telinga.
- Kurang selera makan.
- Lelehan hidung.
- Selalu menangis sebelah malam semasa tidur.
- Kurang terangsang dengan bunyi yang perlahan.
Apakah komplikasi yang akan timbul akibat jangkitan telinga?
Kebanyakan kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya tetapi sebahagiannya mungkin akan mengalami:
- Telinga bernanah yang kronik.
- Kurang pendengaran.
- Lembap dalam pembelajaran terutama jika rawatan yang diberikan lewat atau tidak sempurna.
Bagaimanakah rawatan jangkitan telinga?
Dapatkan nasihat dan rawatan awal daripada doktor jika terdapat tanda-tanda jangkitan telinga.
Jika jangkitan telah dikenal pasti, rawatannya adalah:
- Ubat mencairkan kahak (sama ada secara topical or sistemik).
- Ubat demam.
- Antibiotik diberi jika jangkitan disebabkan oleh bakteria.
- Ubat titis telinga jika nanah keluar dari telinga.
- Gunakan teknik ‘ear weaking’ untuk mengeringkan nanah dalam telinga.
Jangkitan telinga yang berulang-ulang:
- Mungkin disebabkan oleh alahan dan harus dirawat mengikut puncanya.
- Lakukan ujian pendengaran dan pergerakan gegendang telinga pada satu ketika kemudian oleh doktor anda.
Adakah terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah jangkitan telinga?
Ya, langkah yang baik ialah:
- Susukan bayi anda dengan susu ibu.
- Jauhkan anak anda daripada mereka yang mengalami batuk dan selesema bagi mengelakkan jangkitan.
- Ajar anak anda supaya selalu mencuci tangan dengan bersih.
- Elakkan dari menyentuh mata dan hidung.
- Elak:-
- Terdedah kepada asap rokok.
- Penggunaan puting.
- Penyusuan susu botol semasa baring.
- Alahan yang diketahui.
Selalu ingat “Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan”.
Apakah kesan dalam jangka masa panjang?
Kebanyakan kanak-kanak tidak mengalami komplikasi untuk jangka masa panjang. Kanak-kanak yang semakin membesar akan mempunyai tiub eustachian yang berfungsi dengan lebih baik, jangkitan batuk, selesema dan telinga juga akan berkurangan.
Semakan akhir | : | 26 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Norrashidah Hj. Abd Wahab |
: | Dr. Nor Mahani Harun | |
Penyemak | : | Dr. Norzila bt. Mohamed Zainudin |