Jenis-Jenis Laporan Perubatan Dan Tatacara Pengurusan Dan Penyediaan Laporan Perubatan Di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia
Pengenalan
Laporan Perubatan merupakan dokumen yang disediakan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pengamal pergigian mengenai sesuatu masalah kesihatan dan rawatan yang diperolehi oleh seseorang pesakit di hospital atau kemudahan kesihatan berdasarkan rekod perubatan pesakit tersebut. Sumber maklumat untuk penyediaan laporan perubatan adalah rekod perubatan pesakit. Oleh itu laporan perubatan seperti juga rekod perubatan dan diklasifikasikan sebagai “sulit” secara pentadbiran.
Jenis-Jenis Laporan Perubatan
Terdapat tiga (3) kategori Laporan Perubatan yang biasa dikeluarkan oleh Hospital Kerajaan iaitu:
- Laporan Perubatan biasa yang disediakan oleh Pegawai Perubatan,
- Laporan Ringkas atau Pendapat yang disediakan oleh Pakar Perubatan dan
- Laporan Perubatan Terperinci disediakan oleh Pakar Perubatan.
Walau bagaimanapun, pemeriksaan perubatan (Medical Checkup) serta semua dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pengesahan perubatan seperti Borang Permohonan OKU, Kebajikan, Zakat, Borang Sara Ubat (JPA) dan sijil cuti sakit adalah tidak diklasifikasikan sebagai laporan perubatan.
Prosedur Memohon
Permohonan Laporan Perubatan boleh dibuat samada melalui pos atau pemohon datang sendiri ke kaunter Jabatan/Unit Rekod Perubatan di semua Hospital dan Kemudahan Kesihatan Kerajaan di mana pesakit mendapat rawatan. Laporan Perubatan hanya akan diproses setelah permohonan lengkap secara bertulis dikemukakan oleh pemohon.
Permohonan yang lengkap bermaksud dokumentasi yang perlu dikemukakan oleh pemohon mengikut kategori berikut:
Bil |
Kategori Pemohon |
Maklumat / Dokumen Yang Diperlukan |
1. |
Pesakit Sendiri |
i) Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan borang permohonan yang ditetapkan. ii) Surat keizinan ASAL yang ditandatangani oleh pesakit jika melalui pos. iii) Salinan Kad Pengenalan pesakit. iv) Salinan Kad Temujanji pesakit. v) Bayaran (mengikut jenis permohonan). vi) Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan sebagainya). vii) Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan rawatan pesakit. |
2. |
Waris Pesakit / Penjaga Yang Sah (pesakit berumur 18 tahun ke bawah |
i) Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan borang permohonan yang ditetapkan. ii) Surat keizinan ASAL dari Ibu/Bapa/Penjaga yang sah. iii) Salinan Sijil Kelahiran pesakit. iv) Salinan Kad Pengenalan pesakit. v) Salinan Kad Pengenalan Ibu/Bapa/Penjaga yang sah. vi) Salinan Kad Temujanji pesakit. vii) Bayaran (mengikut jenis permohonan) viii) Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan sebagainya) ix) Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan rawatan pesakit. |
3.
|
Waris untuk Suami/Isteri/ Anak/Adik Beradik & Ibubapa |
i) Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan borang permohonan yang ditetapkan. ii) Surat keizinan ASAL dari waris (menyatakan maklumat waris). iii) Salinan Kad Pengenalan simati. iv) Salinan Kad Pengenalan waris. v) Salinan Kad Temujanji simati. vi) Salinan Sijil Nikah (jika berkaitan). vii) Salinan Sijil Kelahiran (jika berkaitan). viii) Surat Akuan Sumpah (jika berkaitan). ix) Salinan Permit Penguburan / Sijil Kematian. x) Bayaran (mengikut jenis permohonan) xi) Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan sebagainya). x) Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan rawatan simati. |
4. |
Agen/Wakil (insurans, Peguam dan lain-lain ) |
i) Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan borang permohonan yang ditetapkan. ii) Surat keizinan ASAL pesakit / waris (menyatakan memberi kuasa kepada nama Agen/wakil untuk mendapatkan laporan). iii) Salinan Kad Pengenalan pesakit. iv) Salinan Kad Temujanji pesakit. v) Bayaran (mengikut jenis permohonan). vi) Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan lain-lain) vii) Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan rawatan pesakit. xii) Salinan Permit Penguburan jika pesakit meninggal dunia / mati. |
Surat Keizinan
Tertakluk kepada keperluan melengkapkan dokumen di atas, permohonan Laporan Perubatan yang melibatkan pihak ketiga juga perlulah mematuhi syarat-syarat berikut, iaitu:
- Mengemukakan dokumen pengesahan waris yang sah disegi undang-undang sebagai bukti sekiranya pesakit meninggal dunia.
- Mengemukakan surat keizinan dari waris terdekat sekiranya pesakit berumur bawah 18 tahun atau pesakit yang tidak sedarkan diri atau kurang keupayaan mental ataupun telah meninggal dunia.
- Pesakit warganegara asing yang tidak dapat dikesan/meninggal dunia, atau warisnya tidak dapat dihubungi, surat keizinan asal dari pihak Kedutaan Negara berkenaan adalah diperlukan.
Pengecualian Surat Keizinan
Permohonan dari agensi yang telah diberi kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk tujuan siasatan seperti:
- Polis Di Raja Malaysia
- Mahkamah
- ”Mana-mana agensi yang telah diberi kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk mendapatkan Laporan Perubatan seseorang pesakit”.(contoh SuruhanJaya Pencegah Rasuah (SPRM))
Bayaran Penyediaan Laporan Perubatan
Bayaran seperti yang ditetapkan dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982 (P.U.(A) 359 ms 1117 Bhg 3. Jadual H. Manakala bagi warganegara asing bayaran adalah seperti yang ditetapkan dalam Perintah Fi (Perubatan Pindaan 2003.
Bagi permohonan kali pertama, kadar bayaran laporan perubatan yang dikenakan kepada pemohon adalah tertakluk seperti berikut:
Bil |
Kategori Laporan |
Kadar Dikenakan (RM) |
|
(Warganegara) |
Bukan Warganegara) |
||
1. |
Laporan Perubatan Biasa oleh Pegawai Perubatan |
RM40 |
RM80 |
2. |
Laporan Perubatan Ringkas oleh Pakar |
RM80 |
RM160 |
3. |
Laporan Terperinci Oleh Pakar |
RM200 – RM1,000 |
RM400 – RM2,000 |
Manakala kadar bayaran bagi permohonan ulangan yang dikemukakan oleh pemohon adalah tertakluk kepada syarat berikut:
- Permohonan yang melibatkan penyediaan semula Laporan Perubatan, dianggap sebagai permohonan baru dan dikenakan bayaran penuh.
- Penambahan maklumat/laporan lanjutan, bayaran akan dikenakan seperti kadar permohonan baru.
- Permohonan salinan Laporan Perubatan asal untuk tujuan yang sama, dikenakan bayaran 50% dari kadar asal.
- Penjelasan laporan (klarifikasi) ke atas laporan asal, tiada bayaran dikenakan.
(Tuntutan bayaran Penyediaan Laporan Peruatan telah diberi kuasa kepada Pengarah Kesihatan Negeri/Institusi Kesihatan untuk kelulusan: rujuk surat bil (3)dlm KKM-58/300/3-6 Jld 9 sk.6 bertarikh 30 Jun 2016)
Pengecualian Bayaran
Pengecualian bayaran meliputi permohonan dari:
- Polis;
- Jabatan Kerajaan (untuk tujuan pentadbiran);
- Pesakit yang mendapat surat akuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menyertakan Kad Pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
- Biro Bantuan Guaman; dan
- Borang BAT F117 untuk tentera yang disertakan bersama surat pengesahan dari Pegawai Pemerintah.
Tempoh Penyediaan
Semua permohonan Laporan Perubatan yang diterima akan diproses dan disiapkan tidak melebihi tempoh masa yang ditetapkan iaitu:
- Hospital Negeri / Hospital Berpakar – 28 hari » Waktu bekerja
- Hospital Tanpa Pakar – 14 hari » Waktu bekerja
Penyerahan Laporan Perubatan
Semua Laporan Perubatan hanya akan dikeluarkan melalui Jabatan/Unit Rekod Perubatan kepada pemohon sahaja. Pemohon akan dimaklumkan terlebih dahulu samada melalui telefon atau Notis Pemberitahuan Laporan Siap.
Selain dari penghantaran Laporan Perubatan melalui pos berdaftar, pemohon adalah digalakkan mengambil sendiri Laporan Perubatan mereka atau menghantar wakil dengan mengemukakan bukti surat turunkuasa yang jelas dari pemohon.
(Semua Proses Penyediaan Laporan Perubatan bagi Hospital IT juga perlu melalui proses sama seperti hospital manual)
Rujukan
- Surat Pekeliling KPK Bil 17/2010 Penyediaan Laporan Perubatan di Hospital dan Institusi Perubatan KKM.
Semakan Akhir | : | 15 Jun 2017 |
Penulis | : | Pn. Nor Linda Binti Mokhtar |
Akreditor | : | Pn. Siti Ajar Binti Baharim |