Pengenalan
Penglihatan merupakan di antara deria penting bagi semua organisma hidup. Namun demikian apabila usia meningkat, masalah penglihatan mungkin berlaku akibat proses penuaan normal atau penyakit mata.
Masalah mata berkaitan usia dan masalah penglihatan meningkat dengan peningkatan usia. Satu kajian mata yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 melaporkan prevalen kebutaan di kalangan kanak-kanak adalah 0.05 % dan meningkat kepada 4.77 % di kalangan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas.
Kebanyakan pesakit dengan masalah mata berkaitan usia tidak mengalami sebarang tanda-tanda pada awalnya. Masalah mata tersebut bertambah serius secara perlahan-lahan dalam jangkamasa bulan ke tahun tanpa banyak gejala. Maka tidaklah menghairankan ramai warga emas yang tidak mengadu masalah penglihatan sehingga ia terlewat.
Punca-punca utama masalah penglihatan di kalangan warga emas ialah katarak, masalah rabun, glaukoma, masalah retina dan degenerasi makular berkaitan usia. Kebanyakan punca-punca tersebut boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal.
Apakah makna saringan mata atau penglihatan?
Saringan penglihatan adalah salah satu cara bagi mengesan masalah mata dalam seseorang yang tidak mengalami tanda-tanda masalah mata.
Oleh itu, saringan penglihatan dijalankan kepada seseorang yang kelihatan sihat.
Bagaimanakah saringan penglihatan dapat membantu mengekalkan penglihatan yang baik untuk warga emas?
Saringan penglihatan bertujuan mengesan masalah mata lebih awal walaupun seseorang itu tidak mengalami sebarang tanda-tanda. Semoga dengan rawatan yang sewajarnya, penglihatan dapat dikekalkan. Kebanyakan punca masalah penglihatan boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal.
Apakah komponen-komponen di dalam saringan penglihatan?
Semasa anda menjalani saringan penglihatan, terdapat beberapa soalan dan ujian yang akan dijalankan ke atas diri anda.
Pengambilan sejarah termasuk:
-
Adakah anda mengalami masalah penglihatan? Bolehkah anda melihat dengan jelas?
-
Adakah anda perlu menegangkan mata sewaktu melihat pada jarak jauh atau semasa membaca?
-
Adakah anda mengalami masalah semasa memandu di waktu malam akibat silau?
-
Adakah anda mempunyai sejarah masalah mata atau rawatan.
-
Soalan spesifik bagi mengesan sebarang faktor risiko bagi masalah penglihatan.
Ujian untuk penglihatan
-
Ujian ini ialah untuk mengenalpasti huruf atau objek terkecil yang anda dapat baca pada carta standard (carta Snellen).
-
Anda diminta untuk berdiri 6 meter dari carta.
-
Anda diminta untuk menanggalkan cermin mata atau kanta sentuh.
-
Setiap mata akan diuji secara berasingan dengan menutup sebelah mata lain.
-
Anda akan diminta membaca huruf terbesar sehingga terkecil menggunakan mata yang diuji.
-
Prosedur tersebut akan diulang semula dengan menggunakan cermin mata atau kanta sentuh.
-
Prosedur ini juga akan diulang dengan anda melihat melalui lubang kecil untuk setiap mata. Ujian ini dapat memberikan maklumat tentang masalah rabun.
-
Anda juga akan diminta untuk membaca huruf di atas kad yang berada sejauh 14 inci dari muka anda untuk mengesan rabun dekat.
Ujian untuk medan penglihatan
-
Ujian ini adalah untuk mengenal pasti sebarang kecacatan dalam penglihatan pusat dan periferal. Kecacatan dalam penglihatan pusat dan periferi boleh disebabkan oleh beberapa penyakit seperti glaukoma, tumor otak, strok atau penyakit saraf yang lain.
-
Setiap mata akan diuji berasingan dengan menutup sebelah mata lain.
-
Anda akan diminta memetakan kawasan dimana objek kelihatan semasa anda memberi tumpuan mata ke satu titik di tengah pusat.
-
Ujian ini boleh dilakukan secara manual atau menggunakan alat perimetri automatik.
-
Keputusan ujian yang normal menunjukkan penglihatan periferi adalah utuh.
-
Penyakit lain yang boleh menjejaskan penglihatan periferi termasuklah diabetes, darah tinggi, degenerasi makula, sklerosis berganda dan hypertiroidism.
Opthalmoskopi
-
Penilaian mata termasuklah pemeriksaan di belakang mata atau fundus.
-
Struktur mata yang lain seperti kanta, gelemaca vitreous dan retina boleh diperiksa menggunakan opthalmoskopi.
-
Pemeriksaan ini dilakukan untuk menilai status kesihatan stuktur mata kerana sesetengah penyakit boleh memberi kesan terhadap struktur ini. Sebagai contoh, pemeriksaan opthalmoskopi secara berkala dilakukan setiap tahun kepada pesakit diabetes bagi mengesan awal masalah mata akibat diabetes dan mencegah kebutaan.
Tekanan intraocular
-
Tekanan intraokular merupakan tekanan oleh cecair di dalam bebola mata. Tekanan cecair ini boleh diukur menggunakan alat tonometri.
-
Ukuran tekanan intraokular adalah penting bagi mengesan risiko glaukoma.
Bila dan berapa kerapkah anda perlu menjalani saringan mata?
Mereka yang berisiko perlu menjalani saringan mata secepat mungkin dan seterusnya secara berkala. Selang masa saringan mata bergantung kepada masalah yang dialami individu tersebut.
Saringan mata perlu dijalankan setiap 12 bulan.
Di manakah anda boleh menjalani saringan mata?
Klinik kesihatan samada kerajaan atau swasta ada memberikan perkhidmatan saringan mata. Tahap p erkhidmatan yang diberikan mungkin terhad kepada pemeriksaan penglihatan sahaja atau pemeriksaan menyeluruh saringan penglihatan. Sila dapatkan maklumat tentang perkhidmatan saringan mata di klinik yang berhampiran dengan anda.
Kedai-kedai yang mempunyai perkhidmatan optometri juga menawarkan pelbagai jenis saringan mata.
Rujukan lanjut ke klinik pakar mata dan optometri boleh dilakukan untuk kes-kes tertentu.
Rujukan
-
K.Y Loh, J. Ogle Age Related Visual Impairment in Elderly Med J Malaysia Vol 59 No 4 Okt 2004
-
M Zainal, SM Ismail, AR Ropilah, H Elias, G Arumugam, D Alias, J Fathilah Prevalence of blindness and low vision in Malysia population: results from the National Eye Survey 1996 Br J Ophthalmol 2002: 86: 951 – 956
-
Serge Resnikoff, Donatella Pascolini, Daniel Etya’ ale Global data on visual impairment in the year 2002.Policy and Practice. Bulletin of World Health Organization 2004;82: 844 – 851
Semakan Akhir | : | 31 Oktober 2013 |
Penulis | : | Dr. Radziah binti Abd. Rashid |